HARAKAH ( 25-01-08 )
KOTA BHARU: Selepas lebih lima bulan berlalu, jambatan Sultan Yahya Petra kedua yang diuar-uarkan sebelum ini, tidak pun kelihatan kerja-kerja pembinaannya serius dijalankan sekarang.
Sedangkan ketika perasmian pecah tanah projek itu 2 Ogos lalu Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S Samy Vellu memberi amaran mahu menghentikan kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual.
"Cepat ikut jadual... saya setuju, tapi biar kemas dan elok supaya selepas itu, tak payah kita nak baiki apa yang rosak pula," katanya pada perasmian upacara pecah tanah Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra di Lembah Sireh oleh Perdana Menteri.
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula mempertahankan kenyataan Samy Vellu, di mana katanya kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual memang patut diberhentikan.
Pembinaannya mengikut jadual asal dikatakan akan mengambil masa 30 bulan dan telah dimulakan pada 18 Jun lalu dan dijangka siap 19 Jun 2009. Jambatan itu sepanjang 843 meter.
Jambatan berkenaan dijangka mempunyai enam lorong. Selain itu ada struktur bertingkat akan dibina dari jambatan sehingga ke simpang di Dusun Muda.
Pembinaan jambatan itu dilaksanakan dalam tiga fasa oleh Konsortium I.S (M) Sdn Bhd atau Redland Sdn Bhd, milik seorang pemimpin Umno Tanah Merah.
Namun, apa yang diingatkan menteri seperti sudah berlaku sekarang. Sedangkan sebelum ini kontraktor utama dikatakan mendapat projek bernilai berbilion.
Mengikut penduduk, hanya kelihatan lima orang sahaja pekerja kebanyakannya dari Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan jambatan itu sekarang.
"Sejak selepas pecah tanah, tidak nampak pun pembinaan jambatan itu serius dilakukan. Sepanjang tinjauan saya ke tapak pembinaan hanya kelihatan lima pekerja sahaja.
"Pembinaannya tidak serius. Bagaimana hendak siap mengikut jadual asal sebagaimana diberitahu menteri sebelum ini," kata Penghulu Mukim Kampung Sireh, Wan Ismail Kadir.
Menurutnya pembinaan jambatan itu seperti tersembunyi agenda politik kerana hanya pada peringkat awal sahaja diuar-uarkan bagi menggambarkan kerajaan BN mampu melakukan apa sahaja.
Apa puncanya masalah itu berlaku. Di sebalik tersembunyi masalah tersebut, difahamkan projek pembinaan jambatan Sultan Yahya kedua ada agenda lain yang lebih besar.
Difahamkan setiap Ketua Pemuda Umno di Kelantan mendapat habuan sebanyak RM300,000 sebagai modal bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.
Malah ada sumber memberitahu ketua-ketua bahagian Umno juga mendapat manfaatnya daripada projek tersebut, biar pun asalnya di atas nama projek untuk rakyat.
Persoalannya dari mana begitu banyak wang tersebut diperolehi dengan begitu mudah. Andaian mudah dapat dilihat, kos keseluruhan projek tersebut sebanyak RM143 juta.
Namun bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Ibrahim Ali memberitahu projek pembinaan jambatan itu sebenarnya sebanyak RM93 juta.
Ini bermakna terdapat lebihan daripada kos sepatutnya sebanyak RM50 juta. Dan duit yang diagih kepada ketua-ketua pemuda berjumlah RM4.2 juta dan selebihnya milik ketua bahagian dan Perhubungan Umno Negeri.
"Secara jelas dapat digambarkan projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya kedua merupakan kaedah terbaik bagi Umno untuk menggunakan wang kerajaan bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi," kata seorang bekas anggota jawatankuasa Umno bahagian.
Selain pembinaan jambatan tersebut Kelantan juga diuar-uarkan mendapat projek baru melibatkan peruntukan sebanyak RM570.1 juta termasuk membina jalan raya Kota Bharu – Kuala Krai, jambatan dan jalan raya di Bukit Bunga, Jeli; jalan pintas di Pasir Mas; memperelokkan jalan Pasir Puteh – Gong Kulim – Tok Bali serta membaiki jalan raya Kota Bharu – Kuala Terengganu.
Projek pembangunan politik juga dapat dilihat apabila pembinaan semula jambatan di Tendong dan berdekatan Bukit Panau di laluan Pasir Mas – Tanah Merah masih terbengkalai sehingga sekarang.
Kedua-dua jambatan itu sudah lebih dua tahun terbengkalai sehingga menyusahkan pengguna jalan raya kerana terpaksa menggunakan jambatan sementara dalam tempoh begitu lama.
Difahamkan anugerah projek membina jambatan itu diberi kepada seorang kontraktor yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno. - tajdid
0 ulasan:
Catat Ulasan