Isnin, 3 Mac 2008

TUKAR GAMBARAN KELANTAN MUNDUR, MISKIN


UTUSAN MALAYSIA – ( 03-03-2008 )

KOTA BHARU 2 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau tidak sanggup membiarkan rakyat dan negeri Kelantan dihina dengan gambaran kemunduran dan kemiskinan yang berterusan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan yang boleh menjejaskan imej Islam itu akan cuba dihapuskan dengan membawa perubahan melalui pembentukan sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) kelak.

Katanya, ini akan diterjemahkan sepenuhnya melalui manifesto khusus bagi Kelantan yang merupakan suatu keistimewaan buat rakyat negeri ini.

Menurut Najib, beliau sendiri akan turut memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan berkesan.

"Percayalah dan berilah peluang, bukan untuk selama-lamanya, tetapi sekadar sepenggal dan jika BN tidak memenuhi harapan semua, kami rela diganti selepas empat atau lima tahun kemudian.

"Orang Kelantan tidak akan rugi kerana setelah 18 tahun di bawah pemerintahan Pas, tentunya mereka sudah dapat menilai apa yang boleh Pas lakukan, bina sebuah masjid pun tak upaya, jadi 'Pade Doh' (cukuplah)," ujarnya.

Najib menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2 di sini petang ini. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, setiap manusia sememangnya mengharapkan suatu perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

''Kita ingin hari ini yang kita lalui lebih baik daripada semalam dan apabila melihat ke hadapan, kita ingin melihat esok yang lebih baik berbanding hari ini," ujarnya.

Beliau memberitahu, Islam sendiri menuntut umatnya memajukan diri ke arah mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat, tetapi negara serta umat Islam sering dikaitkan dengan kemunduran dan kelemahan.

"Tiada yang lebih menyayatkan hati melainkan apabila kita dihina, dilihat sebagai kelompok masyarakat yang tidak akan maju. Saya tidak rela rakyat Kelantan dihina oleh sesiapa," ujarnya.

Katanya, pengertian Islam jangan cuba disempitkan sedangkan ia agama yang luas, malah pembangunan itu sendiri sejajar dengan tuntutan agama.

"Berusaha menghapuskan kemiskinan dan menyediakan peluang pekerjaan adalah sebahagian daripada kehendak Islam, malah Sheikul Al-Azhar sendiri memberi pengakuan yang cukup meyakinkan bahawa pemerintahan Malaysia sudah mengikut Islam dan sunah Rasulullah," ujar beliau.

0 ulasan: