Isnin, 3 Mac 2008

BERHENTILAH BERBOHONG MENGENAI EKONOMI, TEGUR PMN KEPADA PM


HARAKAH : (02-03-2008)

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) - Dek kerana terlalu ghairah memburu kemenangan dalam PilihanRraya Umum Ke-12, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sanggup menipu rakyat secara tidak bermaruah dan berintegriti.

Parti Mahasiswa Malaysia (PMN) dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily melahirkan kekecewaan atas sikap Abdullah yang sanggup menipu rakyat Malaysia dengan mengatakan ekonomi Malaysia cemerlang.

Presidennya, Azlan Zainal berkata, kadar pertumbuhan 6.3 peratus sepanjang 2007 tersebut bukanlah suatu kesimpulan bahawa ekonomi negara kini berada dalam keadaan yang boleh dikatakan cemerlang.

"Bagi PMN, angka Indeks Harga Pengguna (IHP) pada paras 2.2 peratus bukanlah suatu realiti sahih bahawa inflasi domestik kian menurun dan ekonomi Malaysia kian cemerlang. Beliau diharap lebih jujur dalam memperkatakan hakikat sebenar mengenai kedudukan ekonomi negara," katanya.

Jelasnya, perdekatan tranformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kononnya mesra swasta, sebenarnya langsung tidak mementingkan kepentingan rakyat.

"Hal ini membuktikan Abdullah lebih banyak menipu rakyat dalam persoalan ekonomi nasional sejak kebelakangan ini," ujarnya lagi.

Dalam memperkatakan mengenai hal tersebut, Azlan mendakwa peningkatan peratus dalam Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK) 2007 sememangnya berlaku berbanding tahun sebelumnya.

"Peningkatan tersebut disebabkan liberasilasi ekonomi yakni kurangnya campur tangan tegar dan berperundangan oleh kerajaan dalam kegiatan golongan pemodal (capital); globalisasi ekonomi seimbang (sederhana) mendorong persaingan ekonomi domestik dan polisi kerajaan yang memberi tumpuan pada pencukaian serta pengurangan subsidi dalam sektor-sektor asasi dalam negara," katanya lagi.

Tambahnya, sebagai kesan daripada perkara ini, berlaku dapatan keuntungan dalam KDNK, namun jumlah keuntungan tersebut jauh lebih rendah dan tidak berbaloi dengan apa yang diperoleh oleh golongan pemodal (capital) yang menjalankan aktiviti perdagangan di Malaysia, khususnya pemodal luar.

"Sebagai contoh, penandatanganan perjanjian persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat khususnya dalam sektor perdagangan. Impak dapatan keuntungan AS bagi tahun lepas adalah RM105.05 bilion atau 73.7 peratus manakala Malaysia hanya memperoleh RM37.48 bilion atau 26.3 peratus sahaja," tambahnya lagi.

Tegasnya, kadar yang diberikan itu hanya diukur dari aspek kesan dan keuntungan secara umum tanpa mengambil kira kesannya kepada ekonomi rakyat.

"Adakah peningkatan tersebut menandakan ekonomi asasi rakyat juga turut cemerlang? Adakah peningkatan peratus KDNK 2007 tersebut melambangkan disflasi atau jurang kemiskinan rakyat-pemodal (capital) kian menguncup?" katanya.

Menurut Azlan, angka tersebut walaupun rendah, namun jika diimbangi oleh realiti pendapatan per kapita rakyat, sebenarnya masih tinggi bagi rakyat kebanyakan.

Namun katanya, inflasi Singapura 3.6 peratus dan pendapatan per kapita rakyat singapura sekarang adalah enam kali ganda daripada pendapatan per kapita rakyat Malaysia iaitu RM106,000 setahun atau RM8800 sebulan atau RM400 sehari.

Manakala inflasi Malaysia adalah 2.2 peratus dan pendapatan per kapita rakyat Malaysia sekarang adalah RM21,500 setahun atau RM1800 sebulan atau RM80 sehari.

"Adakah ini angka sebenar gaji atau pendapatan per kapita rakyat luar bandar? Patutkah keadaan sebenar inflasi dan jurang pendapatan per kapita rakyat antara Malaysia-Singapura ini dijadikan asas bersama bahawa ekonomi Malaysia berada pada tahap yang cemerlang?" katanya lagi.

Asal tranformasi GLC-Swasta adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan mengurangkan liabiliti hutang oleh kerajaan. Namun, GLC-Swasta telah meningkatkan kos perkhidmatan dan tetap menambahkan liabiliti kerajaan. Malah, lebih berorientasikan keuntungan, bukan kebajikan-keperluan rakyat.

Dalam pada itu, Azlan berpendapat walaupun pencapaian ekonomi Malaysia konsisten, namun ia tidak begitu cemerlang berbanding beberapa negara bangsa lain. Selain Malaysia, negara Singapura, Taiwan dan Korea Selatan merupakan negara dunia ketiga pada era 1970-an. Namun, ketiga-tiga negara tersebut tidak lagi dianggap negara dunia ketiga dengan tahap kemajuan yang dicapai.

"Pendapatan per kapita rakyat Singapura lapan kali ganda dari pendapatan per kapita rakyat Malaysia. Pendapatan per kapita rakyat Taiwan dua hingga tiga kali ganda yakni RM52,700 setahun dari pendapatan rakyat Malaysia. Manakala, pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan jauh lebih cemerlang iaitu RM66,000 setahun dari pendapatan per kapita rakyat Malaysia.

"Mengapa Malaysia tidak menonjolkan perbandingan konprehensif sebagaimana di atas untuk menunjukkan ekonomi Malaysia cemerlang? Patutkah KDNK Malaysia ini dibandingkan dengan realiti daif KDNK negara Afrika Utara, negara yang bergolak perang saudara dan keganasan dalaman?" katanya.

PMN sebelum ini pernah berura-ura mahu bertanding melawan Abdullah di Parlimen Kepala Batas, namun ianya tidak menjadi kenyataan gara-gara masalah teknikal.

0 ulasan: