Rabu, 5 Mac 2008

PENGUNDI TAK PERLU TAKUT UGUTAN PAS


BERITA HARIAN – (05-03-2008)

TINDAKAN Pas mengugut untuk menggunakan kekerasan bagi menghalang apa yang didakwanya pengundi hantu pada hari mengundi Sabtu ini adalah taktik terbaru parti pembangkang itu untuk menakutkan pengundi yang tidak menyokongnya keluar membuang undi. Pas mencemari proses berkempen yang hanya tinggal tiga hari dengan kenyataan provokatif yang boleh mengundang bahaya kepada keselamatan umum. Kita percaya Pas sengaja menimbulkan suasana tidak selesa kepada pengundi kerana mereka tahu tidak mungkin dapat mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum kali ini. Bagaimanapun, menimbulkan kejadian ketika proses pilihan raya bukan perkara baru bagi parti pembangkang. Sejarah hitam ketika proses pilihan raya sehingga menyebabkan kematian membabitkan penyokong parti politik pernah berlaku di Lubok Merbau, Kedah pada awal 1980-an. Begitu juga kekecohan ketika pilihan raya kecil di Lunas, Kedah pada 1999 selain kejadian berdarah di Batu Burok, Terengganu, pada 2006. Semua kekecohan berlaku membabitkan penyokong parti ketika pilihan raya berlangsung, kecuali yang terakhir berlaku berkaitan ceramah politik.

Emosi penyokong sekiranya diasah dengan maklumat yang belum tentu kebenarannya boleh mengakibatkan kekecohan, malah ada yang berakhir dengan pertumpahan darah. Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanjangkan tempoh berkempen dari sepuluh hari kepada 13 hari, memberi ruang kepada semua parti politik untuk berkempen dengan tertib. Malangnya, hanya pada minggu pertama kempen didapati berlangsung dalam keadaan aman. Tiada laporan diterima mengenai kekecohan membabitkan penyokong parti yang bertanding kecuali kes terpencil membabitkan kekasaran terhadap wartawan, ini membuatkan andaian bahawa proses pilihan raya kali ini bakal berjalan dengan aman.

Bagaimanapun, kenyataan Sekretariat Media Pilihan Raya Pas yang ingin menggunakan kekerasan pada hari pengundian, mencetuskan kebimbangan terutama di kalangan pengundi dan jentera pilihan raya parti lain di kawasan yang dianggap panas. Nampaknya masalah pengundi hantu, terus menghantui parti pembangkang setiap kali pilihan raya berlangsung. walaupun SPR secara tegas menafikannya. Pihak pembangkang tetap menjadikannya isu, malah semakin hampir dengan tempoh pengundian, isu ini digunakan sehingga cukup mempengaruhi penyokongnya. Pas menggunakan strategi serangan 'pre-emptive' pada pilihan raya kali ini, terutama bagi mempertahankan kerajaan yang dipegangnya sejak 18 tahun di Kelantan. Dengan mengeluarkan kenyataan provokasi lebih awal, pandangan umum bakal terbentuk seolah-olah pihak lawan menggunakan taktik kotor untuk merebut kembali Kelantan. Inilah cuba dilakukan Pas.

Parti pembangkang itu kini dalam keadaan cukup 'defensif' berikutan kempen hebat Barisan Nasional (BN) merebut Kelantan, sebagai strategi ia menggunakan helah pengundi hantu, yang sebelum ini berjaya dieksploitasi di Lunas. Nampaknya Pas sanggup melakukan apa saja termasuk menggunakan kekerasan bagi memastikan ia terus berkuasa di Kelantan. Inilah yang dapat kita andaikan berdasarkan kenyataan beremosi berkenaan. Bagi menangani akibat kenyataan itu, pihak berkuasa terutama polis perlu memberi perhatian khusus termasuk persediaan rapi di kawasan pusat pengundian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Dalam pada itu, pengundi pula perlu menunaikan tanggungjawab mereka pada hari berkenaan tanpa perlu bimbang kerana pihak berkuasa akan memastikan keselamatan mereka terjamin.

0 ulasan: