Rabu, 5 Mac 2008

JANGAN BERSLOGAN ISLAM


UTUSAN MALAYSIA – (05-03-2008)

SEJAK 1990 apabila Pas berjaya menguasai Kelantan, setiap kali pilihan raya tiada siapa yang menaruh harapan bahawa Barisan Nasional (BN) akan dapat merampas negeri itu.

Justeru apabila orang bercakap angin perubahan dalam pilihan raya umum 1995, 1999 dan 2004, ia tidak pernah menjadi kenyataan. Harapan BN hanya menjadi impian.

Tetapi dalam pilihan raya umum kali ini suasana jauh berbeza, terdapat petanda-petanda yang jelas bahawa rakyat Kelantan mahupun perubahan.

Angin perubahan yang dikatakan bukannya angin rekaan tetapi ia seolah-olah angin yang dihembuskan oleh alam. BN kali ini benar-benar komited untuk merampas Kelantan dan di peringkat rakyat pula, 18 tahun di bawah Pas harus diletakkan titik noktahnya.

Walaupun pelbagai dakwaan diperkatakan oleh Pas melalui kempennya termasuk tohmahan rakyat akan menderita dan Islam akan tercemar namun setakat ini ia boleh dikatakan tidak begitu mampu menanam tekad di hati pengundi Kelantan untuk mempertahankan Pas.

Apa yang dialami oleh Terengganu selepas BN mengambil alih terus dijadikan perbandingan. Dalam tinjauan penulis di beberapa kawasan di sekitar Kelantan mendapati, nikmat yang diperoleh oleh negeri jiran Kelantan sentiasa menjadi tajuk perbualan di kalangan rakyat bawahan.

“Apa yang dialami oleh Terengganu sebenarnya menimbulkan rasa cemburu di kalangan rakyat Kelantan, kini mereka semakin percaya bahawa Islam tidak akan tergugat, sebaliknya semakin kukuh jika BN memerintah Kelantan,” kata Asri Mohamad, seorang eksekutif iklan di sebuah syarikat di Kota Bharu.

Penderitaan

Asri seperti juga rakyat Kelantan yang tertanya-tanya, kalaulah benar BN membawa penderitaan, bagaimana mungkin Terengganu kini semakin maju dalam semua bidang.

Dan lebih penting daripada itu dakwaan Pas bahawa Kelantan akan rosak dengan gejala tidak sihat sama sekali tidak benar.

Di Terengganu, BN membuktikan ketertiban Islam itu tidak dicemari. Ini termasuklah menghapuskan panggung wayang dan pusat-pusat hiburan.

Sebaliknya syiar Islam terus berkembang dengan pembinaan masjid baru, pendidikan al-Quran kepada anak-anak dan pendidikan Islam yang ditingkatkan.

Semua ini membuktikan bahawa BN jika menawan Kelantan sama sekali tidak akan mendatangkan ejen perosak ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Justeru, rakyat Kelantan harus memikirkan dengan semasak-masaknya, peluang yang ditawarkan oleh BN. Mereka tidak harus mudah terpengaruh dengan dakyah Pas yang menggambarkan seolah-olah kalau BN memerintah negeri itu, maka musnahlah syiar Islam.

Apa yang berlaku di Terengganu sudah menjadi bukti bahawa BN sama sekali tidak akan merosakkan imej Islam apatah lagi di negeri Kelantan yang rakyatnya berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Rakyat Kelantan perlu mengambil kesempatan dengan kehadiran BN untuk sama-sama menyumbang kepada perkembangan Islam di negeri itu.

Pelbagai agenda yang diaturkan dalam manifesto BN berkaitan Islam sudah menjadi bukti bahawa parti itu ikhlas untuk meningkatkan syiar Islam di Kelantan.

Matlamat BN adalah untuk memastikan Kelantan yang dihuni oleh 99 peratus umat Islam tidak terus ketinggalan.

BN ingin mengatur agenda dan program yang bertujuan meningkat imej Islam dan bukan sekadar bergantung kepada slogan semata-mata.

Perkembangan Islam di Kelantan tidak seharusnya selama-lamanya bergantung kepada slogan ‘Kepimpinan Ulama’ atau ‘Membangun Bersama Islam’ sebaliknya ia harus direalisasikan dengan melahirkan ulama yang mampu membimbing umat ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat serta bagaimana Islam itu dibangunkan sejajar dengan perkembangan semasa.

Apa gunanya bercakap soal kepimpinan ulama, kalau sekadar ia bergantung kepada satu dua individu sahaja.

Apa erti membangun bersama Islam, kalau masih ramai umat Islam di Kelantan ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Islam menyuruh umatnya mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, itulah agenda BN. Segalanya sudah dibentangkan di hadapan mereka.

Manfaat

Kini rakyat Kelantan harus menentukan Islam seperti manakah yang mereka mahukan, apakah terus bergantung kepada slogan yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada Islam itu sendiri atau bersama-sama menyumbang untuk membangunkan Islam dalam erti kata sebenar.

Bukankah dalam salah satu poster kempen Pas mereka memetik kata-kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa “Pemikiran yang waras tidak akan menolak kebenaran.”

Kini kebenaran itu sudah ditawarkan oleh BN bagi meletakkan Islam di Kelantan pada tahap sepatutnya, justeru rakyat Kelantan tidak harus menolaknya.

Apa yang penting kini rakyat Kelantan harus memberi peluang kepada BN melaksanakan agenda murni ini dan seandainya mereka memungkiri janji tolaklah mereka dalam pilihan raya akan datang kerana kuasa itu tetap di tangan rakyat Kelantan.

0 ulasan: