Selasa, 4 Mac 2008

TUN : AZIZ TAK PENGARUHI SAYA

BERITA HARIAN – (04-03-2008)

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin tidak pernah mempengaruhi beliau memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Beliau berkata, jika benar Abdul Aziz mempengaruhinya memecat Anwar seperti yang didakwa pembangkang, sudah tentu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam itu dilantik menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau memecat Anwar selepas mendapat laporan polis dan perbincangan dengan semua Menteri Besar dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"(Abdul Aziz) tidak ada kena mengena langsung. Kalau dia pengaruhi saya, sudah tentu sekarang dia jadi Perdana Menteri," katanya mengulas kempen pembangkang yang terus memainkan isu menuduh Abdul Aziz bertanggungjawab mempengaruhi Dr Mahathir memecat Anwar.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas berucap di depan 500 jentera pilihan raya BN Parlimen Shah Alam, di Dewan MBSA, Seksyen 11, di sini, semalam.

Hadir sama, Abdul Aziz, calon BN DUN Batu Tiga, Datuk Salamon Selamat dan calon DUN Kota Anggerik, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin.

Mengulas kenyataan beliau 'menangkap Anwar dan masukkan dalam penjara' yang pernah diucapkan beliau dan digunakan pembangkang untuk berkempen menerusi internet, Dr Mahathir berkata, beliau membuat kenyataan itu secara sinis.

"Polis yang tangkap Anwar bukan saya. Yang mengadili Anwar adalah mahkamah bukan saya. Sepatutnya rakaman itu didengar dari awal bukan separuh jalan," katanya.

Dr Mahathir juga menafikan dakwaan beliau menyokong Pas kerana sering membuat teguran dan kritikan terbuka terhadap BN khususnya Umno.

Beliau berkata, sebagai ahli Umno beliau berhak menegur jika ada perbuatan pemimpin parti yang salah dan boleh menghilangkan sokongan rakyat terhadap Umno.

0 ulasan: