Isnin, 3 Mac 2008

STRATEGI 'PUJUK PENGUNDI KELANTAN KENA BETUL


BERITA HARIAN – ( 03-03-2008 )

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu ini amat besar ertinya bagi negara kita, khususnya Kelantan. Di antara soalan yang menjadi tanda tanya, berjayakah Barisan Nasional (BN) menguasai Kelantan atau akan terus dikuasai Pas?

Jika Pas mengekalkan kuasa, maka BN akan terpaksa menunggu empat atau lima tahun lagi di negeri itu. Jika BN berkuasa selepas pilihan raya umum minggu depan, tempoh masa lima atau empat tahun akan digunakan bagi memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya supaya terus diberi mandat oleh rakyat memerintah Kelantan seterusnya.

BN tidak boleh memandang ringan akan segala janji dalam manifesto pilihan raya. Jika mungkir janji, pastinya rakyat Kelantan akan menolaknya semula pada pilihan raya akan datang. Pengalaman tukar-menukar kerajaan (Pas-BN) sudah banyak kali berlaku dalam sejarah politik dan pentadbiran negeri Kelantan.

Sebelum 1978, Pas sudah memerintah Kelantan sehingga ditawan BN dalam Pilihan Raya 1978. BN berjaya mengekalkan kuasa sehingga 1990. Melalui Pilihan Raya Umum 1990, Pas merampas kembali Kelantan dan terus memerintah sehingga kini. Penawanan semula BN melalui pilihan raya pada kali ini adalah suatu yang tidak mustahil berlaku.

Kedudukan Pas dan BN sekarang adalah masing-masing antara yakin dan tidak. Pas hanya memerintah dengan satu kerusi majoriti iaitu 23 Pas dan 22 BN. Pada Pilihan Raya Umum 2004, Pas mendapat 24 kerusi dan BN 21 daripada keseluruhan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pilihan raya kecil diadakan pada 6 Disember 2005 di Pengkalan Pasir selepas wakil rakyat Pas meninggal dunia. BN menang dalam pilihan raya kecil ini dengan majoriti 129 undi. Dengan kemenangan kerusi Pengkalan Pasir inilah meningkatkan kedudukan BN kepada 22, iaitu hanya satu kerusi di belakang Pas.

Dalam keadaan begini, BN semakin yakin bahawa Kelantan akan dikuasainya dalam pilihan raya umum kali ini. Keadaan tidak sukar nampaknya bagi menawan Kelantan kerana BN hanya perlu menambah satu kerusi saja, akan dapat menguasai negeri itu.

Tetapi harus juga dipastikan bahawa BN mesti kuat dan mampu mengekalkan semua kerusi DUN yang dimenanginya sebelum Parlimen dan DUN dibubarkan baru-baru ini. Beberapa kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya lalu dengan majoriti sangat kecil, iaitu kurang 300 undi.

Ini termasuk kerusi DUN Manek Urai, Selising, Melor dan Mengkebang. Pihak BN perlu memastikan bahawa kerusi yang menang dengan majoriti kecil ini terus dipertahankan dalam pilihan raya ini. Jika semua kerusi dimenangi BN ini dapat dipertahankan kali ini, maka cita-cita BN mahu menguasai semula Kelantan adalah cerah dan tidak melalui jalan sukar. Jika kerusi majoriti kecil itu dirampas kembali Pas, maka cita-cita BN untuk merampas semula Kelantan menjadi lebih sukar.

BN mempunyai peluang cerah menambahkan bilangan kerusi kerana 23 kerusi dimenangi Pas itu juga ada lima kerusinya yang dimenangi dengan majoriti kecil, iaitu antara dua undi (seperti di DUN Kemuning) dan 105 undi. Yang lain termasuk kerusi DUN Kota Lama, Gaal, Temangan dan Pulai Chondong.

Kerusi DUN Pengkalan Pasir yang dimenangi Pas dengan majoriti 56 undi pada Pilihan Raya Umum 2004, berjaya di rampas kembali oleh BN dalam pilihan raya kecil 6 Disember 2005 dengan mendapat 129 undi majoriti.

Daripada keadaan percaturan politik pilihan raya yang digambarkan itu, kedua-dua pihak masing-masing mempunyai peluang menguasai Kelantan. Pas tidak berada dalam keadaan yang begitu selamat dan tidak begitu meyakinkan akan terus berkuasa mempertahankan majoriti DUN.

BN juga tidak benar-benar mempunyai laluan mudah bagi menguasai semula Kelantan. Datuk Dr Awang Adek mesti bekerja keras siang malam bagi mencapai matlamat menguasai Kelantan.

Calon BN di kawasan kerusi yang menang tipis adalah seperti DUN Manik Urai, Selising, Melor dan Mengkebang perlu benar-benar memastikannya tidak dirampas Pas. Calon BN di Selising, Hashim Ismail sebagai muka baru dan golongan muda, perlu bekerja lebih kuat kerana laluannya mudah.

Pertandingan sekarang bukan lagi merebut 45 kerusi DUN, tetapi hanya 44 kerusi selepas kerusi DUN Kijang dimenangi Wan Ubaidah Omar tanpa bertanding. Pas hanya memerlukan 22 kerusi saja lagi untuk terus menguasai kerajaan negeri Kelantan.

Kedudukan dan pengaruh Pas tidak boleh dianggap lemah, walaupun mengekalkan kuasa di Kelantan dengan hanya satu kerusi majoriti. Kekuatan dan pengaruh Pas ini dapat dilihat daripada keputusan pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005.

Cara berkempen mesti benar-benar tepat. Sosiologi, psikologi dan kehendak masyarakat tempatan Kelantan harus benar-benar difahami kerana dalam era globalisasi ini, beberapa ciri yang wujud dalam masyarakat Kelantan masih dikekalkan dan sukar ditembusi.

Oleh Dr Mohd Noor Yazid

(Universiti Malaysia Sabah)

0 ulasan: