Isnin, 3 Mac 2008

MANIFESTO BN DORONG RAKYAT LAKUKAN PERUBAHAN


UTUSAN MALAYSIA – (03-03-2008 )

KOTA BHARU 2 Mac - Orang ramai menyambut baik pengisian manifesto Barisan Nasional (BN) dan menganggap ia akan merangsangkan lagi rakyat untuk melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Rata-rata mereka menganggap manifesto BN lebih jelas tentang perubahan segera yang akan dilakukan dan boleh dirasai oleh semua lapisan masyarakat berbanding Pas yang lebih kepada penekanan dasar-dasarnya.

Bagi mereka, manifesto BN adalah selaras dengan tuntutan semasa dan pastinya akan menjadi kenyataan ekoran jaminan yang diberikan oleh kerajaan Pusat bagi melaksanakan segala yang dijanjikan.

Seorang peniaga, Saw Ooi Leng, 53, berkata, masih terdapat ramai kaum Cina berpendapatan di bawah paras kemiskinan dan mereka pastinya tidak berupaya mendiami rumah kerana tiada projek perumahan kos rendah dibangunkan selama ini.

''Ada yang bekerja sebagai pembantu kedai, tukang jahit dan pengasuh tidak mampu menyimpan yang membolehkan mereka mempunyai rumah sendiri, apatah lagi tanah," katanya.

Beliau mengulas manifesto BN khusus untuk negeri ini yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di sini semalam.

Ooi Leng berkata, peruntukan untuk pembangunan pendidikan sekolah-sekolah Cina menunjukkan BN prihatin dengan keperluan jangka panjang sekolah berkenaan.

''Sama sebagaimana bidang pendidikan yang lain, kemajuan pendidikan penting untuk semua anak bangsa," katanya.

Seorang kakitangan bank, Lee Geok Hua, 54, gembira kerena sebahagian manifesto berkenaan turut membincangkan penyertaan kaum Cina dalam bidang ekonomi di negeri ini.

Katanya, walaupun secara umumnya mereka banyak terlibat dalam bidang perniagaan dan keusahawanan tetapi penyertaan kaum Cina tidak begitu membanggakan.

''Kami mengharapkan perubahan senario yang bakal muncul bagi menyelaraskan peluang perniagaan seperti yang dijanjikan," ujarnya.

Seorang petani, Zakaria Daud, 55, berkata, manifesto yang menyenaraikan dana khusus kepada setiap jawatankuasa pembangunan mukim untuk memulakan projek ekonomi Satu Produk - Satu Mukim mampu menjana pendapatan kepada petani.

Pada masa ini, katanya, dengan ketiadaan modal, petani hanya mampu mengusahakan tanaman mengikut musim dan memperoleh pendapatan yang tidak seberapa.

Andainya BN diberi mandat dalam pilihan raya umum nanti, katanya, pasti manfaat akan dinikmati ramai termasuk anak-anak muda yang menganggur kerana mereka akan diberi latihan dan elaun RM300 sebulan.

Seorang mekanik, Musa Ismail, 39, berkata, peluang pekerjaan yang tersedia di Kelantan begitu terhad menyebabkan pendapatan yang diperoleh tidak dapat menampung perbelanjaan seharian.

Beliau berharap di bawah strategi untuk pembaharuan negeri Kelantan, kehidupan penduduk yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan harian dapat dipertingkatkan melalui program keusahawanan.

''Saya mengharapkan pelaksanaan program yang lebih sesuai supaya dengan pendapatan yang diperoleh, mengubah taraf hidup keluarga," katanya.

0 ulasan: