BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )
Manifesto turut umum pembangunan bawa lonjakan berganda ekonomi
KOTA BHARU: Pemansuhan tunggakan semua jenis cukai dan pengurangan kadar pelbagai jenis cukai ke tahap tidak membebankan rakyat akan dilakukan Barisan Nasional (BN) sebaik mendapat mandat memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac ini.
Tawaran itu menjadi asas Manifesto BN Kelantan yang akan diumumkan Sabtu ini.
Antara yang dijangka dilupuskan BN sebaik mendapat mandat ialah tunggakan cukai bandar, cukai pintu dan cukai tanah serta mengkaji kadar semasa cukai berkenaan supaya dapat diturunkan lagi.
Selain itu, semua tunggakan bayaran letak kereta dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dimansuhkan dan diumumkan kadar baru. Ketika ini, kadar bayaran letak kenderaan di MPKB antara yang tertinggi di Malaysia.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, berkata selain aspek pembangunan yang membawa lonjakan berganda kepada ekonomi Kelantan, manifesto itu juga memberi perhatian kepada perkara kecil yang penting dan dekat dengan rakyat.
"Ini termasuk masalah rakyat berdepan dengan pelbagai jenis cukai. Kita akan kaji dasar cukai sekarang, agar ia lebih kreatif supaya ekonomi negeri berkembang.
"Dasar cukai perlu lebih mesra dan tidak membebankan rakyat. Ia adalah masalah dan keperluan yang kita akan beri perhatian segera kerana ia dekat kepada seluruh rakyat Kelantan. Antaranya, cukai pintu dan cukai tanah mesti rendah, cukai bakul (yang menjadi sumber pendapatan pihak berkuasa tempatan) dihapuskan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama semua calon BN di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Che Alwi Che Mat.
Beliau berkata, dasar cukai yang lebih mesra rakyat akan mendorong mereka membayarnya tanpa mempunyai tunggakan yang selama ini merugikan kerajaan.
"Saya beri contoh, dulu tiket bola sepak di Stadium Sultan Mohamed Ke IV dijual pada harga RM10. Pada kadar itu, nak dapatkan kutipan RM2,000 bagi setiap perlawanan pun sukar. Nak bayar gaji pemain pun tak cukup.
"Tetapi sejak mengambil alih Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), saya menurunkan tiket kepada RM5. Walaupun kadarnya diturunkan tetapi pada setiap perlawanan, kita mampu kutip sehingga RM100,000," katanya.
Annuar berkata, pihaknya akan mengedarkan lebih 250,000 naskhah manifesto yang menjadi janji BN Kelantan ke seluruh negeri supaya ia difahami semua lapisan masyarakat.
Katanya, selain itu, BN negeri akan mengedarkan kira-kira sejuta risalah bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai sasaran dan matlamat manifesto terbabit.
"Mulai minggu depan, seluruh kempen calon BN akan memberi tumpuan kepada manifesto yang dibentangkan itu demi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai lonjakan berganda untuk Kelantan yang mahu dilakukan BN apabila diberi mandat.
"Kita berharap seluruh rakyat Kelantan tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk memberi mandat kepada BN pada 8 Mac ini. Kita minta pengundi yang tidak menyertai mana-mana parti dapat menilai dan memahami manifesto kita," katanya.
Katanya, mulai minggu depan, BN akan mengubah pendekatan dan bahan kempen yang digunakan bagi menyesuaikan dengan keadaan musim hujan ketika ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan