Selasa, 4 Mac 2008

LUAR BANDAR TUNJANG KEKUATAN EKONOMI


BERITA HARIAN – ( 04-03-2008 )

PEMBANGUNAN luar bandar di negara ini mula dilaksanakan sebaik negara mencapai kemerdekaan selaras dengan rancangan pembangunan lima tahun kerajaan. Ini bermakna sejak 50 tahun lalu, pembangunan di kawasan luar bandar tidak pernah diabaikan malah sentiasa berkembang pesat. Hakikat ini tidak dapat dinafikan sesiapapun dan dicemburui negara lain yang mencapai kemerdekaan hampir sama dengan Malaysia. Transformasi pembangunan di negara ini bukan saja di bandar, malah luar bandar. Kemajuan datang bertali arus melalui rancangan pembangunan lima tahun dan kini dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Pembangunan pesat itu memberi keselesaan hidup kepada penduduk di kawasan luar bandar yang mencecah hampir 60 peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini. Kerajaan amat prihatin terhadap keperluan penduduk di kawasan terbabit kerana mereka bukan saja menjadi penyokong kuat dasar kerajaan, tetapi kerana mereka memang memerlukan kemajuan bagi mengubah kehidupan terutama kemudahan asas. Sebagai contoh, penduduk di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, selain beberapa kawasan di Semenanjung, masih memerlukan bantuan terus daripada kerajaan untuk mengubah kehidupan mereka. Sebab itulah, kemenangan BN di kawasan luar bandar dan pedalaman akan menjamin kesinambungan pembangunan, yang mustahil boleh dijayakan oleh parti pembangkang dalam usaha membawa mereka keluar daripada lingkaran kemiskinan.

Bagi merealisasikan hasrat membantu merapatkan jurang pendapatan antara penduduk di bandar dan luar bandar, kerajaan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar. Untuk pembangunan yang seimbang, kerajaan sejak lima tahun lalu melaksanakan pembinaan jalan kampung sejauh 12,000 kilometer selain membuka 64 klinik desa yang baru. Bagi Sabah dan Sarawak, liputan bekalan elektrik dalam tempoh berkenaan masing-masing mencapai 74 peratus dan 83 peratus. Dalam tempoh lima tahun lalu, kerajaan turut memberi tumpuan khusus kepada pembangunan di kawasan luar bandar di kedua-dua negeri itu kerana selama ini, kawasan pedalaman negeri berkenaan agak ketinggalan berbanding negeri lain di Semenanjung. Ini sekali lagi bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap memberi perhatian walau di mana rakyatnya berada.

Selain pembangunan infrastruktur yang disalurkan kepada luar bandar, peluang pendidikan dan kesihatan untuk kanak-kanak dan penduduk turut diberikan perhatian khusus kerajaan. Kedua-dua elemen itu amat penting bagi memastikan jurang kehidupan penduduk di luar bandar setaraf dengan rakan mereka di bandar yang diketahui memiliki banyak kemudahan. Atas alasan berkenaan, kerajaan mengembangkan semua sektor pertanian di kawasan luar bandar, bagi memastikan penduduk luar bandar yang majoritinya petani, memperoleh hasil lumayan. Berikutan peningkatan harga getah dan kelapa sawit, selain tanaman kontan lain, pendapatan penduduk di kawasan luar bandar semakin meningkat. Malah melalui koridor pembangunan wilayah yang dilancarkan sebelum ini, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan di kawasan luar bandar, yang bakal meningkatkan pendapatan keluarga di kawasan terbabit. Apapun, dalam keghairahan kita menyalurkan pembangunan berbentuk fizikal kepada rakyat, usaha untuk mengubah minda penduduk supaya lebih berdikari dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Kita menganggap revolusi mental yang pernah diketengahkan dulu, mungkin boleh dinilai semula, bagi membolehkan penduduk luar bandar dapat berdiri sendiri dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi pada masa depan, seperti yang dilakukan penduduk luar bandar di Jepun dan Korea Selatan.

0 ulasan: