Selasa, 4 Mac 2008

KAUM CINA, INDIA PERLU TERUS BERSAMA BN

UTUSAN MALAYSIA – (04-03-2008)


TINGGAL hanya empat hari lagi, lebih 10 juta rakyat negara ini akan membuang undi bagi menentukan parti-parti yang bakal membentuk kerajaan baru.

Walaupun Barisan Nasional (BN) menjadi peneraju negara ini sejak selepas merdeka, namun pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini, timbul kebimbangan mengenai kedudukan sokongan pengundi kaum Cina dan India kepada BN.

Tentunya sukar untuk melihat sejauh manakah tahap kecenderungan kedua-dua kaum itu untuk beralih haluan. Tetapi kenyataan yang keluar daripada mulut pemimpin tertinggi MCA sendiri menunjukkan bahawa perkara itu tidak boleh dipandang ringan.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting sendiri mengingatkan pengundi kaumnya supaya terus mengundi calon Cina daripada BN bagi memastikan masyarakat itu terus mempunyai kuasa politik dan suara dalam kerajaan.

Selain pengundi Cina, para pemimpin MIC juga terpaksa berhadapan dengan golongan tertentu dalam masyarakat itu yang terus meniup sentimen seolah-olah Kerajaan Persekutuan, sesetengah kerajaan negeri dan MIC tidak membela nasib kaum India selain isu kuil.

Kini masyarakat India dikatakan berpecah-pecah sama ada cenderung untuk terus menyokong MIC atau beralih kepada pro-Hindraf.

Senario politik itu mencetuskan persepsi bahawa golongan pengundi India yang pro-Hindraf kononnya akan beralih kepada PKR, manakala pengundi Cina kepada DAP.

Bagi kita, pakatan UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India perlu terus kekal dominan kerana persefahaman politik dan formula perkongsian kuasa adalah kunci kepada kemakmuran yang rakyat nikmati selama ini.

Sekiranya mana-mana parti komponen utama itu pincang ekoran kemerosotan sokongan daripada pengundi kaum masing-masing, kaum berkenaan akan rugi dari segi kehilangan pengaruh kuasa politik, sama ada dalam Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Tanpa pengaruh dalam kerajaan, sukar bagi kaum Cina dan India menyuarakan masalah dan tuntutan mereka.

Dibimbangi jika masalah dan tuntutan mereka dibiarkan tanpa pembelaan, ketegangan kaum seperti pernah negara pada tahun 1969 mungkin berlaku dan ini tidak menguntungkan mana-mana kaum.

Menyedari itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, menasihatkan mereka agar terus mengundi calon-calon MCA dan MIC.

Apa pun, kita percaya majoriti pengundi Cina akan terus memilih calon MCA atau Gerakan kerana bidang perniagaan saling berkaitan dengan kemakmuran dan kestabilan politik sesebuah negara.

Bagi masyarakat India pula melalui penjelasan demi penjelasan oleh pucuk pimpinan, sokongan mereka akhirnya akan tetap bersama BN.

Dan itulah sebaik-baik keputusan yang perlu diambil pada hari pengundian sekiranya kaum Cina dan India mahu terus mempunyai kuasa politik, pengaruh dan suara kuat dalam kerajaan.

0 ulasan: