Rabu, 5 Mac 2008

POLIS SEDIA TANGKAP PENGACAU PILIHANRAYA


BERITA HARIAN – (05-03-2008)

KOTA BHARU: Polis memberi amaran akan menahan sesiapa saja menggunakan kekerasan, termasuk mereka yang mengadakan sekatan jalan raya kononnya bagi menghalang pengundi hantu pada pilihan raya umum, Sabtu ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menegaskan, parti politik tidak berhak menghalang pemilih berdaftar untuk pulang mengundi kerana perbuatan itu bukan saja menjadi kesalahan jenayah, malah menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengikut Seksyen 9 akta itu, sesiapa yang cuba menghalang pengundi dengan melakukan perkara tidak wajar, berunsur kekerasan, sekatan, ugutan atau hasutan, boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda tidak kurang RM5,000.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata beliau mengarahkan lebih 700 anggota ditambah di pintu masuk negeri ini bagi mengawasi perjalanan pulang pengundi yang menetap di luar.

"Kita akan pastikan semua yang pulang untuk mengundi tidak dihalang mana-mana pihak. Kalau kita periksa (bas yang ditahan pihak tertentu) dan penumpangnya disahkan pengundi berdaftar, kita akan lepaskan mereka manakala pihak yang tahan bas itu akan ditangkap kerana bertindak sendiri.

"Menghalang orang ramai daripada mengundi adalah kesalahan serius. Kita akan tangkap (sesiapa menghalang orang ramai mengundi)... saya dah kata polis akan bertindak tegas, adil dan berhemah," katanya selepas mendengar taklimat persediaan pilihan raya umum di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, lewat malam kelmarin.

Musa mengulas kenyataan Setiausaha Akhbar Presiden Pas, Roslan Shahir Mohd Shahir di Kuala Lumpur kelmarin, yang memberi amaran parti itu akan melakukan apa saja tindakan termasuk menggunakan kekerasan bagi menghalang apa yang didakwanya pengundi hantu.

Dalam kenyataannya, Mohd Shahir mendakwa parti itu menerima maklumat mengenai perjalanan bas yang dikatakan akan membawa pengundi hantu dari seluruh negara untuk mengundi di Kelantan dan Terengganu.

Musa menegaskan orang awam dan parti politik tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pada sidang media selepas mendengar taklimat persiapan pilihan raya umum di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu pula, Musa berkata, SPR sudah memberi penjelasan berhubung isu pengundi hantu.

"Saya meminta parti politik jangan menghalang pengundi untuk membuang undi Sabtu ini, dan jika ada ancaman kepada pengundi, kita akan bertindak," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, kesal kerana pembangkang membuat takrifan dangkal dengan menyifatkan pengundi luar yang mahu pulang sebagai pengundi hantu, sedangkan nama mereka ada dalam daftar undi di negeri berkenaan.

"Jangan buat kerja polis... hormatilah hak pengundi untuk balik mengundi dengan apapun kenderaan termasuk bas yang disewa parti politik," katanya kepada Berita Harian selepas meninjau ke pusat undi pos di Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras.

Wan Ahmad berkata, tindakan melampau seperti menahan bas yang membawa pengundi, boleh mencetuskan keadaan buruk.

Mengenai dakwaan Pas kononnya kira-kira 10,000 nama anggota pasukan keselamatan terutama tentera didaftarkan sebagai pengundi pos dan pengundi awam, Wan Ahmad berkata, perkara itu mungkin berlaku kerana ada anggota bersara tiga atau empat bulan lalu tetapi rekod persaraan tidak sampai ke SPR.

Wan Ahmad bagaimanapun berkata, kes seumpama itu tidak seramai yang didakwa Pas dan SPR tidak boleh dipersalahkan kerana pihak terbabit atau parti politik sepatutnya membuat semakan ketika senarai daftar pemilih dipamerkan sebelum ini.

"Jika mereka mengemukakan bukti sekalipun ketika ini, ia terlewat kerana proses undi pos sudah bermula. Lagipun daftar pemilih yang disahkan SPR mengikut undang-undang adalah daftar pemilih muktamad dan tidak boleh dipertikaikan di mahkamah," katanya.

0 ulasan: