Isnin, 3 Mac 2008

'ACU, CUBA, TERA, TEST BN KALI NI'

'Acu, cuba, tera, test BN kali ini'

UTUSAN MALAYSIA – (03-03-2008 )

PASIR PUTEH 2 Mac - Semua janji yang terkandung dalam manifesto khusus 'Merawat Kelantan' mampu dilaksanakan sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) mendapat mandat memerintah negeri ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN sudah bersedia sepenuhnya untuk membela rakyat Kelantan dan membangunkan negeri ini yang mempunyai ramai modal insan cemerlang, setanding dan setaraf dengan negeri lain.

"Acu, cuba, tera, test BN kali ini, tak lama empat atau lima tahun jah, kalu tak suko boleh ganti dengan hok lain dan kalu suko sambunglah lagi," katanya dalam loghat Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bangunan baru Pertubuhan Peladang Kawasan Tiga Daerah, Pasir Puteh di sini hari ini.

Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; penyandang kerusi Parlimen Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang serta Ketua Pengarah LPP, Datuk Abdul Rahim Ahmad.

Najib berkata, kekerapan beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi datang ke Kelantan tidak mempunyai agenda lain melainkan niat ikhlas untuk membantu penduduk dan negeri ini ke arah yang lebih baik.

Jelas beliau, kedua-dua parti UMNO dan Pas adalah sama-sama Islam cuma yang membezakannya ialah UMNO memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu berbanding dengan Pas yang hanya gah pada slogan tetapi isi dalamnya kosong.

"Pas hebat dengan slogannya, Membangun Bersama Islam, dan ada Tabung Serambi Mekah tetapi kita tidak mahu Islam hanya pada luaran.

"Islam yang UMNO bawa sangat luas dan berkait dengan pembinaan tamadun Islam yang cemerlang dan meninggikan martabat umatnya," katanya.

Tambah Najib, UMNO menjadikan umat Islam hebat dan kuat dengan memiliki kelebihan dalam pelbagai aspek sehingga diiktiraf oleh negara-negara maju lain.

0 ulasan: