Sabtu, 1 Mac 2008

BINA PASAR RM10J DI MACHANG


UTUSAN MALAYSIA – ( 01-03-2008 )

MACHANG 29 Feb. - Kerajan Barisan Nasional (BN) akan membina sebuah pasar besar bernilai RM10 juta di pekan ini, bagi menggantikan pasar yang ada sekarang kerana keadaannya yang terlalu uzur sekiranya berjaya menawan negeri ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah berkata, pasar tersebut perlu diganti baru kerana ia berada dalam keadaan yang terlalu sesak dan aspek kebersihannya tidak diuruskan dengan sempurna.

Beliau berkata, Pasar Besar Machang yang ada sekarang berusia lebih 20 tahun dan tidak sesuai lagi menampung jumlah peniaga yang semakin bertambah.

"Terdapat sebahagian daripada 200 peniaga di situ, yang terpaksa duduk di bawah gerai kerana ruang perniagaan tersebut terlalu padat dengan barangan jualan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jejantas di Kampung Pek di sini hari ini.

Jejantas tersebut dibina selepas Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan lebih RM350,000 bagi menampung kegunaan lebih 2,200 pelajar yang terdiri daripada murid Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan dan Sekolah Kebangsaan Kampung Pek.

Pembinaan jejantas itu akan dapat mengurangkan jumlah kemalangan yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

Pada pilihan raya umum 8 Mac ini, Sazmi yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan berhadapan dengan calon Parti Keadilan (PKR) Saifuddin Nasution Ismail.

Sazmi berkata, kerajaan negeri terutama Majlis Daerah Machang (MDM) di bawah pemerintahan Pas gagal merancang pembangunan di pekan tersebut sehingga sebahagian daripada sistem penyaluran air di pasar berkenaan tidak diselenggarakan.

"Keadaan air yang mengandungi sisa pepejal pula tidak dilupuskan dengan baik boleh membahayakan kesihatan kepada semua pihak yang ada di sekitar pasar itu.

"Ia akan bertambah buruk apabila pertambahan bilangan penuntut Universiti Teknologi Mara (UITM) Machang dari 4,000 kepada 12,000 dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Sekiranya kerajaan BN diberi mandat memerintah Kelantan, katanya, masalah itu akan diberi keutamaan untuk diselesaikan.

Kata beliau, pihaknya telah menyiapkan pelan bangunan sebuah pasar baru dua tingkat dengan dekorasi yang moden telah disiapkan.

0 ulasan: