Isnin, 3 Mac 2008

TUAN GURU NIK AZIZ DAPAT SAMBUTAN HEBAT DI PUTRAJAYA


HARAKAH : (02-03-2008)

PUTRAJAYA, 2 Mac (Hrkh) - Kehadiran Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat disambut hebat kira-kira 4,000 penduduk Putrajaya di Dewan Besar kompleks serbaguna Presint 9, petang tadi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, yang tiba di Putrajaya kira-kira jam 6.45 petang tidak menghampakan penduduknya biarpun beliau hanya sempat meluangkan masa selama kira-kira 15 minit.

Beliau tiba dari Kelantan untuk menghadiri program bersama anak-anak Kelantan di perantauan (Perakan) di Hotel Nikko, Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam ini.

Tidak menghampakan rakyat, Tuan Guru Nik Aziz terus menuju ke Putrajaya bagi memenuhi permintaan pengundi-pengundi Putrajaya untuk mendengar amanat beliau sendiri.

Biarpun hujan lebat turun, para pengundi tidak berganjak malahan mereka terus memenuhi ruang di dalam dewan tersebut.

Memandangkan dewan yang hanya boleh memuatkan 1,000 orang, pihak penganjur menyediakan skrin besar di luar dewan.

Di akhir ucapan Tuan Guru meminta rakyat Kelantan yang mengundi di negerinya agar jangan lupa balik pada hari mengundi, 8 Mac ini.

"Semua rakyat Kelantan pakat balik mengundi pangkah bulan," katanya yang diikuti takbir daripada orang ramai.

Calon PAS Putrajaya, Mohamad Nor Mohamad ketika ditemui, berkata walaupun Tuan Guru hanya sempat berucap pendek, bagaimanapun itu sudah memadai dan memberi kesan kepada penduduk.

"15 minit beliau berucap dah cukup, penduduk Putrajaya hanya nak tengok Tok Guru saja, orang yang sentiasa difitnah oleh media arus perdana," katanya.

Mohamad Nor juga percaya pengundi yang hadir pada petang ini adalah di kalangan penduduk Putrajaya dan berharap apa yang disampaikan Tuan Guru Nik Aziz melekat di hati mereka.

Menurut penganjur program Ceramah Perdana itu dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia melalui laman web.

P.125 Parlimen Putrajaya menyaksikan satu lawan satu antara Mohamad Nor Mohamad (PAS) dengan Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), BN yang menang majoriti pada 2004 dengan KeADILan sebanyak 3,546 undi.

Di Presint 9 mempunyai 3,000 pengundi yang majoritinya di kalangan orang Melayu Islam.

0 ulasan: