Ahad, 24 Februari 2008

PENAMAAN CALON : 24-02-2008

Pulang mengundi dengan rasa patriotik


BERITA HARIAN ( 23-02-2008 )

ESOK, hari penamaan calon menandakan gendang pilihan raya semakin rancak dipalu. Selepas itu, negara berpesta selama 13 hari dengan kempen di sana-sini sebelum tiba hari mengundi, 8 Mac depan bagi memilih pemerintah baru untuk lima tahun akan datang.

Peluang membuktikan patriotisme kita kepada negara perlu ditunjukkan sempena pilihan raya umum kali ini. Semua pihak, tidak kira individu yang menjadi pekerja sektor awam, swasta atau bekerja sendiri perlu menunjukkan kecintaan kepada bumi yang aman damai dan sedang rancak membangun.

Inilah masa semua pihak khususnya pengundi membuktikan kepada dunia bahawa keamanan yang kita nikmati selama ini tidak mudah jatuh ke pihak lain. Pilihan raya adalah wadah bagi kita menyatakan kesyukuran atau menunjukkan isyarat bagus kepada dunia bahawa kemajuan yang dicapai Malaysia selama ini perlu ada kesinambungan.

Bagi individu tunaikan patriotisme dengan mengundi di kawasan masing-masing. Jangan pula sanggup pulang disebabkan ada yang menaja tambang atau menyewakan bas persiaran berhawa dingin.

Biar kita pulang dengan penuh keikhlasan demi merubah nasib anak pertiwi dan memakmurkan negara dari Perlis sampailah ke Sabah. Kepulangan pula tidak pula hanya menangguk di air keruh atau mengambil sikap pantang lepa. Kini alasan untuk pulang dengan penuh patriotik terhidang di depan mata.

Majikan pula, inilah masanya mengizinkan pekerja memohon cuti balik kampung untuk mengundi. Kita harus tunjukkan isyarat kepada dunia bahawa kita amat mensyukuri segala kemajuan yang telah dijalankan oleh kepemimpinan sedia ada. Jika cuti tidak diluluskan ia seumpama menghantar isyarat bahawa pihak majikan menyimpan bibit-bibit rasa kurang senang terhadap pemerintahan sedia ada.

0 ulasan: