Jumaat, 29 Februari 2008

BN KELANTAN : JANJI PROJEK RM10B


UTUSAN MALAYSIA – ( 29-02-2008 )

KOTA BHARU 28 Feb. – Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengumumkan manifesto yang mengandungi pelbagai program pembangunan bernilai RM10 bilion bagi memastikan negeri ini menjadi sebuah negeri maju.

Pengerusinya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, manifesto tersebut akan memperincikan program yang akan dilakukan BN sekiranya berjaya membentuk kerajaan dan pelengkap kepada manifesto nasional.

Beliau berkata, sebagai contoh, golongan muda, mahasiswa dan anak perantau akan mendapat penekanan dalam manifesto itu bagi memastikan mereka mendapat peluang sewajarnya selepas ini.

“Saya sudah melihat manifesto Pas secara keseluruhannya tetapi semuanya kosong tidak ada yang baru, Pas sediakan manifesto yang bernilai RM300 juta tetapi kita menyediakan RM10 bilion untuk transformasi sepenuhnya Kelantan.

“Pilihan raya kali ini bukannya berdasarkan sentimen Pas atau UMNO tetapi pakej yang akan diberikan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isnin lalu, Pas Kelantan mengumumkan manifesto tambahan untuk negeri ini dengan memperuntukkan RM15 juta bagi membina projek perumahan mampu milik yang bernilai RM35,000 setiap sebuah.

Annuar turut menyifatkan manifesto yang akan diumumkan Sabtu ini akan mengejutkan rakyat di negeri ini dengan pelbagai pelan pembangunan.

0 ulasan: