Oleh Ismail Mat
SEBAIK saja nama Datuk Dr Awang Adek Hussin diumumkan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali negeri itu daripada Pas, dewan di Bukit Marak semalam, bergema dengan tepukan gemuruh.
Suasana itu sekali gus menandakan isyarat jelas kepada kerajaan Pas bahawa kubu mereka bakal digempur hebat kali ini, dengan munculnya ‘panglima baru’ untuk mengemudi BN Kelantan. Awang Adek bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok selain kerusi Parlimen Bachok.
Pemilihan Dr Awang Adek dipersetujui Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan diumumkan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.
Tepukan gemuruh berterusan apabila Dr Awang Adek bangun menghargai sokongan dan tepukan itu, menyebabkan Annuar menghentikan seketika kata-katanya ketika membuat pengumuman itu.
“Semua ‘very excited’ (amat teruja) untuk menang kali ini,” katanya ringkas sebaik melihat reaksi hadirin yang mengikuti sidang media mengumumkan senarai calon itu.
Hakikatnya, kemenangan BN di Kelantan bukan setakat impian ahli Umno dan BN di negeri itu, sebaliknya ia adalah harapan dan impian lebih tiga juta ahli Umno.
Melihat senarai nama calon yang diumumkan satu persatu oleh Annuar, ternyata janji menampilkan barisan calon berwibawa bagi menerajui Kelantan jika BN diberi mandat, sudah disediakan.
Setiap Ketua Umno Bahagian atau pemangku jawatan itu kali ini diberi tanggungjawab bertanding di kawasan masing-masing kecuali Pasir Mas, apabila Ketuanya, Datuk Rahim Abdul Rahman, dicadangkan untuk tugas lain.
Tindakan itu secara tidak langsung mengurangkan kontroversi bagi kebanyakan kerusi DUN, sekurang-kurangnya risiko perpecahan pada peringkat akar umbi terutama di kerusi kritikal.
Hanya dua bekas Ahli Parlimen iaitu Datuk Zaid Ibrahim (Kota Bharu) dan Datuk Razali Mamat (Kuala Krai) digugurkan daripada senarai pencalonan terbabit, yang sememangnya sudah diduga.
Meskipun ada yang melihat pengguguran Zaid boleh menimbulkan masalah, namun dalam politik, segala-galanya mungkin. Jika kesetiaan kepada parti yang mahu diukur, maka ketika saat genting inilah ia boleh menjadi bukti.
Untuk menang kali ini, semua Ketua Umno bahagian wajib memainkan peranan mengurangkan sengketa dalaman, tatkala pengundi atas pagar dan penyokong kini perlu didekati dan diterangkan matlamat perjuangan BN.
Bagi kebanyakan kerusi DUN pula, semua Adun BN yang menang pada pilihan raya 2004, dikekalkan untuk bertanding mempertahankan kerusi masing-masing.
Tindakan itu sesuatu yang wajar kerana sepanjang empat tahun menjadi wakil pembangkang di Kelantan, semua wakil BN sebenarnya menunjukkan prestasi baik demi memenuhi aspirasi pengundi.
Berbanding pembangkang di negeri lain, sama ada Pas, DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), boleh dikatakan wakil BN berjaya memainkan peranan sebagai pembangkang yang terbaik di Kelantan.
Hakikatnya, jika pembangkang di negeri lain hanya sekadar membangkang dalam dewan, wakil BN bukan sekadar menegur kerajaan Pas Kelantan, malah berusaha membawa pelbagai kemajuan demi kesejahteraan rakyat Kelantan.
Meskipun nyawa jadi taruhan, ia bukan penghalang untuk berkhidmat. Adun Mengkebang, Azizzudin Hussin, sendiri menempuh saat cemas apabila bot dinaikinya terbalik dalam perjalanan pulang menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang terputus hubungan ketika banjir Disember lalu.
Kesungguhan khidmat wakil BN selama ini adalah sesuatu yang rakyat Kelantan perlu beri perhatian dan sewajarnya tidak berkira memberi undi bagi kemenangan mereka yang lebih kukuh hingga mampu membentuk kerajaan kali ini.
Selain penyandang yang bakal mempertahankan kedudukan dengan rekod perkhidmatan selama ini, barisan muka baru yang ditonjolkan pada kali ini juga tidak kurang hebat dan berwibawa.
Antaranya termasuk ‘Giant Killer’, Zianon Abdin Ali, yang pernah menewaskan Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaacob, di DUN Panglima Bayu, pada 1990 dan kali ini diletakkan sebagai calon BN di DUN Kemahang.
Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Dr Azmi Setapa, bukan orang baru di kalangan penduduk Jeli, malah beliau antara wakil peribadi ketuanya, Datuk Mustapa Mohamed, mendampingi masyarakat Ayer Lanas.
Kebangkitan pasukan bola sepak Kelantan dalam Liga Perdana, menyaksikan Pengurus Pasukan itu, Ahmad Jazlan Datuk Yaakob, yang juga pemangku Ketua Umno Bahagian Machang, semakin terkenal dan kini menjadi harapan penduduk Kemuning, yang mahu menyaksikan perubahan DUN itu yang dimenangi Pas dengan dua undi pada 2004.
Meskipun bertanding di kubu kuat Pas, DUN Tanjung Mas, Naib Ketua Puteri Umno Kelantan, Khazuni Osman, yang kecil molek itu, langsung tidak menunjukkan rasa gentarnya.
“Lawan tetap lawan hingga penghujung kempen, biar rakyat tentukan selepas melihat manifesto BN. Saya harap generasi muda Kelantan kini bangkit menyokong BN demi mengubah keadaan negeri ini demi masa depan mereka,” katanya tegas.
Jika disemak latar belakang masing-masing, barisan calon BN bagi DUN Kelantan yang diketuai Awang Adek dalam pertempuran kali ini adalah gabungan tenaga profesional, ulama, korporat dan akademik.
Selepas mengemukakan barisan calon yang berwibawa ini, BN Kelantan dijangka mengumumkan manifesto khusus untuk Kelantan yang bakal menjadi janji parti itu untuk seluruh rakyat Kelantan, jika diberi mandat.
Namun, pada misi keempat kali ini, tidak mustahil jika seluruh jentera BN menunjukkan kesungguhan dengan muafakat dan sepakat dengan rakyat Kelantan yang ikhlas mahukan perubahan, usaha mereka mampu mencipta sejarah dan kejayaan.
Bermatlamatkan 2008 sebagai tahun perubahan, pada hari pengundian 8 Mac ini, Annuar berkata, BN hanya mengharap satu perkara daripada setiap pengundi iaitu, Satu Undi Untuk Kelantan, demi Kelantan Baru, Kelantan Maju.
0 ulasan:
Catat Ulasan