Rabu, 5 Mac 2008

SPR BATALKAN DAKWAT SEBAB BN MAHU MASUKKAN PENGUNDI HANTU


HARAKAH – (05-03-2008)

KUALA TERENGGANU, 5 Mac (Hrkh) - Pembatalan penggunaan dakwat pada kuku dalam pilihan raya umum 8 Mac ini sebenarnya untuk membenarkan dan melancarkan rancangan Barisan Nasional (BN) bagi memasukkan pengundi hantu ke Kelantan dan Terengganu, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"BN makin terdesak di Kelantan dan diramalkan hanya satu kerusi yang boleh dipertahankan iaitu Parlimen Gua Musang. Sebab itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumunkan pembatalan penggunaan celup dakwat pada jari pada pukul 5 petang tadi," ujarnya dalam ceramah di Kampung Losong Panglima Garang di sini semalam.

Menurut beliau, BN dalam keadaan terdesak sebab itu perancangan meraka sudah berubah daripada menawan Kelantan kepada mempertahankan kerusi BN di Kelantan. Beberapa negeri tidak selamat iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

"Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi cukup terdesak kerana orang Umno sendiri menolak kepimpinan beliau. Bekas Prdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sendiri meminta rakyat menolak Abdullah. Mahathir kata cukup satu penggal atau lima tahun.

"Kerana apa? Kerana sekiranya Pak lah terus memerintah Malaysia boleh terjual kepada Singapura. Terengganu boleh tergadai kepada ahli perniagaan Patrick Lim. Inilah ucapan bekas Perdana Menteri yang masih lagi orang Umno dan ucapan meminta menolak kepimpinan Pak Lah sudah tentu ditujukan kepada orang Umno,"jelasnya.

Menurut beliau Abdullah dan Menteri Besar, Dato' Seri Idris jusoh berada dalam kebimbangan kemungkinan terlepas kembali Terengganu berikutan rakyat mereka sudah pandai menilai da membandingkan pemerintahan PAS dahulu dengan pemerintahan Umno sekarang.

Tambah beliau, kalau pemerintahan PAS boleh terus memerintah dan menghapuskan cukai pintu dalam keadaan kewangan disekat kerajaan Pusat ketika itu tetapi mampu menurunkan kadar kemiskinan daripada tertinggi di semenanjung kepada tempat ke tiga.

"Sebaliknya apabila Umno ambil alih rakyat Terengganu makin miskin walaupun mereka duit banyak. Ini kerana penyalahgunaan kuasa yang diberikan mandat oleh rakyat. Orang miskin diperuntukan hanya RM40 juta tetapi pertandingan Piala Monsun boleh dihabiskan sebanyak RM300 juta dalam masa tiga hari," katanya.

0 ulasan: