Selasa, 4 Mac 2008

MANIFESTO BELA NASIB KELANTAN


BERITA HARIAN – (04-03-2008)

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan tiada sebab untuk menolak manifesto tambahan Barisan Nasional (BN) negeri kerana ia mampu membawa perubahan besar kepada hidup mereka dan Kelantan sendiri.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kandungan manifesto itu yang merangkumi semua aspek dilihat sebagai wadah terbaik kepada usaha membangunkan rakyat dan negeri ini.

Katanya, ia memberikan jaminan ke arah membawa transformasi atau lonjakan besar untuk Kelantan, sekali gus menjamin faedah serta peluang terbaik untuk masa depan rakyatnya.

"Rakyat Kelantan tidak sepatutnya menolak manifesto BN Kelantan ini. Jangan menolak rezeki kerana apa yang terkandung di dalamnya meliputi semua perkara.

"Saya melihatnya sebagai satu peluang ke arah transformasi dan anjakan besar untuk rakyat Kelantan maju seiring dengan rakyat negeri lain di negara ini," katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dengan petani Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jaya Peringat, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kada, Datuk Seri Annuar Musa dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hasil ladang merdeka kolam musim 1/2007 dan peralatan usahawan industri asas tani bimbingan Kada kepada petani kawasan itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau sudah mengkaji manifesto BN itu dan kandungannya banyak berusaha memberi kesenangan kepada rakyat.

Katanya, ia bertentangan dengan manifesto Pas yang dilihat tidak mampu merealisasikan segala keperluan rakyat di negeri ini disebabkan kurang sumber kewangan.

"Contoh kejayaan BN dapat dilihat dengan kejayaan Kada yang menjadi sebuah organisasi berjaya membela nasib golongan petani di negeri ini.

"Semua ini sudah tentu tidak mampu diberikan Pas. Jaminan kerajaan Pusat dalam tempoh lima tahun akan datang, petani akan menikmati pendapatan RM1,600 sebulan termasuk di Kelantan," katanya.


Beliau berkata, dari segi rasionalnya, adalah tidak wajar untuk rakyat Kelantan menolak segala kemudahan serta tawaran yang sudah dihidangkan BN.

"Semuanya sudah terhidang di depan mata, hanya terpulang kepada rakyat Kelantan untuk memilih BN atau sebaliknya. Sekiranya menolak, ia adalah satu kerugian besar kepada rakyat dan negeri ini," katanya.

Katanya, kini adalah fasa kritikal serta masa penentuan yang akan membentuk hala tuju rakyat Kelantan bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Rakyat Kelantan jangan terlalu emosional serta harus berfikir secara rasional dan kalau mereka waras, harus tolak sentimen politik bagi menentukan nasib yang lebih cemerlang pada masa depan," katanya.

0 ulasan: