HARAKAH ( 18-02-2008 )
Barisan Nasional nampaknya beriya-iya benar mahu merampas Kelantan daripada PAS menerusi pilihan raya umum kali ini. Sebab itu para pemimpin parti itu tidak henti-henti memperlekeh dan mengutuk kerajaan negeri itu di setiap kesempatan.
Kelantan disifatkan negeri mundur, tidak membangun dan jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain diperintah BN. Kesemua kemunduran itu didakwa angkara PAS tidak berupaya melakukan apa-apa untuk memajukan Kelantan.
Terkini ialah penghinaan serupa dibuat Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak. Ketika berucap pada satu majlis di Kota Bharu, Jumaat (15 Februari lalu), Najib sekali lagi menegaskan partinya berhasrat menawan Kelantan daripada PAS pada pilihan raya kali ini bagi melaksanakan pembangunan lebih rancak di negeri itu.
Dalam nada yang disebut orang Kelantan sebagai "nyenye", Najib mengatakan hasrat BN itu adalah bagi 'merawat' Kelantan daripada apa yang didakwanya kepincangan dan kegagalan pemerintahan PAS sejak 18 tahun lalu.
"Kalau (kerajaan) Kelantan mengisytiharkan 2008 sebagai Tahun Melawat Kelantan, saya isytiharkan tahun ini Tahun Merawat Kelantan kerana banyak kepincangan sosial dan ekonomi negeri ini perlu dirawat demi kesejahteraan rakyatnya," kata Najib.
Dalam satu majlis berasingan di Bachok pada hari sama, Najib turut menyifatkan kenyataan Menteri Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa rakyat Kelantan kini berpuas hati dengan pemerintahan PAS sebagai satu penghinaan terhadap maruah rakyat negeri itu.
Najib mendakwa, kenyataan Tuan Guru itu menusuk hati rakyat Kelantan kerana seolah-olah menggambarkan rakyat negeri itu hidup tanpa sebarang masalah di bawah pemerintahan PAS.
"Kalau puak ni (kerajaan PAS) kata tak ada masalah, kita anggap itu menghina maruah rakyat Kelantan," katanya.
Dakwaan Najib itu mengundang reaksi segera Tuan Guru Menteri Besar. Baginya umpan pembangunan dan kebendaan yang ditawarkan Najib itu sebenarnya lebih menghina rakyat Kelantan.
"Hina sangatlah kami di sini (Kelantan) sehingga ditawarkan umpan dengan begitu banyak seumpama lembu dan kerbau pula. Manusia bukan boleh dibeli dengan umpan duit begitu sahaja kerana kita ada maruah," katanya pada kuliah sempena program Munajat Rakyat Kelantan Bersama Tok Guru di Dataran Stadium, Kota Bharu awal pagi Sabtu.
Meski pun bersahaja, reaksi Tuan Guru itu sebenarnya bagaikan penumbuk yang kembali menerjah muka Najib.
Berdasarkan pengamatan penulis, sudah acapkali kenyataan para pemimpin BN yang cuba memperlekeh atau menghina kerajaan Kelantan bukan sahaja tidak berhasil, malah kembali memakan diri BN sendiri.
Kita tentu masih ingat kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid sebelum ini. Sewaktu berkunjung ke negeri itu Ogos lalu, Mahdzir dilaporkan berkata PAS mengamalkan pendekatan politik ketinggalan zaman. Maka rakyat Kelantan akan terus terpinggir jika masih memilih parti itu dalam pilihan raya umum nanti.
"Kalau asyik main politik cara 70-an lagi, saya fikir Kelantan akan terus tertinggal. Sudah sampai masa rakyat melihat masa depan lebih baik dan saya amat yakin dari hati saya, kali ini rakyat (Kelantan) akan menyokong BN," katanya.
Menariknya, Mahdzir mendakwa rakyat Kedah lebih bernasib baik kerana negeri itu diperintah BN. Maka, jika rakyat Kelantan inginkan kehidupan lebih baik, ia juga perlu diperintah BN.
Sekali imbas serangan Menteri Besar Kedah itu agak munasabah. Tetapi apabila diteliti tahap kemiskinan rakyat di negeri itu berbanding Kelantan, ia bukan sesuatu yang membanggakan BN.
Menurut perangkaan dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri sekitar Oktober 2006, negeri Kelantan mempunyai 3,550 isi rumah miskin tegar. Angka itu meletakkan Kelantan hanya di tempat keenam dalam senarai negeri-negeri paling tinggi penduduk miskin tegar.
Sabah mengungguli senarai tersebut dengan jumlah 32,297 isi rumah miskin tegar. Ia diikuti Terengganu (8,300), Perak (5,730), Sarawak (5,243) dan Kedah (4,938). Secara sinis, apakah rasionalnya bagi Menteri Besar Kedah membuka mulut mengenai kemunduran Kelantan, sedangkan angka kemiskinan tegar di negerinya sendiri lebih tinggi berbanding negeri diperintah PAS itu?
Satu percubaan Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin untuk menidakkan usaha mendaulatkan Islam oleh kerajaan Kelantan juga boleh ditertawakan. Pada satu majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Kuala Lumpur, Januari lalu, Zainuddin menyifatkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak lagi revelan dalam memenuhi kehendak semasa rakyat.
Pendekatan agama diambil kerajaan itu, katanya, gagal menunjukkan Islam sebagai agama terbaik, berbanding apa dibuat negeri jirannya, Terengganu.
Zainuddin tersilap besar apabila cuba membandingkan Kelantan dengan Terengganu dalam bab agama. Semua orang tahu betapa di bawah pemerintahan BN, hal ehwal agama Islam mengalami suasana sangat mendukacitakan.
Meski pun BN Terengganu berbangga dengan usahanya membina puluhan masjid baru, ia sebenarnya gagal memakmurkan masjid-masjid itu. Kekurangan imam dan bilal semakin serius sehingga ditegur oleh Tuanku Sultan sendiri.
Majlis-majlis kuliah dan tazkirah pula tidak mendapat sambutan. Penceramah agama mogok kerana elaun mereka tidak dibayar kerajaan negeri.
Usaha pencegahan maksiat juga semakin sukar. Jumlah penguatkuasa agama dikurangkan menyebabkan mereka dipersendakan para pelaku maksiat yang semakin ramai.
Justeru, mendakwa perkembangan Islam di Terengganu lebih baik daripada Kelantan adalah suatu pembohongan dan kejahilan fakta yang nyata.
Kenyataan Najib kelmarin juga satu lagi 'bola tanggung' dari BN. Apabila Najib cuba 'nyenye' kerajaan Kelantan dengan istilah 'merawat' yang ditukar dari perkataan 'melawat' itu, dia secara tidak sengaja mengundang padah kepada BN sendiri.
Pertama, sebagaimana dijawab oleh Tuan Guru, Umno dan BN sebenarnya yang lebih memerlukan rawatan berbanding rakyat Kelantan.
"Umno yang perlu dirawat, beri Al-Quran Umno tolak, beri perintah Allah Umno tolak, cerita tentang kebaikan Islam juga Umno tolak. Jadi seharusnya Umno yang mesti dirawat terlebih dahulu," kata Tuan Guru, sebagaimana disiarkan Harakahdaily semalam.
"Banyak penyakit dalam Umno, berebut pangkat, iri hati dan ini semua perlu diubati. Tak mahu kepada Islam lebih berat. Berubatlah segera. Rakyat Kelantan dah ada doktor, dah ada hospital sendiri, kami aman di Kelantan," sambung Tuan Guru lagi, seraya memulangkan paku buah keras buat Najib.
Kedua, 2008 bukan sahaja diisytiharkan Tahun Melawat Kelantan, tetapi juga Tahun Melawat Terengganu. Bagaimana jika PAS Terengganu mengguna pakai hujah Najib dan menjadikan 2008 adalah Tahun Merawat Terengganu?
Logik untuk usaha itu memang terbukti. Gejala sosial, jenayah dan kerosakan masyarakat memang sangat terserlah sejak negeri itu diambilalih BN empat tahun lalu.
Maka, sangat bersesuaian jika rakyat Terengganu menyerahkan negeri itu kembali kepada PAS untuk ‘merawat’ segala penyakit yang sedang melanda mereka. Oleh itu, bukankah hujah Najib itu juga satu pukulan buat BN?
Soalnya, apakah Kelantan memang jauh mundur berbanding negeri-negeri lain? Tahu tak berapa jumlah penerbangan dua hala KB-KL setiap hari? Berapa pula jumlah penerbangan dua hala KT-KL?
Carian di laman web dua syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airline (MAS) dan AirAsia mengesahkan jumlah kekerapan ke dua destinasi itu memihak kepada Kota Bharu.
Ada beberapa hari, jumlah berlepas dan ketibaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Cepa ialah empat kali sehari setiap hala. Pada hari-hari lain ia bertambah kepada lima kali sehari setiap hala.
Di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Telaga Batin, ketibaan dari atau penerbangan ke Kuala Lumpur hanya tiga kali sehari setiap hala. Perbandingan itu hanya untuk penerbangan pesawat MAS.
Bagi penerbangan pesawat AirAsia pula, laluan KB-KL sekerap empat kali sehari, manakala KT-KL hanya dua kali sehari.
Ertinya, jumlah penerbangan KB-KL melibatkan kedua-dua syarikat penerbangan itu ialah lapan atau sembilan kali sehari, begitu juga sebaliknya. Sedangkan kehebatan KT sebagai bandar raya hanya mampu menampung kekerapan penerbangan ke KL sebanyak lima kali sehari, begitu juga sebaliknya. Mana yang lebih maju antara keduanya?
Kedatangan pelancong ke dua negeri itu juga bukan perbandingan yang menguntungkan BN. Meski pun Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh berbangga dengan peningkatan jumlah kedatangan pelancong ke negerinya, jumlah itu rupa-rupanya hanya separuh mereka yang mengunjungi Kelantan.
"Kita berharap dengan Tahun Melawat Terengganu 2008, jumlah pelancong ke negeri ini meningkat kepada 3.5 juta berbanding tahun lepas dengan 2.5 juta pelancong," kata Idris ketika berucap pada majlis Pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2008, di Kuala Terengganu, 1 Januari lalu.
Ketika berucap merasmikan kempen Tahun Melawat Kelantan 2008 (TMK '08) di Kota Bharu, 8 Februari, Tuan Guru Menteri Besar berkata, sejumlah 5 juta pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Kelantan sepanjang tahun lepas.
Sehubungan itu, Tuan Guru percaya melalui promosi TMK '08 dengan pakej-pakej baru yang diperkenalkan, sasaran untuk menerima 5.7 juta tahun ini akan tercapai.
Meneliti fakta itu, negeri manakah yang lebih diminati pelancong, Terengganu yang diperintah BN atau Kelantan di bawah PAS?
Dengan hujah-hujah diberikan tadi, negeri manakah sebenarnya yang lebih memerlukan 'rawatan' Najib? Kelantan atau negeri-negeri di bawah BN sendiri?
0 ulasan:
Catat Ulasan