Isnin, 3 Mac 2008

IMAM AKAN DAPAT RM1,000


UTUSAN MALAYSIA : ( 02-03-2008 )

KOTA BHARU 1 Mac – Imam-imam masjid di seluruh negeri ini, akan mendapat ganjaran lebih RM1,000 sebulan melalui program memperkasakan institusi ibadat dan agama itu sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Annuar Musa berkata, dengan tanggungjawab besar mereka mengimarahkan masjid, meninggikan syiar Islam dan membangunkan masyarakat, mereka selayaknya mendapat ganjaran tinggi.

‘‘Buat masa ini, mereka mendapat ganjaran RM250 melalui kerajaan negeri dan RM400 daripada Pusat dan dengan pendapatan keseluruhan RM650 sebulan bagi tugas mereka sepenuh masa ini, ia lebih rendah daripada pembantu pejabat,” ujarnya.

Berucap semasa mengupas kandungan manifesto BN Kelantan bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, pada majlis pelancaran di Ibu Pejabat UMNO negeri di sini hari ini, Annuar berkata, elaun bagi pegawai masjid termasuk bilal dan jawatankuasa lain akan turut dinaikkan.

Katanya, selain merancang membina kompleks masjid negeri dan memperbaiki masjid di seluruh negeri, peranan institusi itu sebagai lambang syiar agama akan digerakkan melalui penambahan pegawai masjid termasuk kalangan hafiz dan ‘daei muda’ (pendakwah muda).

‘‘Ini juga bagi meningkatkan peranan institusi masjid sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan, ke arah membentuk dan menyemarakkan suasana sebenar negeri yang menerima julukan Serambi Mekah.

‘‘Ini merupakan sebahagian daripada teras Islam Hadhari, Membangun Kelantan Mithali, satu daripada tujuh teras dalam usaha merubah Kelantan dalam segenap bidang,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan BN akan mewujudkan Institut Kefahaman Islam Kelantan untuk memantapkan kefahaman Islam dan pelaksanaannya yang sebenar di samping pembinaan Darul Quran untuk merakyatkan pembelajaran al-Quran.

‘‘Kerajaan BN akan benar-benar membangunkan sebuah kerajaan berasaskan manhaj Islam Hadhari ke arah membentuk tamadun terbilang di negeri dan rakyat tidak lagi dikaburi dengan retorik dan slogan mengenai Islam oleh Pas,” ujarnya.

Selain itu, katanya, prasarana fizikal semua sekolah agama negeri (SAN) dan sekolah agama rakyat (SAR) pula akan disediakan secukupnya manakala warganya (guru dan pelajar) akan mendapat kemudahan dan bantuan sama seperti yang dinikmati oleh sekolah-sekolah lain.

‘‘Guru-guru akan berpeluang menikmati kenaikan haji dan kemudahan lain, manakala para pelajar akan mendapat bantuan melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP), buku teks percuma dan biasiswa,” ujar beliau.

Beliau juga memberitahu, kelas-kelas agama dan fardu ain akan diwujudkan di semua mukim; penukaran Tabung Serambi Mekah kepada Tabung Untuk Kebajikan Dakwah Agama; menggalakkan peluasan pengajaran bahasa Arab dan program mengerjakan haji dan umrah percuma kepada para pendakwah.

0 ulasan: