Isnin, 25 Februari 2008

ETIKA KEMPEN MESTI DIPATUHI


UTUSAN MALAYSIA ( 25-02-2008 )

Rencana Pengarang

SEMALAM sempurna sudah proses penamaan calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac ini. Barisan Nasional (BN) berjaya menang 10 kerusi tanpa bertanding manakala Pas pula memperoleh satu kerusi iaitu di Kijang, Kelantan.

Itu petunjuk awal catatan kemenangan dan kekalahan dalam pilihan raya kali ini, biarpun tempoh berkempen baru hendak bermula.

Pastinya, sepanjang tempoh 13 hari berkempen akan menyaksikan pelbagai ragam dan peristiwa yang mewarnai proses pilihan raya di negara ini selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Yang pasti, bukan sahaja para pengundi semakin matang untuk membuat keputusan malah lebih penting lagi ialah calon-calon perlu menunjukkan kematangan ketika berkempen.

Setiap calon mesti mematuhi peraturan serta etika berkempen supaya kelak pilihan raya yang dilangsungkan di negara ini berjalan dengan lancar.

Selepas 11 kali pilihan raya dan tahun ini merupakan yang ke-12, kita tidak mahu ada insiden-insiden yang tidak sepatutnya mencalar proses pelaksanaan demokrasi di negara ini.

Seharusnya, pilihan raya 2008 menjadi petunjuk mentaliti rakyat Malaysia yang semakin bijak menggunakan pendekatan bersesuaian untuk memenangi hati pengundi.

Memburuk-burukkan calon lawan, mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun terbukti bukan pendekatan yang digemari pengundi. Kempen yang diselang-selikan dengan kesemua unsur itu juga bukan melambangkan budaya rakyat Malaysia justeru ia tidak sepatutnya ditonjolkan ketika berkempen.

Lagipun bukankah dengan menonjolkan sikap sedemikian cukup untuk memberi gambaran betapa buruknya sikap calon itu sendiri, sekali gus mengurangkan ruang untuk mereka di hati pengundi.

Di sinilah Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang ditubuhkan pada 2004 diharap dapat berfungsi sepenuhnya untuk memastikan kempen pilihan raya berjalan dengan lancar.

Jika pasukan tersebut menghentikan serta-merta ceramah yang dijalankan kerana didapati tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, maka hormatilah keputusan tersebut.

Bagi mereka yang tidak terpilih dan yang digugurkan janganlah bertindak mensabotaj parti. Mereka hendaklah menerima hakikat itu dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Mereka jangan cuba membuat onar dengan cuba mensabotaj kempen-kempen parti dengan menyebar fitnah terhadap calon-calon yang terpilih atau menjadi calon bebas.

Pesanan Timbalan Perdana Menteri agar para penyokong BN yang wakil rakyat mereka digugurkan sebagai calon tidak mensabotaj parti juga mesti diberi perhatian serius.

Mereka perlu akur dan perlu terus bersemangat untuk membantu kempen-kempen pilihan raya bagi memastikan kejayaan parti.

Mereka mesti setia dan perlu bekerja untuk parti kerana kejayaan parti ialah kejayaan semua.

0 ulasan: