Selasa, 4 Mac 2008

TIADA APA BOLEH DIHARAP DARIPADA PARTI LAWAN


BERITA HARIAN – ( 04-03-2008 )

SABTU ini, 8 Mac semakin hampir bagi rakyat membuat keputusan untuk menentukan pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Ada dua pilihan iaitu sama ada mahu memilih Barisan Nasional (BN) atau tiga parti pembangkang utama iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang pernah menamakan gabungan mereka sebagai Barisan Alternatif (BA).

Dari segi realitinya, ketiga-tiga parti pembangkang berkenaan tidak mampu membentuk kerajaan pusat. Justeru, awal-awal lagi slogan mengenai negara kebajikan yang didendangkan oleh Pas dan disokong PKR, hanya janji kosong umpama kepulan awan yang akan lenyap begitu saja.

Sebaliknya, BN akan meneruskan tradisi membela rakyat melalui usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat yang terangkum di dalam pengertian negara kebajikan.

Demikian juga kemungkinan mereka membentuk kerajaan negeri adalah tipis. Secara tradisinya pembangkang mungkin hanya mampu meraih beberapa kerusi Parlimen untuk mereka berada di Dewan Rakyat.

Ada yang berpendapat suara pembangkang diperlukan di Parlimen bagi menjalankan fungsi check and balance.

Apa pun BN pasti mendapat mandat baru daripada rakyat dengan majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan. Ia tidak lebih daripada memperbaharui lesen bagi meneruskan kesinambungan memerintah dan mentadbir negara.

Kita perlu akui bahawa sehingga kini tidak ada parti yang mampu menyaingi kewibawaan, keupayaan dan kekuatan BN.

Ada beberapa perbezaan utama di antara BN dan BA. Perbezaan inilah yang menjelaskan kepada kita betapa BN adalah parti pilihan yang unggul kerana memiliki pakej penting bagi membentuk sebuah kerajaan berwibawa dan berwawasan, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk.

Pertama, BN adalah sebuah parti yang secara tulen dapat menggabungkan parti komponen di bawahnya. Ini terbukti selama 50 tahun kemerdekaan negara. Sebagai satu parti yang sudah lama menggunakan satu lambang, maka ia sekali gus menggambarkan bahawa muhibah, pemuafakatan dan toleransi adalah kekuatan BN.

Justeru, BN penting bagi mengekalkan Malaysia yang bersatu padu. Perpaduan di kalangan komponen BN sudah cukup menggambarkan wajah Malaysia yang teguh dan bersatu padu. Hubungan kaum yang stabil akan menjadi landasan ekonomi dan sosial yang kukuh dan ini terbukti selama 50 tahun BN memerintah negara.

Tuduhan BN meminggirkan kaum tertentu, apa lagi tuduhan BN melakukan pembersihan kaum adalah karut semata-mata.

Sebaliknya, konsep BA bukan satu parti dalam pengertiannya yang sebenar. BA tidak berdaftar sebagai sebuah parti. Ia tidak memiliki satu lambang bersama yang dapat menggambarkan perpaduan dan wawasan yang meyakinkan.

Hubungan mereka umpama perkahwinan mutaah (kontrak) yang boleh dibubarkan pada bila-bila masa saja. Mutaah adalah satu bentuk perkahwinan yang hanya bertujuan memenuhi hawa nafsu.

Mereka tidak komited untuk membangun satu kehidupan yang benar-benar dapat menjamin satu masa depan yang baik dan terjamin untuk anak-anak mereka.

Demikianlah analoginya BA yang berjanji dengan pelbagai tawaran kepada rakyat tetapi mereka sendiri gagal bersatu dan bermuafakat sesama sendiri. Mereka saling mencurigai antara satu sama lain kerana berlainan ideologi.

Pas dan DAP adalah dua parti yang jauh berbeza dan kedua-duanya bersifat ekstrem dalam perjuangannya, manakala PKR dengan ideologinya yang kabur lebih memperjuangkan nasib Anwar Ibrahim. Justeru, BA tidak menggambarkan konsep integrasi nasional atau wajah
Malaysia yang sebenarnya.

Perbezaan kedua ialah BN adalah sebuah parti yang cukup berpengalaman dalam mentadbir dan mengurus negara. Pengalaman mereka bukan saja terbatas di dalam negara, malah memiliki pengalaman dalam hubungan antarabangsa.

Sebaliknya, pembangkang hanya berpengalaman dalam berceramah, mengkritik dan beretorika. Mereka tidak memiliki pengalaman dalam mentadbir urus negara. Peluang mereka memerintah negeri Kelantan tidak dapat dibanggakan dan dijadikan contoh kerana negeri itu tidak dapat dibangunkan selari dengan program pembangunan nasional.

Bagaimana mereka mampu mentadbir negara sedangkan mereka sendiri tidak memiliki perpaduan, toleransi dan permuafakatan. Justeru, pembangkang tidak dapat menjamin perlanjutan keselamatan negara kerana sering memainkan api perkauman. Pas dan DAP dilihat sebagai dua parti yang memiliki fahaman ekstrem masing-masing.

Politik pembangunan adalah pendekatan BN, sebaliknya pembangkang mengamalkan politik retorika. Politik pembangunan BN memberi manfaat kepada semua kaum. Politik pembangunan BN berjaya menyeimbangkan struktur ekonomi masyarakat.

0 ulasan: