Sabtu, 1 Mac 2008

PRESIDEN PAS SEDIA BERDEBAT DENGAN PRESIDEN UMNO MENGENAI MANIFESTO


HARAKAH – ( 01-03-2008 )

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Presiden dan Timbalan Presiden Umno mengenai manifesto PAS,'Kerajaan Beramanah Adil dan Bersih, Menuju Negara Berkebajikan'.

Menurut setiausaha akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Dato' Mohamad Shahir, Abdul Hadi bersedia untuk melakukan perdebatan tersebut pada 5 Mac (Rabu) ini dengan Dato' Seri Abdullah Badawi.

Katanya, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa turut menyatakan kesediaan yang sama untuk berdebat dengan Dato' Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac (Selasa). Kedua-dua pimpinan tertinggi PAS itu menyerahkan kepada kedua-dua pimpinan Umno itu untuk menetapkan lokasi bagi perdebtan tersebut.

Jelas Roslan, perdebatan tersebut akan membuktikan kepada dunia keterbukaan semua pihak di Malaysia bagi mandaulatkan demokrasi dan menjalankan pilihan raya secara teratur dan bersih.

"Perdebatan tersebut bagi membolehkan rakyat menilai berdasarkan hujah dan fakta yang dikemukakan. Rakyat tidak mahu, malah bosan dengan propaganda yang berat sebelah, yang hanya menyerang satu pihak tanpa memberi ruang dan peluang kepada pihak berkenaan untuk membela dan mempertahankan diri," katanya sewaktu sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Dalam perkembangan lain, jelas Roslan, PAS mendesak agar pihak bertanggung jawab segera menjalankan siasatan terhadap calon BN Dun N.19 Demit Kelantan Dato' Muhamad Abdul Ghani berhubung dakwaan salah laku beliau sebagai Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

Katanya, dakwaan tersebut juga difahamkan turut disertakan kepada pihak BPR.

Sementara itu, jelas Roslan, PAS turut melahirkan kekesalan kerana Barisan Nasional (BN) dengan sewenang-wenangnya telah menggunakan wajah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menghiasi menifesto BN di muka surat 6, Bab Undang-undang dan keselamatan awam.

Beliau berpendapat, penggunaan wajah Ketua Polis Negara merupakan satu bentuk penyalah gunaan imej penjawat awam untuk kempen politik.

Katanya, dengan menggunakan wajah Ketua Polis Negara seolah-olah BN mengharapkan semua undi pos di kalangan anggota dan pegawai polis akan mengundi mereka.

0 ulasan: