Isnin, 3 Mac 2008

HARAKAH : ANWAR CABAR PAK LAH NAIKKAN GAJI RAKYAT SEPERTI SINGAPURA


HARAKAH – ( 03-03-2008 )

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Hrkh) - "Jika betul Abdullah menyatakan harga minyak di Malaysia naik kerana alasan harga minyak di Singapura naik, saya cabar dia menaikkan gaji rakyat Malaysia sama seperti gaji rakyat Singapura. Gaji rakyat Singapura lima kali ganda berbanding rakyat Malaysia."

Demikian cabaran yang dikemukakan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai amaran kepada Pengerusi Barisan Nasional, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kononnya menjanjikan harga minyak tidak akan dinaikkan sebagaimana yang tertulis dalam manifesto pilihan raya Barisan Nasional.

Katanya, sepanjang lapan tahun beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, harga minyak tidak pernah dinaikkan. Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada September 1998, pada November 1998, harga minyak terus dinaikkan.

Jelasnya, tawaran Barisan Alternatif(BA) cukup mudah iaitu sekiranya BA memenangi pilihan raya, pada 9 Mac harga minyak akan diturunkan.

"Pernahkah kita dengar kerajaan yang menolong rakyat dengan menurunkan harga minyak akan menyebabkan negara bankrap, sebagaimana yang dinyatakan Najib?

"Negara akan menjadi bankrap jika menteri rompak harta rakyat, negara akan bankrap jika beli kapal selam dan ambil komisyen 530 juta. Negara akan bankrap jika sekolah 100 juta tetapi dikenakan 140 juta. Negara akan bankrap jika jalan rosak tetapi diserahkan kepada Samy Vellu semua dinaikkan harga,"katanya sewaktu berucap di ceramah umum bertempat di Padang Taman Kosas, petang semalam.

Ceramah tersebut turut disampaikan oleh calon PAS Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin; calon Dun Bukit Antarabangsa; Azmin Ali serta calon Dun Lembah Jaya yang mewakili PAS, Khasim Abdul Aziz. Ceramah tersebut mendapat sambutan hebat daripada para hadirin kira-kira 5,000 orang termasuk kaum India dan Cina.

Dalam pada itu, tegas Anwar, gelombang kebangkitan rakyat dapat dilihat melalui sambutan orang ramai dalam setiap siri ceramah yang diadakan pihak BA.

Katanya, dalam program sehari beliau menjelajah Selangor semalam, melalui ceramah yang diadakan, ramai kalangan pemerhati politik bertanggapan belum pernah menyaksikan kebangkitan gelombang rakyat dalam pilihan raya ke-12 ini.

Anwar juga menyatakan di Pulau Pinang, sambutan masyarakat Cina juga di luar jangkaan apabila lebih 20,000 orang mengikuti ceramahnya.

Jelasnya, angin perubahan yang melanda seluruh negara itu menggambarkan orang ramai telah penat dengan menteri yang memperkayakan diri dan rakyat meminta kuasa tersebut kembali kepada rakyat.

"Pilihan raya kali ini akan menentukan kuasa tidak kekal kepada orang-orang atas kuasa akan turun dan dipikul oleh semua rakyat Malaysia.Selama 50 tahun kita memberi amanah kepada pemimpin-pemimpin yang telah banyak memberi jaminan dan janji tetapi setelah 50 tahun merdeka, kita tuntut kuasa rakyat.

"Kita mahu mencapai kemenangan bukan kerana kita benci kepada Umno dan BN tetapi kita mahu menang kerana ingin rakyat mendapat pembelaan. Jika mereka menyatakan hanya Umno dapat membela nasib Melayu, tetapi yang dibela bukan rakyat Melayu terbanyak tetapi anak menantunya. Pemimpin Umno menjadi kaya raya tetapi ahli Umno di sini apa yang dapat? AP tidak dapat, tetapi masih juga menyokong pemimpin ini?,"katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mendedahkan taktik kotor Barisan Nasional yang mana akan mengarahkan pemuda-pemuda membuat kekecohan sambil membawa lambang keADlLan dan PAS. Manakala televisyen akan memperbesarkan peristiwa tersebut dengan menyatakan pihak pembangkang yang membuat kekacauan tersebut.

Selain itu katanya, terdapat beberapa langkah lain yang akan digunakan BN bagi melakukan penipuan.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut akan didedahkannya di Singapura sebaik sahaja beliau berucap pada 5 Mac kepada pelabur asing dan menjelaskannnya kepada wartawan dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, ucapan Anwar mengenai projek koridor Selatan, Utara dan Timur yang dilaksanakan kerajaan juga mengundang ketawa orang ramai.

"Jika BA memenangi pilihan raya, saya tidak mahu mengambil wang keuntungan minyak untuk buat koridor. Saya tidak mahu lagi koridor. Buat apa lagi koridor. Koridor rumah pun sudah lama tidak dicuci. Lihat rumah-rumah pangsa. Sudah 40 tahun koridor tersebut tidak dicuci dan dicat,"katanya secara sinis.

Dalam pada itu, Anwar turut menaruh keyakinan gandingan ketiga-tiga calon BA di Parlimen Ampang, Dun Lembah Jaya serta Bukit Antarabangsa akan mendapat sokongan padu masyarakt di kawasan tersebut.

"Saya percaya calon wanita Ampang, Zuraida Kamarudin, tokoh wanita yang handal berani dan berani akan menggegarkan Parlimen Malaysia. Jika Dun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang mana pidatonya menyebabkan pemimpin Umno tidak boleh tidur dan calon Dun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz yang kuat bekerja di 'grass root' yang mewakili PAS. Kita akan gegarkan Malaysia dengan membawa suara rakyat,"tegasnya yang disambut sorakan orang ramai.

Mengakhiri ceramahnya, Anwar mengharapkan rakyat bijak membuat pilihan demi masa depan mereka.

0 ulasan: