HARAKAH – (29-02-2008)
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Apa yang diketengahkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengenai pendedahan keburukan pihak lawan itu bukanlah mengumpat dalam konteks memilih pemimpin.
Setiausaha Akhbar Presiden, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir, berkata mengumpat itu membawa makna sesuatu yang begitu negatif, sedangkan apa yang dimaksudkan oleh Ustaz Hadi ialah mendedahkan keburukan seseorang yang berasas dan bersandarkan fakta.
"Apa yang diketengahkan Presiden bukan mengumpat kerana mengumpat ini satu benda yang sangat negatif. Apa yang dimaksudkan ialah mendedahkan keburukan pemimpin yang berasas seperti contoh Dato' Zakaria Derus yang digugurkan. Kalau dia dicalonkan, takkanlah tak boleh nak ceritakan dia buat rumah RM 8 juta. Itu fakta yang rakyat perlu tahu," jelas beliau dalam sidang akhbar, di Pejabat Agung PAS, hari ini.
Dalam Islam, tambah beliau seseorang pemimpin yang mahu melayakkan dirinya sebagai seorang pemimpin, rakyat perlu tahu latar belakang dan jenis pemimpin yang perlu mereka pilih supaya pemimpin yang dipilih itu nanti adalah seorang pemimpin yang baik dan bersih.
Malah, katanya jika ada calon-calon PAS yang negatif dan BN ada bukti mengenainya, ia boleh didedahkan bagi kebaikan semua pihak.
"Dalam kes ini, akhbar cuma 'quote' ceramah dia (Ustaz Hadi) tanpa meminta penjelasan beliau. Lepas tu, bagi macam-macam tafsiran. Ini manipulasi," tegas beliau.
Manakala, Setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof, berkata mengumpat itu adalah cakap-cakap belakang, sedangkan apa yang didedahkan oleh pemimpin BA adalah secara terbuka, malah pemimpin yang dikatakan itu boleh mendengar apa yang didakwa pihak lawannya.
"Cakap-cakap ini secara terbuka. Pemimpin pun boleh dengar. Mereka sendiri boleh menafikan atau menjelaskan perkara sebenar berkenaan apa yang didedahkan oleh PAS," tegas beliau.
0 ulasan:
Catat Ulasan