Rabu, 5 Mac 2008

PENGUNDI AKAN PILIH PEMIMPIN MESRA RAKYAT


UTUSAN MALAYSIA – (05-03-2008)

JOHOR BAHRU 4 Mac – Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohamed Rahmat, 70, menjangkakan para pengundi akan memilih calon yang ‘mesra’ dan mudah didekati pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

Selain faktor kemesraan katanya, pengundi sekarang yang semakin bijak, pasti memilih calon berpersonaliti baik dan menarik, berkelulusan tinggi, mempunyai kedudukan kewangan kukuh, tegas dan boleh memimpin.

“Berdasarkan pengalaman menjadi wakil rakyat selama 26 tahun iaitu ketika usia saya 30 tahun, faktor mesra rakyat hingga ke akar umbi merupakan peratusan terbesar iaitu sekitar 40 peratus, diikuti personaliti sebanyak 30 peratus, manakala bakinya hanyalah dianggap sebagai aksesori atau tambahan sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau yang juga bekas Menteri Penerangan ditemui selepas meninjau kempen anaknya, Datuk Nur Jazlan yang mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada pilihan raya umum kali ini. Nur Jazlan ditentang calon Pas, Abdullah Ideris.

Mohamed berkata, memang menjadi tugas berat bagi pucuk pimpinan BN untuk memilih calon-calon yang benar-benar memenuhi kriteria itu.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Pulai itu menyarankan kepada pucuk pimpinan BN supaya mengambil kira nama-nama yang diputuskan bahagian kerana senarai calon berkenaan merupakan kehendak dan cita rasa peringkat akar umbi yang akan mewakili mereka jika memenangi pilihan raya berkenaan.

Mohamed berkata, ini bermakna setelah lebih 50 tahun merdeka, sewajarnya tidak wujud calon ‘payung terjun’ kerana ia boleh merosakkan parti.

“Apa guna kita berpolitik, kalau peraturan atau perlembagaan parti tidak dipatuhi kerana keadaan ini jika tidak dibendung boleh menimbulkan pergeseran serta masalah dalaman dan melemahkan parti tersebut,” katanya.

Mengenai trend generasi sekarang yang kurang berminat untuk memanfaatkan hak mengundi, Mohamed melahirkan kebimbangannya.

0 ulasan: