Riuh seluruh Negara bila dilaporkan oleh berita dan akhbar-akhbar utama di Negara ini tentang hasrat seorang mahasiswa yang ingin menjadi wakil rakyat. Malahan apa yang lebih menarik adalah hasrat beliau ingin melawan seorang calon yang lebih senior dan lebih berpengalaman dalam arena politik Negara dan antarabangsa. Beliau dengan bangga mengumumkan akan mencabar dato’ Mustapa Mohamed ( Menteri Pengajian Tinggi ) sebagai lawannya.
Namun demikian, terdetik di hati ini alangkah dangkalnya pemikiran seorang yang bergelar mahasiswa. Tidakkah beliau telah mengukur kemampuan yang ada pada dirinya sendiri . Tidakkah beliau sedar dengan siapa dan apa yang ada pada lawannya.
Apa yang dapat dikatakan adalah, kepala otak seorang mahasiswa telah dipusing-pusing oleh pihak-pihak tertentu sehingga menjadi pening lalat. Kenapa saya berkata demikian, ini kerana si manusia yang bergelar mahasiswa itu dengan berani dan lantang mengeluarkan cabaran kepada seorang yang jauh lebih berkaliber dalam arena ini. Perbezaannya adalah seperti langit dengan bumi.
Beliau masih mentah dalam bidang ini. beliau tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Beliau masih terkapai-kapai mencari hala tuju sendiri. Beliau masih tidak tahu ke mana arah tuju beliau selepas tamat pengajian nanti. Masih banyak perkara yang perlu beliau pelajari tentang dunia politik.
Saya juga pernah menjadi seorang mahasiswa. Saya juga pernah mengikuti perkembangan politik Negara semasa menjadi mahasiswa. Namun tidak pernah terdetik di hati untuk keluar dari sarang bagi menunjukkan kehebatan diri. Pada waktu itu, saya dan sahabat-sahabat yang lain tahu siapa kita. Kita semua sedar, kalau kail panjang sejengkal, usahkan laut dalam hendak di duga. Ukur baju di badan sendiri.
Saya tidak memperlekehkan apa yang ingin diperkatakan serta dibawa oleh saudara Amirul Faiez Hamdi. Saya juga tidak mahu menghalang beliau dari menyertai parti politik. Namun, apa yang boleh dikatakan adalah belum sampai masanya untuk beliau berkecimpung dalam arena politik Negara. Beliau seharusnya bersabar dan peluang untuk itu akan lebih terbuka apabila beliau keluar dari university nanti.
Sepanjang saya berada di university, apa yang dipanggil AUKU 1975 itu tidak pernah mengganggu segala gerak-geri saya selaku seorang rakyat yang bebas dan merdeka. Pelajar masih lagi dibenarkan untuk bergiat dalam politik kampus dan masih lagi mempunyai suara untuk menyuarakan apa yang mereka tidak puas hati semasa dalam tempoh pengajian mereka itu. Politik kampus yang dibenarkan itu sebagai satu latihan terhadap mana-mana mahasiswa yang ingin terlibat dalam politik sebenar sebelum beliau menceburkan diri dalam dunia politik Negara selepas tamat pengajian itu nanti.
Tidak kira mereka itu datang dari keluarga atau pun mereka sendiri yang mempunyai ideology pada parti-parti politik tertentu. Mereka seharusnya sedar dan berdiri teguh pada objektif utama mereka berada di university. Mereka seharusnya tidak terpengaruh dan condong terhadap mana-mana parti politik di Negara ini. mereka harus bijak menilai setiap maklumat-maklumat yang disalurkan kepada mereka sama ada ianya datang dari parti pemerintah atau pun dari parti pembangkang.
Kalau pun beliau dapat menjadi wakil rakyat. Apa yang beliau boleh lakukan untuk rakyat. Adakah beliau mempunyai masa untuk melawat kawasan yang dimenanginya dengan kapasiti yang beliau ada. Adakah beliau berkeupayaan dalam membawa perubahan kepada rakyat yang menyokongnya. Adakah beliau boleh lakukan yang lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh wakil rakyat sedia ada.
Jika perjuangan mereka adalah disebabkan oleh AUKU 1975 semata-mata. Tidak payahlah bercita-cita hendak menjadi wakil rakyat. Isu tersebut hanyalah seperti di hujung kuku sahaja jika dibandingkan dengan isu-isu lain yang sepatutnya diketengahkan. Boleh dikatakan perjuangan mereka itu hanyalah tertumpu kepada isu yang sempit sahaja. kalau pun beliau memenangi pilihanraya, dan AUKU 1975 diubah atau pun di hapuskan, adakah ia boleh membawa kepada perubahan yang besar terhadap keseluruhan system di Negara ini. Adakah ianya akan memberi banyak faedah terhadap rakyat jelata. Jawapannya sudah tentu TIDAK. Maka di sini, sudah jelas kepada kita bahawasanya perjuangan PNM adalah satu perjuangan yang sempit yang tidak menguntungkan mana-mana pihak yang menyokongnya. Mereka tidak menyokong untung nasib mana-mana bangsa dan kaum dalam Negara.
Parti Mahasiswa Negara (PNM) yang ditubuhkan oleh mereka itu tidak ubah seperti satu pertubuhan NGO atau pun boleh dikategorikan seperti satu pertubuhan yang ditubuhkan dalam university atau mana-mana pertubuhan bebas bagi melakukan satu-satu aktiviti sahaja.
Bagi saya selaku rakyat jelata; tidak kira wakil rakyat saya itu datangnya daripada parti pemerintah atau pun daripada parti pembankang, apa yang penting adalah apa yang boleh beliau sumbangkan kepada agama, bangsa dan Negara. Saya terus terang akan menolak seseorang wakil rakyat yang tidak berkeupayaan sama ada dalam meningkatkan keupayaan bangsa dan agama atau pun dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat jelata yang berada dalam kawasannya. Tidak kira mereka itu dari parti pemerintah atau pun daripada parti pembangkang.
Akhir kata, tidak kira seseorang pelajar itu berideologi parti pembangkang atau pun parti pemerintah, tindakan mereka untuk menyertai mana-mana parti politik adalah tidak kena pada tempatnya. Mereka harus sedar bila fikiran mereka menjadi celaru, tumpuan mereka sedikit sebanyak akan beralih dan dengan sendirinya akan menganggu tujuan utama mereka itu sebagai seorang yang masih lagi bergelar mahasiswa.
JANGANLAH SAMPAI MENJADI SEPERTI KATA ORANG TUA-TUA, YANG DIKEJAR TIDAK DAPAT MANAKALA YANG DIKENDONG PULA BERCICIRAN.
0 ulasan:
Catat Ulasan