Rabu, 5 Mac 2008

PAS SEMAKIN TERDESAK DI KELANTAN - HISHAMMUDDIN


UTUSAN MALAYSIA – (05-03-2008)

SIK 4 Mac – Tindakan Pas yang akan melakukan apa saja cara termasuk menggunakan kekerasan menggambarkan pemimpin parti itu kini sudah sedar bahawa mereka akan tewas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tersebut langsung tidak menunjukkan semangat demokratik kerana mereka sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk mencapai kemenangan.

“Pas sudah berada di sudut tertekan dan sebagai orang terdesak, mereka akan lakukan apa saja.

“Malah, semua ini membawa kepada petanda bahawa Pas akan kalah di Kelantan,’’ katanya kepada para pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga pendidik daerah Baling/Sik di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya dekat sini hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Akhbar Presiden Pas, Roslan Shahir Mohd. Shahir semalam yang memberi amaran parti itu akan melakukan apa saja tindakan termasuk menggunakan kekerasan bagi menghalang apa yang didakwanya pengundi upahan atau pengundi hantu pada pilihan raya Sabtu ini.

Roslan yang juga penyelaras Sekretariat Media Pilihan Raya di Ibu Pejabat Pas Pusat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai perjalanan bas yang dikatakan akan membawa pengundi hantu dari seluruh negara ke Kelantan dan Terengganu.

Menurut Hishammuddin, taktik Pas yang menggunakan strategi menuduh BN membawa pengundi hantu dianggap cetek dan memang boleh diduga.

“Pas ini memang daripada dulu lagi. Itulah perkara yang sama mereka bangkitkan. Malangnya, strategi ini sudah cetek dan semua sudah tahu,’’ katanya.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas yang diterimanya menerusi Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, kebanyakan pengundi di negeri itu kini cenderung memilih BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

Katanya, ramai di kalangan rakyat Kelantan terutamanya di kalangan orang muda turut menyuarakan pandangan bahawa mereka mahukan perubahan di negeri itu.

“Oleh sebab itu, saya telah meminta Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin supaya memimpin anak-anak muda menawan semula Kelantan daripada Pas kali ini,’’ jelasnya.

0 ulasan: