Isnin, 3 Mac 2008

MANIFESTO TAMBAHAN BN BAKAL UBAH NASIB KELANTAN


BERITA HARIAN – ( 03-03-2008 )

MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu ini, Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan manifesto tambahan, dalam usaha untuk merampas kembali negeri itu yang dikuasai Pas sejak 18 tahun lalu. Manifesto bertajuk 'Kelantan Baru-Kelantan Maju 2008: Agenda Untuk Perubahan' yang dilancarkan kelmarin, bakal menguatkan semangat dan usaha BN menggempur kubu terakhir Pas di Pantai Timur itu selepas Terengganu berjaya dibolos pada pilihan raya umum lalu. Dengan mengemukakan sepuluh teras utama, manifesto berkenaan dijangka mampu membawa perubahan yang cukup besar kepada sosioekonomi penduduk dan fizikal negeri berkenaan, sekiranya rakyat memilih BN kali ini. Rakyat Kelantan perlu melihat negeri jiran, Terengganu yang membangun dengan segala projek besar yang tidak pernah diimpikan sebelum ini, hasil usaha yang dibawa oleh BN. Jika Kelantan berjaya diperintah BN selepas ini, maka sudah tentu banyak lagi projek yang juga tidak pernah mereka impikan sebelum ini, akan menjadi kenyataan dan inilah antara inti pati manifesto tambahan itu.

Teras utama manifesto tambahan itu turut menggariskan pelaksanaan Islam Hadhari yang mampu menjana kemajuan; merakyatkan pembangunan; menggilap modal insan dan menghapuskan kemiskinan tegar dalam tempoh tiga tahun BN memerintah Kelantan. Selain itu BN juga berusaha menghapuskan imej Kelantan ketinggalan di mata rakyat; mempelbagaikan sumber ekonomi negeri; merakyatkan seni, budaya, sukan serta warisan Kelantan. Malah, Kelantan bakal menikmati pembangunan melalui Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER), yang dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kesembilan. BN Kelantan turut mengetengahkan 16 langkah yang bakal diambil bagi menangani masalah yang dicetuskan Pas sejak empat penggal lalu. Inilah janji BN kepada rakyat Kelantan sekiranya mereka diberi mandat untuk mentadbir semula negeri itu pada pilihan raya umum kali ini. Apa yang dijanjikan BN, sebenarnya boleh dilaksanakan kerana hubungan BN negeri dan Pusat amat baik, malah selama ini, BN yang menjadi pembangkang tidak menghadapi kesulitan untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek untuk kemudahan rakyat di Kelantan.

Ini berbeza dengan janji Pas, yang belum tentu dapat ditunaikan kerana negeri itu berdepan masalah kewangan, malah banyak janji yang dihamburkan dalam pilihan raya umum sebelum ini belum dilaksanakan. Kita berpendapat, pengundi di Kelantan perlu memberi peluang kepada BN untuk kembali memerintah, selain dapat memajukan negeri kerana mereka bakal memperoleh pembangunan yang gagal dinikmati sejak hampir dua dekad lalu. Inilah janji BN yang tidak ada di negeri lain dan pengundi Kelantan tidak harus melepaskannya untuk kebaikan mereka sendiri. Mungkin rakyat tersepit dalam membuat keputusan sama ada untuk berubah atau kekal dengan kerajaan lama. Namun sesuatu yang perlu difikirkan ialah rakyat tidak boleh menolak pembangunan kerana bagi menghadapi globalisasi, kita perlu berubah dan menguasai keadaan. Kita tidak boleh membiarkan keadaan menguasai kita dan ini akan membuatkan kita leka dan cukup dengan apa yang ada, sedangkan globalisasi berada di belakang kita. Terlambat kita berubah, bermakna kita terus tertinggal. Dalam pada itu, jentera pilihan raya Kelantan, perlu terus memantapkan kempen. Kini terpulang kepada rakyat untuk menikmati perubahan terutama kemajuan pembangunan yang hanya dapat dinikmati, sekiranya BN diberi peluang mencorak acuan pembangunan Kelantan untuk masa depan.

0 ulasan: