Jumaat, 8 Februari 2008

TOK GURU MAHU BERSARA

KOTA BHARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan melepaskan jawatan Menteri Besar, jika Pas terus berkuasa di Kelantan selepas pilihan raya umum akan datang.

Mursyidul Am Pas itu berkata, ahli Badan Perhubungan Pas Kelantan akan diberi peluang membuat keputusan dan memilih penggantinya untuk jawatan itu menerusi undian sulit.

Katanya, sudah menjadi amalan setiap kali memenangi pilihan raya, Badan Perhubungan Pas Kelantan akan melakukan undi sulit bagi memilih Menteri Besar di kalangan mereka yang dicalonkan.

"Apabila menang kelak, saya tawar kedudukan ini (Menteri Besar) kepada orang yang dipilih secara sulit oleh ahli Perhubungan Pas Kelantan. Saya tanya semua (ahli Perhubungan Pas) siapa nak jadi (menteri besar), saya akan beri kertas kosong kepada mereka untuk namakan.

"Yang lepas (undian sulit) semua ahli minta saya (kekal menteri besar), tiada nama lain tetapi yang akan datang, saya tidak tahu," katanya kepada pemberita di pejabatnya, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, jika undian yang dibuat kelak menyaksikan beliau terus dipilih, beliau sedia meneruskan tanggungjawab itu walaupun sudah terbabit dalam politik Pas sejak 42 tahun lalu.

Katanya, beliau tetap bertanding pada pilihan raya akan datang dan yakin Pas mampu bertahan di Kelantan.

walaupun selepas beliau berundur daripada jawatan menteri besar atau politik.

"Keadaan itu sudah ditempuh ketika zaman Datuk Asri (Muda) yang dikatakan Pas akan lemah selepas ketiadaannya, namun hakikatnya Pas semakin kuat sehingga kini.

"Apabila saya rasa orang tak terima, saya boleh berundur kerana yakin lebih ramai orang yang lebih baik daripada saya akan muncul dalam Pas," katanya.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, negara kebajikan yang ditawarkan Pas kepada pengundi menjelang pilihan raya akan datang sebenarnya penjenamaan semula Negara Islam yang pernah dikemukakan Pas sebelum ini.

Beliau mengakui istilah negara kebajikan bertujuan memudahkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP dalam menarik sokongan pengundi bukan Islam yang sebelum ini menolak Negara Islam yang dikemukakan Pas.

Nik Abdul Aziz juga mahu pemimpin dan penceramah parti itu tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pertentangan dasar antara parti yang diwakili.

Katanya, perbuatan menyerang peribadi dan memaki hamun bagi meraih sokongan sebenarnya tidak melambang keperibadian seorang pemimpin Islam, sebaliknya sikap buruk dan panas baran individu itu sendiri.

"Saya hanya boleh memberi nasihat, terpulang kepada mereka untuk terima atau tidak kerana masing-masing bukan lagi anak kecil yang boleh dirotan.

"Menyerang peribadi bukan kehendak Islam tetapi tindakan sendiri. Allah sendiri melarang kita memaki orang yang menyembah berhala, sebaliknya perlu diberi penjelasan mengenai kesilapan amalannya," katanya.

0 ulasan: