Selasa, 4 Mac 2008

HALUAN PAS SEMAKIN KELIRU

UTUSAN MALAYSIA – (04-03-2008)

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kebanyakan tokoh dan pejuang Islam kecewa dengan haluan bersifat kepelbagaian dan pendekatan mengikut keadaan yang dibawa Pas.

Dekan Pasca Siswazah Kolej Undang- Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Mohamad Mustapha Ishak berkata, ini termasuk mengeluarkan fatwa yang menyimpang, menimbulkan kontroversi sehingga menyebabkan pengikutnya keliru.

Menurutnya, Pas memperlihatkan corak perjuangan baru dengan tidak terlalu mengutamakan pegangan Islam semata-mata setelah masyarakat menolak fahaman politik radikal yang dibawa mereka.

''Perjuangan mereka (Pas) kali ini pasti mengecewakan tokoh-tokoh pejuang Islam yang setia bersama parti itu kerana mengorbankan asas perjuangan parti mereka sebelum ini.

''Hanya kerana mereka terdesak untuk mendapatkan pengaruh dan akhirnya menukar haluan perjuangan parti untuk selari dengan realiti politik masyarakat majmuk di negara ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, media melaporkan Pas kini bukan lagi sebuah parti yang memperjuangkan Islam kerana parti itu tidak lagi menggunakan slogan 'Membangun Bersama Islam' dalam manifestonya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dilaporkan berkata, sejak Pas menjalinkan pakatan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), parti itu telah menggugurkan perkataan Islam.

Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Ahmad Faiz Hamid berkata, parti itu dilihat tidak lagi memperjuangkan Islam sebaliknya memperkenalkan pendekatan baru untuk disesuaikan dengan keadaan semasa masyarakat kini.

Bermula dari situ, katanya, wujud pelbagai fatwa baru daripada kedua-dua pemimpin ulama Pas yang pasti membuat kenyataan yang bukan sahaja mencetuskan kontroversi malahan kekeliruan di kalangan umat Islam dan rakyat.

"Contohnya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata, Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, manakala Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula membenarkan perbuatan mengumpat.

"Mana perjuangan berasaskan Islam seperti hukum hudud, kempen sembahyang lima waktu, kempen menutup aurat dan mengharamkan aktiviti hiburan yang boleh mengundang maksiat yang disebut-sebut dahulu," katanya.

Menurutnya, strategi Pas diubah setelah menyedari parti itu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pengundi Melayu yang merupakan majoriti kaum di negara ini satu masa dahulu.

Katanya, perjuangan parti perlu disesuaikan dengan keadaan semasa untuk menang pada Pilihan Raya Ke-12 termasuk bekerjasama dengan parti alternatif seperti DAP dan PKR bagi memudahkan mereka mendapat undi pelbagai kaum.

Sementara itu, ahli sejarah, Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud berpendapat, Pas tidak berminat untuk memperjuangkan isu perjuangan Islam seperti hukum kafir, halal haram sepanjang kempen pilihan raya ini.

Bagi pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, mereka akan rugi sekiranya membincangkan perkara itu sedangkan tumpuan utama adalah untuk mendapat mandat untuk berkuasa.

"Janji untuk menjadikan negara kebajikan dan memberikan beberapa habuan kepada pengundi adalah gimik semata-mata bertujuan untuk menarik kembali pengaruh mereka," ujarnya.

Beliau berkata, Pas juga sanggup menyuramkan warna Islam yang menjadi pegangan mereka selama ini dan membenarkan perkara yang selama ini bertentangan dengan ajaran agama.

Ditanya adakah Pas akan terus mengekalkan corak perjuangan baru itu, beliau memberitahu, ia bergantung kepada keputusan pilihan raya sekiranya mereka menang atau sebaliknya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

I would like to inform that my father DIDNT HAD THE INTERVIEW WITH UTUSAN and that the reporter purposedly made a stupid mistake by putting my father's name. A letter was already sent to Utusan and they have apologized for the big mistake and had admitted the mistake that they made in Utusan Malaysia (Thursday,6th March 2008).Nasib baik minta maaf..kalau tak see you in court!!However Utusan sedikit sebanyak u guys tarnished my father's image.