Khamis, 28 Februari 2008

MISI BN : MERAWAT KELANTAN


BERITA HARIAN – (28-02-2008)

Jentera parti kerja kuat pastikan pemerintahan 18 tahun Pas berakhir

SEPERTI pada Pilihan Raya Umum 2004, Pas sebenarnya tiada isu baru untuk memperlecehkan Barisan Nasional (BN) Kelantan pada pilihan raya umum kali ini.

Kecuali mendendangkan isu nasional seperti kenaikan harga minyak, klip video Lingam, kebebasan untuk berdemonstrasi serta putar-belit yuran peperiksaan, Pas sebenarnya tiada isu kukuh untuk menyerang BN.

Sejak 18 tahun lalu, pemimpin Pas di Kelantan mungkin boleh bergelak ketawa menghadapi pilihan raya umum, tetapi kejutan besar yang dialami empat tahun lalu bagaikan mengejutkan mereka daripada terlena apabila hampir dikalahkan BN.

Kali ini, Pas kelihatan lebih berhati-hati untuk memastikan Kelantan terus berada dalam genggamannya tetapi BN tidak akan membiarkannya dalam usaha untuk mengakhiri pemerintahan 18 tahun itu.

Selain faktor 'mood' sewaktu mengundi, keputusan pilihan raya juga selalunya turut ditentukan sejauh mana keberkesanan janji kepada rakyat menerusi manifesto yang dirangka parti bertanding. BN sudah melancarkan manifestonya dan begitu juga ketiga-tiga parti pembangkang Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kini, kempen oleh parti dan calon yang bertanding sudah melangkaui separuh jalan dan rakyat ternanti-nanti pula apa yang bakal dijanjikan kepada mereka sebaik menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

BN diketahui mempunyai rekod cemerlang dalam mengotakan janji yang dibuat menerusi manifestonya, terutama manifesto tambahan untuk Kelantan sebagai panduan penilaian rakyat negeri itu sepanjang 13 hari kempen berlangsung sehingga hari pengundian.

Dengan menjadikan 2008 sebagai 'Tahun Merawat Kelantan', manifesto yang dirangka BN mencakupi segenap aspek pembangunan termasuk infrastruktur, ekonomi, sosial, kerohanian serta peningkatan modal insan.

Antara projek mega yang dijanjikan dilaksana segera jika rakyat memilih BN kali ini ialah pembinaan sebuah kompleks sukan dilengkapi stadium baru bertaraf antarabangsa serta kolam renang bernilai lebih RM300 juta.

Pembinaan kompleks sukan itu bagi menggantikan Stadium Sultan Muhammad IV yang sudah terlalu uzur serta tidak mampu menampung kehadiran penonton yang ramai, apatah lagi kedudukannya di tengah bandar yang sering menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ia juga selaras dengan hasrat Kelantan untuk membida hak tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) dalam usaha mengorak langkah mewujudkan budaya bersukan di kalangan rakyat Kelantan.

Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata berdasarkan rekod BN sebelum ini, beliau yakin rakyat akur dengan kemampuan parti itu untuk membawa perubahan dan pembangunan sebagai kemudahan kepada rakyat.

Katanya, kejayaan membawa perubahan sudah terbukti apabila sepanjang sepenggal memenangi Parlimen Bachok, BN membawa masuk beberapa projek mega seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Profesional Mara dan hospital daerah yang akan dibina tidak lama lagi.

Malah kata beliau, Kelantan mungkin gagal menarik pelaburan asing bernilai RM1.12 bilion ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di negeri itu, jika kerajaan Pas Kelantan tidak ditukar pada pilihan raya umum 8 Mac ini.

Dr Awang Adek berkata:

"Pelabur asing cenderung memilih Terengganu dan Pahang yang dilihat mempunyai kerajaan lebih meyakinkan dalam semua aspek. Perkara utama yang menjadi tarikan dan penilaian pelabur asing sebelum membuat pelaburan ialah kemampuan sesebuah kerajaan memenuhi semua keperluan.

"Sepatutnya Kelantan yang mempunyai pelbagai kelebihan dalam pelbagai bidang termasuk kepakaran tenaga kerja dan kekayaan sumber alam menjadi pilihan pelabur tetapi itu tidak cukup kerana kerajaan Pas tidak mesra pelabur," katanya.

Dalam usaha memperkasakan Kelantan sebagai negeri Serambi Makkah dalam erti kata sebenar, `Kerajaan BN Kelantan' turut menjanjikan pembinaan sebuah masjid negeri bernilai lebih RM100 juta. Pembinaan masjid negeri yang setanding Masjid Kristal di Terengganu itu turut diumumkan Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke Kelantan, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada setiap masjid seluruh Kelantan untuk dibaik pulih kerana keadaannya yang uzur, lantaran tidak pernah dibaiki kerajaan Pas Kelantan sejak 18 tahun lalu.

"Kita akan masukkan dalam manifesto, semua masjid di Kelantan akan terima peruntukan untuk dibaik pulih oleh kerajaan BN sebab sudah 18 tahun sebuah masjid pun tak dapat peruntukan kerajaan negeri.

"Jangan cakap masjid baru, masjid sedia ada pun tak dibaik pulih, tetapi kalau BN menang, bukan saja masjid akan dibaiki, sebuah masjid negeri yang indah tak kurang hebatnya dengan Masjid Kristal di Terengganu akan kita bina," katanya.

Bagi mengatasi pengangguran yang tinggi di kalangan belia negeri itu, BN akan mewujudkan pusat latihan kepada belia menganggur tanpa mengira kaum dengan elaun RM300, penginapan dan makan minum ditanggung sepenuhnya.

Menerusi program berkenaan, belia diberi latihan kemahiran dalam tempoh tertentu sebelum usaha mendapatkan pekerjaan kepada mereka dilakukan termasuk peluang kerja dalam pelbagai sektor di Kelantan dan negeri lain.

Selain menghidupkan semula program kesenian dan kebudayaan yang sinonim dengan masyarakat Kelantan, usaha turut dilakukan bagi meningkatkan ekonomi peniaga kecil tempatan menerusi peluang berniaga seluas-luasnya.

Jika mendapat mandat rakyat, BN akan membina sebuah grand bazar di bandar Kota Bharu yang konsepnya hampir sama dengan bazar yang ada di Turki bagi membolehkan peniaga tempatan menjalankan pelbagai perniagaan di situ.

Usaha itu sememangnya tepat kerana sejak 18 tahun di bawah Pas, tidak banyak projek perumahan rakyat dibina, khususnya di bandar Kota Bharu sedangkan keperluannya untuk rakyat amat mendesak.

Di Kota Bharu, sepanjang tempoh 18 tahun pusingan pertama pemerintahan Pas sekitar 1960-an, difahamkan kerajaan negeri hanya membina rumah murah di Wakaf Mek Zainab, sedangkan BN membina tiga perumahan rakyat ketika pemerintahannya selama 12 tahun dari 1978 hingga 1990.

Perumahan rakyat di Buluh Kubu, Flet Kampung Sireh dan Flet Jalan Bayam adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri di bawah BN pada masa itu, manakala beberapa lagi projek perumahan kos rendah tergendala sebaik Pas mengambil alih Kelantan pada 1990.

Difahamkan, BN juga akan mengkaji semula kadar cukai pintu dan hasil tanah di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) berikutan kadarnya yang dikatakan tidak selaras dan terlalu tinggi dikenakan kerajaan Pas Kelantan.

Turut menjadi perhatian ialah kadar letak kereta lebih munasabah di kawasan pentadbiran MPKB yang ketika ini diakui sendiri kerajaan negeri sebagai antara tertinggi di negara ini sehingga mengatasi kadar di Lembah Klang.

Berdasarkan rekod cemerlang BN, tidak mustahil semua dijanjikan mampu dilaksana dalam tempoh singkat seperti Terengganu mengalami perubahan besar dalam jangka masa hanya empat tahun di bawah BN sejak 2004.

0 ulasan: