Selasa, 4 Mac 2008

PAS SANGGUP SELEWENG IDEOLOGI CAPAI MATLAMAT


BERITA HARIAN – ( 04-03-2008 )

UNTUK menang, parti politik seperti Pas, sanggup melakukan apa saja, walaupun terpaksa menyelewengkan ideologi dan melintar-pintaskan penyokong.

Rekod pilihan raya lalu menunjukkan prestasi Pas hanya meningkat apabila ia bekerjasama dengan parti pembangkang seperti pada Pilihan Raya Umum 1969, 1974, 1990 dan 1999.

Pada 1969, Pas mewujudkan persefahaman dengan parti pembangkang, termasuk pembangkang bukan Melayu, untuk menentang Umno dan Perikatan. Pada pilihan raya itu, Pas menang 12 kerusi Parlimen dan 40 negeri.

Begitu juga ketika Pas bergabung dengan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan campuran pada 1974, Pas memenangi 14 kerusi Parlimen dan 46 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada 1990, Pas berjaya menawan semula Kelantan daripada BN setelah mewujudkan kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang disertai Parti Semangat 46. Pas menang tujuh kawasan Parlimen dan 33 kerusi DUN ketika itu.

Pada pilihan raya 1999, Pas menubuhkan Barisan Alternatif (BA) dengan DAP dan Keadilan (kini Parti Keadilan Rakyat - PKR), dengan mencapai kemenangan 27 kawasan Parlimen dan 98 kerusi DUN. Kejayaan ini adalah yang terbesar buat Pas dan ia adalah lebih dua kali ganda berbanding ketika ia bergabung dengan BN 25 tahun sebelumnya.

Ketika pilihan raya 1999 iaitu sewaktu bekerjasama dengan DAP dan Keadilan, Pas berkompromi dan memadamkan ideologi serta manifestonya untuk menubuhkan negara Islam. Kerana hendak 'memberi muka' kepada DAP, dan menang dalam pilihan raya, Pas sanggup menjadi hipokrit dan menggugurkan matlamat yang terpenting dalam ideologi Islam parti itu.

Ini menunjukkan Pas sanggup tidak menjadi Pas, asalkan parti itu dapat melihat peluang memperluaskan kuasanya, walaupun pada ketika ia dapat mengalahkan calon Melayu sendiri yang mewakili Umno-BN dan memenangkan calon bukan Melayu DAP di kawasan yang bercampur dengan jumlah pengundi Melayu kecil.

Pernah berlaku perbalahan dalam Pas disebabkan taktik ingin menang dalam pilihan raya 1999, tetapi ia berjaya dibendung. Namun pada 2004, Pas sekali lagi digegarkan oleh perbalahan dua "puak sekular" dan "puak Islam" dalam parti itu yang berpunca daripada keghairahan untuk menang besar dalam pilihan raya seperti dilakukannya pada 1999.

Dalam Pas, fenomena yang berkisar daripada perebutan pengaruh antara puak 'sekular' dan 'fundamentalis' boleh disusur sejak 1956. Pada tahun itu, Dr Burhanuddin Al-Helmi mengambil alih kepemimpinan Pas yang merosot daripada Dr Abbas Alias, setelah beliau mengalahkan Zulkifli Mohamad dalam pemilihan parti.

Kerana pembabitan beliau dalam gerakan politik kiri sebelumnya, Dr Burhanuddin pernah tidak diyakini dan dicurigai untuk memimpin Pas pada 1956. Oleh itu, di samping meraikan kemenangan dalam pemilihan tahun itu, pemimpin Pas mengingatkan Dr Burhanuddin supaya tidak menyeleweng daripada perjuangan Islam.

Namun sepanjang masa ketika beliau menjadi wakil rakyat Pas, suara lantangnya yang kedengaran jelas mengenai kebangsaan Melayu, ketuanan Melayu dan Melayu Raya. Malah dia bersumpah ketika Parti Kebangsaan Melayu Malaya diharamkan dalam tahun 1948 yang dia akan terus memperjuangkan kebangsaan Melayu atau nasionalisme Melayu.

Beliau membuat ucapan penting mengenainya di Parlimen dan menyokong usul Datuk Onn bahawa kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu mestilah bernama 'Melayu'.

Kemudian apabila usul dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober 1961 untuk menubuhkan Malaysia, Dr Burhanuddin menyokong usul kerajaan ini. Beliau kemudian menambah 'Melayu Raya' kepada usul itu untuk mencakup Indonesia, Filipina dan Kepulauan Melayu. Tetapi usul pindaan Dr Burhanuddin ini ditolak oleh Parlimen.

Walaupun nasionalisme atau assabiyah ini pernah diterima oleh Dr Burhanuddin sebagai salah satu prinsip, selain Islam dalam perjuangan Pas, namun kepada pemimpin Pas tahun 1980-an, perjuangan yang berasaskan assabiyah menjadi haram.

Selepas Dr Burhanuddin meninggal dunia pada 1969, kepemimpinan Pas jatuh kepada Tan Sri Mohd Asri Muda, juga seorang nasionalis yang ditugaskan untuk merealisasikan penubuhan sebuah negara Islam.

Kerana tidak bersetuju dengan beliau berikutan mirip kepada nasionalisme, pemimpin Pas yang cenderung kepada revolusi ala Iran mengatur gerakan untuk menggulingkannya.

Namun menoleh ke belakang, apakah bezanya Pas di bawah mana-mana pemimpinnya dulu atau sekarang. Bukankah semuanya menggunakan nama agama untuk menang pilihan raya?

Bezanya, kali ini, Pas menggantikan manifesto 'negara Islam' dengan 'negara kebajikan' kerana ingin mengambil hati rakan kongsinya, PKR dan DAP. Bukankah ini penyelewengan?

0 ulasan: