Isnin, 3 Mac 2008

NAJIB : ISLAM BN BUKAN SEKADAR SLOGA


BERITA HARIAN – ( 03-03-2008 )

BACHOK: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangunan Islam yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) mencakupi semua aspek kehidupan umatnya dan bukan sekadar slogan kosong seperti dilaungkan Pas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun BN dan Pas sama-sama mengamalkan Islam, pendekatan BN lebih realistik serta mampu memajukan ummah sehingga dihormati masyarakat antarabangsa.

"Memang BN dan Pas sama-sama mengamalkan Islam tetapi BN tidak mahu Islam itu semata-mata dilihat dari segi luaran dan akidah saja.

"Puak hijau yang di dalamnya kosong itu pun nak Islam, banyak bunyi Islam, sekadar slogan membangun bersama Islam tetapi segalanya kosong," katanya ketika merasmikan Bangunan Baru Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kawasan Tiga Daerah Pasir Puteh di sini, semalam.

Najib berkata, Islam bukan hanya membabitkan soal akidah dan akhlak, sebaliknya turut mencakupi perjuangan membina tamadun yang cemerlang dan hebat.

"Itu bezanya antara Umno dan Pas. Kita perjuangkan bukan saja Islam, tetapi martabat dan maruah umat Islam," katanya.Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 2 pula, Najib berkata, Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi, memuji Malaysia yang disifatkan sebagai contoh negara Islam terbaik di dunia.

Beliau berkata, Sheikhul Al-Azhar juga mengiktiraf apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah mengikut al-Quran serta sunnah Rasulullah.

"Islam tidak suka umatnya mundur dan menolak kemajuan. Sebarang usaha kebajikan adalah kehendak Islam, menghapuskan kemiskinan juga Islam, malah menyediakan peluang pekerjaan, itu juga Islam. Jangan kita sempit pengertian Islam.

"Kalau Islam agama pembangunan dan kemajuan, tidak suka tengok umatnya mundur, hidup dalam kemiskinan, terhina serta dijajah orang lain, bukankah itu menjadi asas perjuangan Kerajaan BN selama ini," katanya.

Sehubungan itu, Najib yang mempunyai program padat sempena lawatannya ke negeri ini, berkata rakyat Kelantan tidak seharusnya menolak kemajuan dan perubahan yang mahu dibawa BN.

"Kenapa kita tidak mahu perubahan, sedangkan Islam adalah agama kemajuan, kejayaan, pembangunan dan kemakmuran dunia serta akhirat. Islam bukan agama yang membawa kemunduran kepada umatnya dan kerosakan kepada bumi ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri percaya selepas 18 tahun di bawah Pas, rakyat Kelantan kini semakin bersedia membuka minda dan menerima penerangan yang diberikan BN mengenai usaha membangunkan negeri ini.

Sambil mengarahkan seluruh jentera BN bekerja habis-habisan, Najib berkata: "Kini adalah masa terbaik untuk BN ambil alih Kelantan. Seluruh jentera BN perlu ketepikan soal remeh temeh. Mereka wajib sokong semua calon yang diputuskan parti."

Pada majlis peletakan batu asas Masjid Kubang Sawa dekat Pengkalan Kubor yang bernilai RM1.4 juta, lewat petang semalam, Najib juga mengingatkan rakyat Kelantan supaya tidak membiarkan Pas terus menyempitkan pengertian dan tafsiran Islam.

Katanya, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sudah menyatakan komitmen bagi memastikan semua janji dalam manifesto BN Kelantan akan dilaksanakan sebaik diberi mandat kali ini.

Beliau meminta seluruh pengundi Kelantan, termasuk di luar negeri ini, supaya mengundi BN bagi membolehkan perubahan dibuat ke arah Kelantan Baru, Kelantan Maju.

0 ulasan: