UTUSAN MALAYSIA – ( 01-03-2008 )
JIKA dilihat secara keseluruhannya, kepesatan pembangunan dan kemajuan negara dalam pelbagai bidang sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu bergerak pada landasan yang sangat baik.
Dalam kerancakan pembangunan itu juga, masyarakat minoriti termasuk rakyat di kawasan luar bandar tidak sesekali dipinggirkan sebaliknya diberi perhatian khusus dalam bersama-sama berkongsi kemajuan tersebut.
Ia terbukti apabila pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan menjadi agenda utama dalam rangka pembangunan kerajaan dan digerakkan secara khusus di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW).
Seperti kata Menterinya, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsudin, kementerian itu memikul tanggungjawab yang sangat besar apatah lagi kebanyakan masyarakat luar bandar seperti petani, pesawah, pekebun kecil dan nelayan merupakan masyarakat Melayu dan bumiputera.
Sesuai dengan zaman yang penuh persaingan hari ini, tumpuan memperkasakan masyarakat luar bandar lebih menjurus kepada aspek pembangunan modal insan dan usaha melonjakkan ekonomi yang diyakini dapat membantu usaha membasmi kemiskinan.
“Antara dua aspek itu, pembangunan manusia akan diberi tumpuan lebih utama kerana manusia merupakan faktor penentu kejayaan program yang dilaksanakan di luar bandar.
“Oleh sebab itu juga, pembangunan modal insan turut dijadikan teras pertama dalam enam teras Strategi Teras Kementerian dalam Rancangan Malaysia Kesembilan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Dalam menjayakan teras itu menurut Aziz, ia turut disokong dengan program-program lain seperti merapatkan jurang digital, program lonjakan ekonomi, meningkatkan produktiviti dan pendapatan penduduk desa.
Menilai konteks yang dicapai di kawasan luar bandar, beliau menekankan, ia perlu dilihat melalui beberapa aspek seperti pembangunan fizikal, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan pembangunan modal insan.
Dari segi pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar misalnya, purata pendapatan pekebun kecil getah berjaya dipertingkatkan daripada RM758.12 sebulan pada 2004 kepada RM1,553 pada 2007.
Peningkatan pendapatan itu ekoran penambahan produktiviti pekebun kecil getah iaitu daripada 1,290 ke 1,327 kilogram per hektar setahun dalam tempoh berkenaan.
Dalam usaha membasmi kemiskinan pula, kementerian pada 2007 berjaya mengeluarkan seramai 9,477 orang daripada 48,134 orang Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIR MT) daripada garis kemiskinan.
Ia bermakna, KIR MT yang berdaftar dengan kementerian yang akan dikeluarkan daripada kongkongan miskin tegar menjelang 2010 berbaki kira-kira 38,657 orang.
Selain masyarakat luar bandar, tumpuan turut diberikan dalam membangunkan masyarakat Orang Asli dan tempoh di antara 2000-2007, masyarakat Orang Asli miskin tegar berjaya dikurangkan daripada 25,337 kepada 13,945 orang.
“Melihat kepada kejayaan ini serta perancangan yang sedang dibangunkan untuk masyarakat Orang Asli, kita (Malaysia) sebenarnya merupakan salah sebuah negara yang begitu bersungguh-sungguh membawa kemajuan dan pembangunan kepada masyarakat Orang Asli berbanding negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan Australia,” jelasnya.
Menyentuh mengenai beberapa projek mega yang diperkenalkan oleh kerajaan yang dikatakan ‘ditumpang’ oleh kementeriannya, Aziz menjelaskan, situasi itu tidak pernah berlaku memandangkan semua pihak memberikan kerjasama dan memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan masyarakat luar bandar.
Malah, KKLBW juga sebenarnya berasa bangga kerana projek agropolitan yang dirancang menjadi ikon kepada pengisian perancangan pembangunan koridor pembangunan seperti Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
“Saya juga yakin SCORE (Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak) di Sarawak dan NCER (Koridor Ekonomi Wilayah Utara) di wilayah utara juga akan menjadikan agropolitan sebagai salah satu pengisian perancangan pembangunan di koridor-koridor berkenaan,” katanya.
Ketika ini juga tambah Aziz, kementerian sedang melaksanakan empat projek agropolitan luar bandar dan merancang beberapa lagi di seluruh negara yang akan memberi impak mengurangkan sehingga 10,000 KIR MT menjelang 2010.
Menilai daripada apa yang telah dilaksanakan oleh kementerian, bukanlah sesuatu yang sukar. Kelebihan itu pula disokong dengan program pembangunan modal insan untuk melahirkan masyarakat yang lebih maju, memiliki nilai murni dan jati diri unggul.
Perubahan kawasan luar bandar yang dahulunya mundur, terpencil dan terbiar kini menjadi satu kawasan yang mempunyai prasarana yang lengkap, turut menyumbang pengurangan penghijrahan golongan muda dan produktif ke bandar.
0 ulasan:
Catat Ulasan