Pilihanraya Umum ke-12 akan dijalankan tidak lama lagi. Kegiatan berkempen semakin lama semakin menjadi-jadi. Persiapan demi persiapan sedang dilakukan. Bahangnya semakin lama semakin panas. Poster kempen dan bendera parti masing-masing dikibarkan bagi menunjukkan kawasan jajahan mereka. Semakin hari semakin banyak kempen dilakukan. Semakin hampir saat pilihanraya, semakin banyak kempen di lakukan. Semakin banyak bendera dan poster dinaikkan.
Namun apa yang ingin disuarakan adalah, sejauh manakah kesannya permainan politik yang diadakan di Negara ini terhadap penyokongnya atau pun terhadap rakyat jelata. Jika dahulu iaitu semasa saya masih kecil, oleh kerana taksub dengan parti politik tertentu ( tahun ’70-an & ’80-an) banyak berlakunya perkara-perkara yang diluar jangkaan sama ada terhadap pemimpin-pemimpin tertentu dan juga terhadap rakyat jelata.
Berlakunya pergaduhan, berlakunya penceraian, terputusnya tali persaudaraan, keluarga porak peranda, berlakunya fitnah – memfitnah, hasut-menghasut, berlakunya bermacam-macam lagi peristiwa yang menuju kearah kemusnahan. Perpecahan demi perpecahan, pergaduhan demi pergaduhan telah berlaku sejak dari dulu sehinggalah sekarang.
Tidak salah bermain politik. Tetapi adalah salah jika oleh kerana berfahaman parti politik tertentu telah membuatkan berlakunya perpecahan dan kemusnahan sama ada terhadap diri sendiri, keluarga atau pun terhadap rakyat jelata.
Jika dilihat pada maksud ‘PARTI’ itu sendiri, ianya mempunyai maksud yang boleh dikatakan seperti berikut : ‘pengasingan’ satu kelompok manusia daripada kelompok manusia lain. Bilamana maksud perkataan ‘PARTI’ itu sendiri membawa maksud perpecahan dan berpuak-puak, maka sesiapa yang terlibat dalamnya secara tidak langsung akan berpecah-belah sama ada sesama sendiri atau pun dengan pihak lain. Keadaan tersebut telah menyebabkan berlakunya berbagai-bagai lagi keadaan yang tidak menentu. Jika ianya tidak dikawal dengan bijak dan sebaik mungkin akan menyebabkan runtuhnya tali persaudaraan sesama kaum, bangsa, agama dan seterusnya belakunya keruntuhan sesebuah Negara itu.
Saya bukannya anti demokrasi. Saya juga bukannya rakyat yang berkecuali dalam system pilihanraya yang diadakan. Saya juga adalah salah seorang penyokong parti politik. Saya juga keluar mengundi untuk memangkah undi bagi parti-parti politik tertentu. Namun saya tidak pernah menunjukkan dengan rasa bangga bahawasanya saya adalah penyokong parti politik tertentu.
Saya tetap menjaga tatasusila dalam pergaulan sesama manusia. Tambahan mereka itu adalah sebangsa dan seagama dengan saya. Saya tidak pernah menjauhkan diri daripada penyokong-penyokong parti politik tertentu. Saya tidak pernah menyatakan bahawasanya mereka salah kerana tidak menyokong parti yang saya sokong. Saya tidak pernah memburukkan mereka yang menyokong parti politik yang tidak sealiran dengan saya. Saya tidak pernah menunjukkan pilih kasih jika mereka itu datangnya dari penyokong parti yang lain.
Tidak pernah terdetik di hati ini, rasa kurang senang dengan mereka yang datang dari parti politik yang tidak sealiran dengan parti yang saya sokong.
Kenapa saya bersikap demikian? Jawapannya adalah mudah. Hal parti adalah hal duniawi tetapi hubungan sesama manusia adalah jauh lebih besar dari itu. Tiada perbezaan siapa manusia itu. Walau sehebat mana pun kita, lahir telanjang dan akan mati menemui Yang Maha Esa di suatu masa nanti. Itulah hakikat hidup kita sebagai manusia. Sesuatu yang membawa kerugian seharusnya dielakkan. Perbalahan dan perpecahan yang berlaku kerana disebabkan oleh ‘PARTI’ adalah satu kesilapan yang besar bagi bangsa, agama dan Negara.
Rakyat jelata seharusnya bijak dalam bermain politik. Janganlah oleh kerana fahaman parti yang berbeza, menyebabkan perhubungan dan silaturrahim kita sesama manusia tidak seperti yang dituntut oleh agama.
Dengan demikian, semoga kita tidak akan berpecah-belah sesama sendiri yang se-BANGSA, se-AGAMA dan se-NEGARA. Bersederhanalah dalam segala hal. Janganlah jadikan dunia ini milik kita seorang sahaja. Masih ramai lagi manusia lain yang hidup berkongsi bersama kita.
Itulah hakikat PARTI.
0 ulasan:
Catat Ulasan