Sabtu, 1 Mac 2008

BN AKAN LAKUKAN TERBAIK UNTUK KELANTAN


UTUSAN MALAYSIA – ( 01-03-2008 )

BACHOK 29 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Barisan Nasional (BN) berusaha melakukan yang terbaik untuk masa depan Kelantan dan rakyat negeri ini perlu memberi pertimbangan sewajarnya kepada usaha BN itu pada pilihan raya umum 8 Mac ini.

Menurut Perdana Menteri, kadangkala beliau sedih melihat keadaan Kelantan sepanjang 18 tahun Pas memerintah negeri ini tetapi beliau sentiasa memastikan rakyat negeri ini tidak berasa dianaktirikan.

‘‘Yang ingin memajukan Kelantan dengan ikhlas dan tegas adalah kerajaan BN. Jika ada peluang, dengan sokongan kuat, saya berani katakan rakyat akan menyaksikan sesuatu yang belum pernah dilihat (dalam pembangunan) sebelum ini berdasarkan potensi besar negeri ini.

‘‘Terserah rakyat Kelantan tetapi Islam sendiri menuntut perubahan agar (kita) maju dan dengan sumber kekayaan (negeri ini) ia boleh dimanfaatkan dalam semua lapangan kehidupan,” kata Abdullah ketika berucap pada majlis pecah tanah kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Tangok dekat sini petang ini.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamad Yaakob.

Perdana Menteri yang ditemani isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah mengadakan lawatan sehari ke Kelantan hari ini.

Beliau berkata, dengan tertubuhnya kerajaan BN yang kuat di negeri ini, kemakmuran akan lebih dikecapi rakyat apabila lebih banyak pembangunan dapat dijalankan.

Katanya, peluang rakyat untuk memajukan diri pula lebih terbuka manakala masalah kemiskinan tidak akan menjadi halangan bagi sesiapa untuk berjaya.

‘‘Betul, pihak Pas akan berkata, tak mengapa tak melakukannya (pembangunan) kerana Pak Lah telah adakan pembangunan dan kita (Pas) hanya hendak memerintah negeri ini.

‘‘Tidak bolehlah berpendapat begitu kerana kita (BN) mahukan kerajaan (negeri) yang mempunyai persefahaman dan sehaluan,” katanya.

Abdullah menarik perhatian kepada peruntukan terbesar yang disalurkan kerajaan Pusat sebanyak RM7.6 bilion bagi Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau memberitahu, projek-projek di bawah RMK-9 telah mula berjalan, lebih-lebih lagi ekoran penyertaan Kelantan dalam program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Sebab itulah, awal-awal lagi kita umumkan Datuk Dr. Awang Adek bakal menerajui Kelantan kelak bagi menggerakkan perancangan besar pembangunan untuk negeri ini,” ujar beliau.

Menurut Perdana Menteri, BN bukan berjanji sekadar untuk melaksanakan pelbagai projek di Kelantan kerana banyak rancangan sebenar telah disusun bagi pembangunan.

Projek-projek yang diperkatakan BN sekarang, kata Abdullah, sememangnya telah wujud dan dalam proses pelaksanaan.

“Sekarang ini pun kerajaan BN telah menjalankan projek dan bukan baru nak cadang apa yang hendak dibuat. Kita hendak teruskan (projek-projek) itu sehingga sempurna agar dapat legakan hati rakyat,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Perdana Menteri berkata, BN berhasrat untuk memerintah Kelantan kerana itulah cara terbaik bagi menjayakan perancangan besar Kerajaan Pusat di negeri ini.

Ditanya mengenai sikap kerajaan negeri Pas yang tidak sehaluan dengan kerajaan Pusat tetapi terus mahu menikmati pembangunan hasil usaha Kerajaan Pusat, beliau menegaskan, sikap seumpama itu tidak boleh diterima oleh mana-mana kerajaan.

“(Kita) tidak boleh tidak buat pembangunan untuk rakyat dan duduk tidak buat apa-apa, makan gaji sahaja. Tidak boleh macam itu. Itulah yang Pas lakukan.

“Kita kena tengok dari segi apa bezanya sikap mereka. Kerajaan (Pas) tidak ada visi dan tidak berperanan. Kita hendak kerajaan yang ada peranan dan boleh beri sumbangan apa jua yang terbaik dengan (cara) muafakat,” ujarnya.

0 ulasan: