Khamis, 28 Februari 2008

PAS TIDAK PERNAH SEKAT PEMBANGUNAN, MALAH AKAN TERUSKAN


HARAKAH – (28-02-2008)

KOTA BHARU, 26 Feb (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, rakyat Kelantan tidak perlu bimbang untuk mengundi PAS sekali lagi kerana jika parti itu ditakdirkan dapat mengekalkan pemerintahannya di Kelantan, pembangunan tetap akan berlaku seperti biasa.

Bagaimanapun katanya, pembangunan yang dilaksanakan PAS adalah berdasarkan lunas-lunas Islam, tidak seperti parti lawan yang hanya mementingkan pembangunan fizikal semata-mata hingga menyebabkan keruntuhan moral di kalangan golongan muda semakin menjadi-jadi.

“Pembangunan tetap akan diteruskan tetapi perlu mengikut ajaran Islam agar tidak berlaku keruntuhan akhlak dalam masyarakat terutama membabitkan golongan muda. Sebelum ini pun kita tidak pernah menyekat mana-mana pembangunan yang disalurkan kerajaan pusat, tinggal lagi kita tidak membenarkan pembangunan yang menolak panduan al-Quran,” katanya sebagai mengulas hasrat Barisan Nasional (BN) untuk menjadikan negeri itu sebagai ‘Kelantan Maju dan Kelantan Baru’.

Dalam program Perhimpunan Warga Tani Pertubuhan Peladang Kawasan Puteri Saadong semalam, Dato’ Dr Awang Adek Hussin meminta rakyat Kelantan memberi peluang kepada BN untuk memegang tampuk pemerintahan negeri bagi menunaikan segala janji parti itu.

“Berilah peluang kepada BN untuk perintah. Cuba tengok dulu macam mana. Kalau tak berpuas hati pakat-pakatlah tolak BN,” kata Awang Adek.

Mengulas lanjut, Tuan Guru Nik Aziz berkata, soal pemerintahan bukanlah isu remeh yang boleh dibuat main-main kerana ia perlu selari dengan kehendak Islam, bukannya hanya untuk memberi tumpuan kepada aspek pembangunan semata-mata.

Tambahan pula katanya, umpan kebendaan tidak akan kekal lama kerana semuanya akan musnah sebagaimana manusia yang akan mati dan berdepan Allah di akhirat kelak.

“Nak buat pembangunan tidak susah, komunis pun boleh buat pembangunan, tapi pembangunan untuk apa? Pembangunan biar tentu selaras dengan Islam, sebagaimana yang kita telah laksanakan di Kelantan sejak 18 tahun dulu, masalah moral kurang di Kelantan tidak seperti sebelah luar masalah sosial sama naik dengan pembangunan,” tambahnya yang akan mempertahankan kerusi Dun Chempaka pada pilihan raya 8 Mac nanti.

0 ulasan: