Isnin, 3 Mac 2008

AWANG ADEK : BELA NASIB RAKYAT KEUTAMAAN

UTUSAN MALAYSIA ( 03-03-2008 )

KOTA BHARU 2 Mac - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang optimis pilihan raya kali ini akan menjanjikan perubahan di Kelantan menegaskan, pembelaan nasib golongan miskin akan menjadi keutamaan baginya jika menjadi Menteri Besar kelak.

Menurutnya, beliau pernah melalui saat-saat yang begitu sukar dalam keluarga yang dicengkam kemiskinan sehingga menyebabkan beliau dan tujuh adik-beradik lain 'kadangkala makan, kadangkala tidak'.

''Saya sendiri masih terdengar tangis arwah kakak yang begitu ingin belajar tetapi terpaksa berhenti sekolah kerana memberi laluan kepada saya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2 di sini petang ini.

Katanya, beliau sedih kerana gambaran silam seperti itu masih mudah kelihatan dalam masyarakat di Kelantan sekarang dan ia memerlukan pendekatan menyeluruh untuk ditangani.

''Usah pergi jauh, lihat di sekeliling kita, akan ada ibu bapa yang terlantar bersendirian kerana uzur disebabkan penyakit atau tua sedangkan anak-anak terpaksa berjauhan kerana mencari rezeki.

''Ada pasangan suami isteri yang hampir kesemua anak mereka terlantar di rumah tetapi mereka tidak mampu berbuat apa-apa, semua itu tidak mudah padam dalam pemikiran saya," ujarnya.

Menurut Awang Adek, kerajaan Pas selama ini mendakwa bahawa kerajaan negeri memang miskin tetapi rakyatnya kaya sebagai alasan menutup kegagalan membantu rakyat.

"Kalau tidak kerana peluang yang disediakan oleh UMNO melalui biasiswa dan sebagainya, saya tidak akan berada di sini, depan tuan-tuan, mungkin sekarang ini saya adalah nelayan sepenuh masa," katanya.

0 ulasan: