Jumaat, 29 Februari 2008

MENGAPA TUN BATAL HADIRI JAMUAN RAKYAT DI SAAT AKHIR?


HARAKAH – (29-02-2008)

Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi persetujuan untuk hadir dalam satu majlis yang dianjurkan khas untuk bekas Perdana Menteri itu, "Jamuan Rakyat; Jasamu Dikenang". Program tersebut dikatakan diusahakan oleh seorang usahawan dari Jitra yang berpejabat di Kuala Lumpur.

Permohonan rasmi diajukan kepada pejabat Dr Mahathir dikatakan dibuat pada pagi 22 Februari 2008, manakala tarikh yang dicadangkan untuk majlis jamuan rakyat itu ialah 29 Februari 2008. Difaham Dr Mahathir telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada majlis tersebut, melalui surat dikeluarkan pada 27 Februari 2008.

Apa yang menarik, mengikut penganjur, pada awalnya Dr Mahathir dijangka tidak dapat hadir kerana mengikut jadual yang ditunjukkan oleh pegawai di Yayasan Kepimpinan Perdana, bekas wakil rakyat Kubang Pasu sejak 1974-2004 itu mempunyai program di sebelah pagi 29 Februari. Walau bagaimanapun, pihak penganjur mendapat berita yang mengejutkan apabila Dr Mahathir telah memberi persetujuan dua hari sebelum program jamuan rakyat itu.

Persetujuan rasmi Dr Mahathir itu telah menimbulkan kegemparan di Jitra dan seluruh kawasan Kubang Pasu, apatah lagi dalam suasana kempen pilihan raya ini. Kehadiran Dr Mahathir dijangka mengundang masalah dan kesulitan kepada calon-calon BN di Kubang Pasu memandangkan mereka memiliki sejarah hitam menjatuhkan maruah Dr Mahathir mesyuarat agung Umno bahagian kira-kira dua tahun lalu.

Orang Kubang Pasu khususnya ahli-ahli Umno tidak akan lupa bagaimana Dr Mahathir yang begitu banyak berjasa di daerah itu telah diaibkan apabila percubaan beliau untuk menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno tewaskan melalui amalana rasuah politik wang.

Seluruh negara tahu bahawa pihak yang memalukan Dr Mahathir itu ialah Dato' Johari Baharum, Dato' Saad Man, Dato' Haji Zaini, Tan Sri Osman Aroff dan ramai lagi ahli-ahli jawatankuasa bahagian Umno Kubang Pasu.

Orang-orang yang naik dan berjaya kerana Dr Mahathir tiba-tiba boleh bertindak menikam negarawan ulung itu dari belakang. Peristiwa itu begitu mengejutkan ahli-ahli Umno di seluruh tanah air. Tidak terfikir bagaimana seorang tokoh bertaraf antarabangsa boleh dimalukan oleh anak-anak didiknya sendiri.

Persoalan yang hangat dibicarakan sekarang, mengapa Dr Mahathir yang telah bersedia hadir program rakyat Kubang Pasu itu boleh membatalkannya di saat-saat akhir?

Golongan yang mengkhianati Dr Mahathir pasti menjadi cemas apabila rakyat Kubang Pasu yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik boleh menjemputnya ke sebuah majlis kenduri rakyat. Walhal pihak penganjur yang tidak dikenali itu bukannya golongan yang sebelum ini asyik mencium tangan Dr Mahathir, atau yang mendapat apa-apa projek semasa Dr Mahathir berkuasa dahulu.

Ahli-ahli biasa Umno Kubang Pasu memang cukup kecewa dengan langkah tikam belakang Dr Mahathir itu, sehinggakan pemimpin Cina tempatan pun boleh bersungut: "Bagaimana orang yang suap nasi ke mulut kita boleh kita lumurkan najis ke mukanya? Pelik sekali apabila pemimpin Umno Kubang Pasu yang menjadi kaya raya dan berpengaruh disebabkan pertolongan Tun boleh bertindak begitu kurang ajar."

Seorang kakitangan kerajaan yang berasal dari Kelantan dan sekarang menjadi pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) mengatakan, "mahu tak mahu, semua orang kena terima bahawa jasa Dr Mahathir amat besar kepada Kubang Pasu. Kalau bukan kerana Tun, Kubang Pasu sampai hari ini mungkin tiada apa yang istimewa, malah tiada UUM, tiada IPDA, tiada POLIMAS dan lain-lain lagi."

"Sebab itu kita hairan bagaimana sejak Tun bersara sehingga hari ini, tiada satu majlis pun, umpama Jasamu Dikenang dianjurkan, sama ada oleh Umno, Barisan Nasional, Majlis Daerah atau mana-mana Jabatan Kerajaan di Kubang Pasu," tambahnya.

"Sebab itulah, apabila ada penganjur sanggup mengeluarkan belanja untuk menjayakan Majlis Jamuan Rakyat, Jasamu Dikenang, sudah pasti ia mendapat sambutan hangat dan menyedarkan pihak-pihak berkenaan yang agak lupa pada jasa Tun selama ini," sambung pensyarah tersebut.

Apa pun, hasrat rakyat Kubang Pasu untuk meraikan jasa-jasa Dr Mahathir tertangguh lagi. Rasanya ada tekanan dalaman agar majlis berkenaan, terutama sewaktu kempen pilihan raya ke-12 rancak berjalan.

Difahamkan pejabat Dr Mahathir memaklumkan kepada penganjur melalui SMS petang Khamis, 28 Feb: "Zulaimi, memandangkan beberapa masalah yang timbul bersangkutan dengan majlis esok. Tun M memutuskan tidak dapat hadir. Ia mengucapkan terima kasih di atas ingatan Zulaimi. lain kalilah ...insya-Allah, when u have more time 2 prepare."

Tidak dapat dibayangkan bagaimana kiranya Dr Mahathir dapat hadir ke majlis jamuan rakyat itu. Tentu ia penuh sesak dengan ribuan hadirin, dan calon-calon BN di Kubang Pasu, yang telah mengkhianati Dr Mahathir selama ini, mungkin akan datang untuk mencium tangan bekas Perdana Menteri itu lagi dan mengharapkan agar mereka tidak dibelasah di depan umum, terutama Johari Baharom, Saad Man dan juga Haji Zaini.

0 ulasan: