Isnin, 3 Mac 2008

HARAKAH : PAK LAH TIDAK LAYAK DIBERI AMANAH TERAJUI NEGARA


HARAKAH – ( 03-03-2008 )

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan kelemahan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu ketara dan membahayakan negara.

Demokrasi semakin tempang, keluarga dan kroninya membolot khazanah negara, rakyat digula-gula dengan pelbagai slogan yang bersifat retorik.

'Report Card' Abdullah ternyata kotor. Rakyat diajak memikir kembali sokongan yang diberikan kepada pemimpin yang tidak adil dan tidak amanah.

Ikuti wawancara lanjut beliau, yang bertanding di Parlimen Marang dan Dun Rhu Rendang dengan MOHD RASHIDI HASSAN, di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, 24 Februari 2008.

Harakah: Apa pandangan Tuan Guru mengenai slogan pilihan raya Barisan Nasional, 'Selamat, Aman dan Makmur'?

Dato' Seri Abdul Hadi Awang: Saya berpendapat ketiga-tiga slogan ini gagal. Selama lebih 50 tahun negara diperintah oleh mereka, Malaysia semakin tidak selamat, tidak aman dan tidak makmur.

Ini dapat kita lihat sendiri, apabila suasana tidak selamat dan tidak aman wujud dalam masyarakat, apabila jenayah semakin berleluasa.

Jenayah bukan sahaja mengancam kanak-kanak, wanita, orang muda sahaja, malah kelompok warga emas juga turut terjejas.

Seringkali berlaku pembunuhan warga emas, berlaku penculikan dan pembunuhan kanak-kanak, berlakunya kes-kes rogol, ragut dan sebagainya.

Apa yang dilaporkan oleh media kita hanya jumlah kecil berbanding dengan statistik jenayah yang wujud dalam negara.

Rakyat terancam bukan sahaja dengan kehadiran kumpulan penjenayah, mada ada kes-kes di mana pihak polis sendiri terbabit dengan jenayah.

Malangnya pihak polis digunakan dalam perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan jenayah iaitu menghalang dan menyekat ceramah parti-parti pembangkang.

PAS dan rakan-rakan pembangkang sentiasa memastikan keamanan, sebaliknya polis dipergunakan oleh pemimpin BN untuk mencetuskan permasalahan.

Kemakmuran negara tidak dihadkan oleh kewujudan infrastruktur yang banyak, rakyat masih terbelengu dengan masalah kemiskinan dan pengangguran.

Sehingga hari ini peratusan kemiskinan dan pengangguran semakin tinggi. Malah belia-belia yang mempunyai ijazah juga menganggur.

Malangnya kemiskinan dan pengangguran melanda negeri-negri yang banyak hasil, seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak, termasuk juga Selangor.

Masalah setinggan, mereka yang masih merempat di kaki lima dan lain-lain lagi masih gagal di atasi.

Ini semua menunjukkan slogan mereka tidak sama dengan gambaran sebenar yang berlaku dalam negara.

Jika dalam tempoh 50 tahun BN berjaya berkhidmat untuk rakyat, sepatutnya slogan seperti ini tidak perlu lagi dicanangkan.

Barangkali slogan dilontar untuk menutup kelemahan BN?

Ya, ini kerana kelemahan-kelemahan berlaku dalam pemerintahan BN yang tidak adil, tidak cekap dan tidak amanah. Banyaknya rasuah berlaku dan Badan Pencegah Rasuah sendiri gagal menangani masalah rasuah.

Bahkan BPR sendiri diragui kewibawaannya. Bahkan terdedahnya gejala rasuah, ia semakin menambahkan kegagalan BPR.

Masalah yang wujud dahulu seperti isu penyelewengan wang BMF, KWSP, Perwaja belum selesai, kini berlaku pula kes kapal selam dan projek-projek mega yang membabitkan peruntukan berlipat kali ganda.

Kes-kes ini menunjukkan pengagihan kekayaan negara berlegar di sekitar kelompok tertentu sahaja.

Apa yang disebutkan bumiputera, bukannya peruntukan untuk bumiputera, tetapi golongan Umno sahaja yang mendapat hasil negara.

Umpamanya di Terengganu, ratusan juta dibelanjakan untuk tiga projek besar, yang dikaitkan dengan keluarga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Yang tumpah kepada rakyat hanya sebahagian kecil. Pembahagian subsidi juga dibolot JKKK dan kroni JKKK.

Adakah masalah ini wujud di kalangan Melayu sahaja?

Masalah ini bukan sahaja dialami oleh orang Melayu yang berteraskan Umno, malah ia turut memangsakan kaum India dan Cina.

Kaum Cina yang tinggal di kampung-kampung baru sejak zaman darurat tidak diberi tanah dan dibiar dalam kemiskinan, malah kaum India yang tinggal di estet, mereka terus dibiarkan menjadi hamba di estet dengan tidak meningkatkan taraf hidup ke tahap yang sewajarnya.

Sedangkan kita boleh lihat pemimpin-pemimpin MCA, MIC dan Gerakan hidup dalam serba mewah dan mempunyai kroni-kroni yang terbabit dalam projek-projek mewah.

Oleh sebab itu, PAS kemukakan slogan kita, negara berkebajikan, beramanah serta adil, kerana ciri-ciri ini sahaja yang dapat mengatasi masalah yang saya sebutkan tadi.

Barangkali slogan BN sesuai dengan Islam Hadhari. Komen Tuan Guru?

Islam adalah agama Allah SWT yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul, yang terakhirnya Nabi Muhammad s.a.w.

Kita tidak boleh mencipta Islam bentuk baru. Ini adalah nas yang ditetapkan dalam al-Quran serta diulangi dalam hadis Nabi s.a.w.

Apa yang boleh adalah kita berijtihad dalam nas-nas yang umum. Melabelkan 'Islam Hadhari' merupakan suatu penyelewengan kepada ajaran Islam itu sendiri.

Allah SWT sudah menyatakan Islam merupakan satu-satunya agama yang diakui, ia merupakan ajaran dan cara hidup yang diakui dalam segala aspek, tanpa perlu ditokok tambah pada namanya.

Apa yang berlaku ialah perubahan dalam kehidupan manusia, iaitu hadharah atau tamadun. Tamadun hendaklah dipandu mengikut landasan Islam.

Islam Hadhari merupakan suatu penyelewengan kepada ajaran Islam dan memperkecilkan ajaran Islam itu sendiri.

Seolah-olah Islam ini ada dua bahagi. Satu Islam tamadun, satu Islam tiada tamadun. Mereka hendak samakan Islam dengan agama lain, ada Ortodok, Protestant, Moderate dan lain-lain.

Sebenarnya penulisan mengenai Islam Hadhari telah disebarkan dalam tahun 1983 oleh seorang penulis tamadun Islam iaitu al-Marhum Profesor Anwar al-Jundi (Mesir) yang banyak menulis ratusan buku yang berkait dengan cabaran yang dihadapi umat Islam kini.

Salah satu buku yang ditulis bertajuk 'Skop Islam dalam menangani pemikiran moden'. Dalam buku ini Anwar al-Jundi mendedahkan tajuk Islam Hadhari.

Islam Hadhari menurutnya, merupakan tawaran pihak tertentu yang dipengaruhi ajaran Freemason dan Zionisme yang mendapat sokongan penjajah untuk memesongkan Islam dari ajaran yang sebenarnya.

Mereka melabelkan nama tamadun pada Islam, atas nama untuk memajukan sains dan teknologi. Seolah-olah Islam tidak ada kena mengena dengan sains dan teknologi.

Padahal bidang ini sudah dipandu menurut Islam sekian lama.

Apabila disebut Islam Hadhari ini, ia menarik kalangan cendikiawan, yang berilmu tetapi tidak mendalami ajaran Islam.

Mereka ini terpengaruh dan terpaksa menghadapi masalah kemunduran umat Islam waktu ini. Sebenarnya kemunduran berlaku kerana mereka tidak berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar. Mereka tidak sedar, umat Islam mundur kerana mereka meninggalkan ajaran Islam.

Kalangan ini merasakan seolah-olah umat Islam ketinggalan kerana banyak ajaran Islam mengongkong mereka, seperti Islam mengharamkan maksiat, riba dan hal-hal tertentu dalam ekonomi.

Lalu mereka menonjolkan Islam Hadhari, iaitu Islam yang tidak memperdulikan perlaksanaan syariah, tidak mempedulikan akidah dan tidak mempedulikan amar maaruf nahi mungkar.

Ini kerana mereka menganggap semua ini merupakan penghalang kemajuan.

Bukankah dasar perjuangan Umno untuk Agama, Bangsa dan Negara?

Jika kita merujuk kepada Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Umno itu sendiri tidak berlandaskan kepada al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qias.

Mereka lebih berlandaskan kepada perlembagaan yang ditaja oleh penjajah. Walaupun dalam perlembagan mereka disebut soal agama Islam, soal hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain.

Akidah Islam yang sebenar tidak fanatik kepada kaum atau bangsa. Dalam masa Islam memelihara keperibadian sesiapa yang menganut ajaran Islam.

Apabila Umno berjuang dan berlandaskan kepada undang-undang negara yang direka oleh Lord Reid, dengan sendiri Islam yang diperjuangkan tersasar dan tidak diredai Allah SWT.

Oleh kerana itu, jika Umno mendakwa ia sebuah parti yang memperjuangkan Islam, ia tidak akan mencapai matlamat. Ia tidak akan mencapai ke cita-cita sebagaimana yang diwar-warkan.

Menjelang hari penamaan, Umno dilihat seperti kelam kabut, Abdullah dilihat gagal mengawal Umno seperti Mahathir?

Saya melihat Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi pemimpin, ia mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Tidak dinafikan wujud perubahan dalam negara, tanpa menafikan beberapa perkara soal prinsip dan pendekatan, tidak saya (PAS) persetujui.

Apa pun di sana terdapat perkara-perkara positif yang menunjukkan Malaysia berada kehadapan.

Ini adalah kehebatan beliau sebagai pemimpin, yang perlu kita akui hakikat ini.

Malangnya, PM Abdullah tidak bersifat seperti seorang pemimpin yang mempunyai kehebatan dari segi ilmu, dari segani oleh ahli-ahli parti sendiri.

Beliau ternyata gagal dan negara kita seolah-olahnya hanyut. Apabila PM gagal mengawal keadaan penduduk berbilang kaum, ini sangat merbahaya kepada masa depan negara.

Abdullah juga gagal mengawal anggota keluarganya sendiri. Partinya (Umno) sendiri gagal dikawal.

Sebagai contoh, dia didakwa orang Umno membiarkan menantunya sendiri dilihat sebagai orang yang campurtangan dalam kerajaan dan parti begitu banyak.

Kita melihat kelemahannya ialah kerana beliau dipengaruhi oleh anak menantu, anggota keluarga serta kawan-kawan rapat yang berada di sekeliling beliau. Ini membahayakan negara.

Berbeza dengan Dr Mahathir. Tidak kedengaran anak menantunya campur tangan dalam urusan negara dan parti. Tiada anak menantu yang ditonjolkan menjadi tokoh politik sewaktu pemerintahannya.

Walaupun Abdullah Badawi meletakkan Mukhriz Mahathir bertanding di Jerlun, tetapi saya melihat tindakan itu 'sekadar melepas batuk di tangga' sahaja.

Mukhriz diletakkan di kawasan BN lemah dengan tujuan hendak membunuh karier politik Mukhriz, dan dengan sendirinya beliau mahu memperkukuhkan kedudukan politik beliau dalam Umno kerana Mahathir banyak mengkritiknya.

Rakyat perlu didedahkan untuk menilai hakikat sebenar yang berlaku.

Menyentuh soal SPR, banyak tindakan mereka dilihat memihak kepada BN, pandangan Tuan Guru?

Jelas menunjukkan SPR diperbodohkan oleh pemimpin Umno, berselindung di sebalik demokrasi. Tidak boleh dinafikan Malaysia sedang menuju ke satu arah hanya sebuah parti yang memerintah.

Itulah yang dihasratkan secara yang tersirat (dengan karenah SPR). Ini sama seperti berlaku di negara komunis, iaitu hanya parti komunis sahaja yang boleh memerintah.

Cuma di Malaysia ianya berlaku dengan cara yang tidak terbuka. Tetapi tidak menjadi rahsia SPR yang diletakkan di bawah JPM, bukan sebuah badan yang bebas.

Dalam masa yang sama wujud arahan-arahan yang bercelaru. Pada hari ini misalnya wujud arahan yang terang dan jelas, menunjukkan SPR digunakan untuk menjaga parti yang memerintah iaitu BN.

Begitu juga berlakunya setiap 10 tahun dibuat persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk menyelamatkan Umno/BN.

Wujud daftar pemilih yang tidak bersih, pengundi-pengundi yang diragui kewujudannya. Malah SPR sendiri mengakui terdapat jumlah yang besar, mereka yang sudah meninggal dunia, yang masih wujud dalam daftar pemilih.

Ini termasuk pengundi yang bukan anak tempatan. SPR melakukan ini dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

Walaupun ada undang-undang untuk mengenakan ISA terhadap mereka yang memalsukan kad pengenalan, ini adalah alasan untuk mengkaburi rakyat sahaja.

Hakikatnya tindakan ini diakui oleh pemimpin BN, dilaksanakan oleh SPR dengan kerjasama JPN untuk menambah pengundi-pengundi bagi menjamin kemenangan BN.

Yang paling muktakhir menjelang penamaan calon, SPR mengeluarkan arahan kepada parti-parti politik untuk mematikan setem kepada borang pencalonan, disebut dalam surat pekeliling itu, jika peraturan tidak dipatuhi, pencalonan boleh ditolak.

Surat ini keluar pada 21 Febuari (Khamis). PAS di negeri-negeri yang cutinya Jumaat dan Sabtu. Surat diterima pada Khamis petang menimbulkan kesusahan kepada kita.

Tiba-tiba pada 22 Februari, SPR menghantar surat kepada SPR negeri menyatakan bahawa arahan itu dibatalkan dan sampai ke peringkat daerah pada 23 Februari.

Ini ternyata SPR membantu calon-calon BN yang gagal menyiapkan borang mereka sehari dua ini kerana berlakunya masalah dalaman Umno.

Untuk menyelamatkan BN, SPR mengeluarkan arahan-arahan yang mengelirukan.

Mungkin sebab itu Tan Sri Rashid dilanjutkan tempoh perkhidmatannya?

Memang jelas BN memanjangkan jawatan orang yang boleh digunakan. Adalah malang, ada orang boleh digunakan kerana dia tiada maruah dan tiada harga diri.

Kita melihat di negara-negara lain, apabila campur tangan berlaku kepada SPR, mereka yang bermaruah meletakkan jawatan dan mendedahkan penyelewengan yang berlaku.

Kita melihat di negara bukan Islam mereka mempunyai moral yang tinggi, berbanding dengan orang Islam sendiri yang tiada harga diri.

Tidak mustahil SPR menolong Umno/ BN untuk menawan Kelantan?

Ya, kita mendapat maklumat bahawa berlaku pemindahan besar-besaran pengundi ke Kelantan, sebagaimana yang berlaku di Terengganu menjelang pilihan raya 2004.

Juga berlaku penambahan undi pos yang luar biasa seperti di Belantek, Kedah, walaupun tiada kem tentera.

SPR umumkan jumlah pengundi di seluruh Malaysia 10.9 juta yang layak mengundi sedangkan rakyat negara tidak sampai 30 juta. Adalah tidak wajar satu pertiga rakyat boleh mengundi.

Dan bagi negeri Terengganu diumumkan terdapat 520 ribu pengundi, sedangkan rakyat negeri ini lebih kurang satu juta sahaja.

Ini dilakukan oleh SPR. Tidak mustahil dilakukan di Kelantan dan mana-mana negeri untuk memastikan BN menang.

Oleh kerana itu PAS akan bekerja keras menyebarkan kefahaman kepada rakyat. Supaya rakyat mengundi kita, memilih kerajaan yang adil, amanah dan bersih.

Apakah rakyat Terengganu menolak PAS sebagaimana didakwa BN?

Dalam konteks Terengganu, saya lihat rakyat bersama dengan PAS. Ini dapat dilihat pada tahun 2004, ketika jatuhnya kerajaan kita, di mana penurunan undi berbanding yang diperolehi pada 1999, hanya tiga peratus sahaja.

Di beberapa Dun, undi PAS meningkat dua atau tiga peratus. Dengan penurunan tiga peratus ini kita sepatutnya tidak boleh kalah.

Apa yang berlaku adalah pertambahan yang mendadak pengundi yang tidak dikenali wujudnya dalam sesuatu kawasan pilihan raya.

Kemudian, peratus keluar mengundi yang begitu besar, sehingga bagi seluruh negeri Terengganu hampir 90 peratus. Ini merupakan suatu pencapaian di luar kemampuan negara-negara yang paling demokratik dan maju di dunia.

Di negeri kuat pengaruh PAS seperti di Kelantan, Kedah dan Perlis, kenaikan jumlah pengundi yang keluar juga melebihi 80 peratus.

Sedangkan di negeri-negri lain hanya 70 peratus atau 60 peratus.

Dengan jumlah pengundi keluar sebesar ini, jelas ada berlaku sesuatu perkara yang tidak kena, wujud penyelewengan.

Kita hanya biasa dengan jumlah keluar mengundi 90 peratus ialah di Korea Utara atau di Yugoslavia zaman Tito dahulu.

Tuan Guru yakin rakyat masih sokong PAS?

Kali ini saya yakin rakyat Terengganu masih dengan PAS. Mereka jelas dapat merasakan perbezaan pemerintahan empat tahun PAS berbanding lebih 40 tahun pemerintahan Umno/BN.

Saya melihat gelombang yang begitu besar rakyat bersama dengan PAS kali ini. Cuma untuk memastikan kita kembali memerintah Terengganu, kita mesti memastikan penyelewengan pilihan raya tidak berlaku.

Tuan Guru tidak bimbang dengan pengundi hantu?

Rakyat tempatan sudah sedar dan faham. Mereka sudah sedia untuk membuat perubahan. Rakyat tidak mahu mengizinkan pengundi luar mengundi di sini.

Dengan sebab itu PAS tidak menjamin keselamatan pengundi hantu sekiranya mereka datang.

Kita memberi nasihat kepada mereka supaya jangan datang kerana kita bimbang berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Ini adalah hak kita sebagai rakyat Terengganu. Kita mahu semua tunduk kepada undang-undang yang adil. Undang-undang yang menyeleweng, menipu dan tidak adil, haram bagi kita menghormatinya.

Pesanan kepada calon PAS dan pengundi?

Kepada pemimpin-pemimpin serta calon-calon PAS di seluruh negara, saya nasihatkan mereka mengambil langkah perjuangan yang wajar mengikut lunas-lunas demokrasi, walaupun demokrasi itu tempang.

Kerana perjuangan melalui pilihan raya, kejayaannya bergantung kepada sebanyak mana kita boleh menarik pengundi bagi menyokong kita.

Calon-calon harus mempunyai kesabaran dalam berhadapan dengan pengundi. Kita juga harus ikhlas kerana dengan keikhlasan kita akan mendapat pertolongan Allah SWT.

Bagi pengundi-pengundi, saya nasihatkan supaya anda menunaikan amanah dengan sebaiknya. Mengundi adalah amanah yang besar dalam Islam, sebagaimana firman Allah (mafhumnya):

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah an-Nisa, ayat 58)

Oleh kerana itu kita mesti menganggap mengundi sebagai suatu kewajipan agama, bukannya mengikut adat empat, lima tahun sekali mengundi.

Memilih pemimpin merupakan suatu tanggungjawab yang penting di dalam Islam, bahkan terdapat ayat-ayat al-Quran yang mengatakan, kita boleh masuk neraka jika kita memilih pemimpin yang tidak amanah atau tidak betul mengikut apa yang diperintah oleh Allah SWT.

0 ulasan: