Selasa, 4 Mac 2008

HARAKAH : IMPIAN UMNO HAPUS MISKIN TEGAR, SEDANGKAN WANG PPRT DIBIAR HILANG


HARAKAH – (04-03-2008)

KOTA BHARU, 4 Mac (Hrkh) – Mungkinkah menghapus miskin tegar seperti yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional Kelantan bermaksud menghalalkan dana rakyat miskin RM36 juta dalam program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) dilelapkan begitu sahaja.

Manakala memperkayakan sumber ekonomi dimaksudkan membolehkan pemimpin Umno Kelantan memiliki kereta dan rumah berharga lebih RM1 juta.

Dan merakyatkan seni dan budaya membawa erti membiarkan konsert hiburan melalai dikembalikan semula ke Kelantan.

Inilah isu yang sudah sedia dimaklumi rakyat Kelantan kecuali pemimpin dan segelintir ahli Umno yang mengharapkan habuan kebendaan jatuh ke riba mereka.

Mengulas manifesto BN Kelantan calon PAS Dun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi berkata, sekiranya pemimpin Umno benar-benar mampu melaksanakan aktiviti pembangunan seperti terkandung dalam manifestonya, mereka terlebih dahulu perlu melaksanakan di 13 negeri yang sudah lebih 50 tahun dikuasainya.

“Apa sahaja yang hendak dibangunkan termasuk mewujudkan tamadun Islam berasas Islam Hadhari seharusnya dibukti terlebih dahulu di negeri-negeri lain.

"Buat pembangunan dan taman tamadun Islam di 13 negeri yang sudah lama dikuasai BN. Rawat dahulu masalah kemiskinan dan golongan setinggan di Kuala Lumpur, barulah boleh bercakap tentang nak rawat Kelantan," ujarnya di sini.

Che Abdullah yang juga seorang ahli perniagaan berkata, peningkatan kadar jenayah dan taraf kehidupan masyarakat Melayu yang masih ketinggalan ternyata gagal diperjuangkan Umno.

"Inikah hujah yang terbaik bagi pemimpin Umno menyatakan mereka lebih berupaya dan mampu melaksanakan projek pembangunan berbanding PAS," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mendakwa PAS hanya mementingkan pelaksanaan Islam secara luaran dan aqidah sahaja.

Che Abdullah yang pertama kali turun gelanggang bertanding pada pilihan raya umum ini melihat keupayaan PAS untuk merampas semula Dun Wakaf Bharu selepas terlepas ke tangan Umno pada pilihan raya umum lepas.

Beliau ditentang Mohd Rosdi Abdul Aziz, pegerusi Persatuan Kontraktor Melayu Kelantan.

"Saya nampak peluang ada berdasar semangat baru di kalangan pengundi muda dan bukan Melayu meskipun bilangan mereka sekadar lebih kurang 10 peratus sahaja," katanya.

Kata beliau juga isu kenaikan harga barang yang sedang melanda sekarang sudah cukup memeritkan rakyat.

0 ulasan: