Isnin, 3 Mac 2008

E-LEARNING SEDIA PELUANG PENDIDIKAN


BERITA HARIAN – ( 03-03-2008 )

KOTA BHARU: Kerajaan sentiasa menyedia peluang kepada semua lapisan rakyat mendapat pendidikan tinggi, termasuk melalui konsep pembelajaran sepanjang hayat atau e-learning.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Prof Datuk Dr Hasan Said, berkata menerusi konsep e-learning, rakyat dapat meningkat kemahiran diri tanpa meninggalkan pekerjaan.

"Kursus Sarjana Muda Sains Kejururawatan yang dikendalikan Open University Malaysia (OUM) contohnya, membolehkan jururawat menyambung pelajaran tanpa menyebabkan perkhidmatan mereka di hospital terjejas.

"Dalam dunia yang amat kompetitif sekarang, tambah lagi dalam bidang perubatan dan kesihatan, peningkatan penggunaan teknologi yang cepat memerlukan jururawat juga ditingkatkan kemahiran mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Program Sarjana Muda Sains Kejururawatan dan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian OUM-USM (Universiti Sains Malaysia) yang dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed, di Kubang Kerian, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Naib Canselor OUM, Prof Tan Sri Anuwar Ali; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Prof Ahmad Shukri Mustapha Kamal; dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Mafauzy Mohamed.

Menerusi perjanjian ini, USM membenarkan segala kemudahan di Kampus Kesihatan digunakan sebagai pusat latihan klinikal pelajar Kursus Kejururawatan OUM, selain menyediakan penyelia latihan itu.

Hasan berkata, apa yang menarik ketika kursus itu mula diperkenalkan di OUM di Lembah Klang, Mei tahun lalu, hanya 97 jururawat menyertainya tetapi kemasukan pertama di cawangan OUM Kelantan Januari lalu membabitkan 146 jururawat.

"Ia menunjukkan rakyat Kelantan ramai yang dahagakan pendidikan tinggi, cuma mereka tidak berpeluang berbuat demikian sebelum ini. Kini kerajaan akan memberi peluang seluas mungkin kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Anuwar berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan USM atas kerjasama diberikan kepada OUM, sekali gus membolehkan sistem kejururawatan di negara ini dipertingkatkan.

0 ulasan: