BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )
ANDAI sesetengah pihak khususnya pendukung parti pembangkang menganggap pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) hanyalah strategi politik kerajaan bagi memancing undi rakyat Kelantan, mereka sebenarnya silap.
Malah, jika ada pihak beranggapan pelaksanaan gagasan terbesar dalam sejarah pembangunan negara itu sekadar janji kosong yang masih tidak menampakkan hala tuju dan perkembangan, mereka sekali lagi tersilap.
Antara program yang sudah dimulakan di Kelantan adalah projek agropolitan di Gua Musang iaitu kegiatan pertanian bersepadu dan tambah nilai yang dirangka bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.
Selain Gua Musang, projek agropolitan akan turut dilaksanakan di utara Kelantan dengan jangkaan kedua-dua projek mega itu mampu memanfaatkan keseluruhan 11,800 isi rumah miskin tegar.
Di Gua Musang, projek di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu membabitkan penyertaan 3,124 peserta di kalangan miskin tegar bagi mengusahakan tanaman kelapa sawit di tanah yang diberikan kepada mereka.
Menerusi program berkenaan, peserta turut diberikan rumah bernilai RM20,000 dan diperuntukkan ladang sawit seluas 2.4 hektar setiap seorang untuk diusahakan selain menjalankan tanaman sampingan dan penternakan integrasi seperti lembu, kambing dan ayam.
Pengerusi Kesedar, Datuk Ramzi Abd Rahman, berkata kesungguhan kerajaan melaksanakan program itu terbukti apabila pihaknya sudah menerima peruntukan RM264 juta bagi membolehkan ia dilaksanakan segera untuk manfaat jangka pendek dan panjang kepada peserta dan ekonomi negara.
Katanya, seramai 350 peserta bagi fasa pertama sudah dipilih untuk ditempatkan di kawasan seluas 9,916 hektar di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Renok Baru di Gua Musang, diikuti RKT Paloh 4, tidak lama lagi.
“Program berimpak besar Agropolitan ini adalah sebahagian perancangan Kerajaan Pusat bagi membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang 2010 di kalangan rakyat, khususnya di selatan Kelantan.
“Menerusi program ini, peserta dijangka mampu memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan daripada hasil mengusahakan ladang sawit, selain digalak melaksanakan tanaman sampingan lain serta ternakan integrasi.
“Siapa kata program ini tak berjalan? Kita dah mula melaksanakannya. Ketika ini lebih 350 peserta fasa pertama sudah dikenal pasti dan penempatan dijangka dibuat dalam tempoh terdekat ini, duit pun dah sampai,” katanya.
Di bawah perancangan projek agropolitan, Bandar Baru Agropolitan akan dibangunkan di kawasan seluas hampir 400 hektar yang turut berperanan sebagai pusat perdagangan, pemasaran dan pemprosesan kegiatan hiliran.
Pembangunan bandar baru serba lengkap itu membolehkan peserta tidak terlalu bergantung terhadap hasil pertanian semata-mata, sebaliknya mampu menjana pendapatan tambahan menerusi kegiatan lain yang dijalankan secara sampingan.
Ramzi berkata, komitmen Kesedar menjayakan ECER di Kelantan terbukti apabila pihaknya sudah menjelaskan RM21 juta bagi bayaran premium tanah kepada kerajaan Kelantan bagi membolehkan Kelantan Selatan khususnya Gua Musang digunakan sepenuhnya untuk pembangunan projek itu.
Selain memastikan projek Agropolitan menjadi kenyataan, Ramzi berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi menjalankan pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial dan pembasmian kemiskinan di selatan Kelantan.
Bagi memastikan Bandar Baru Agropolitan berperanan sebagai hab pertanian dan ternakan terbesar di negeri itu, Ramzi berkata sistem perhubungan jalan raya turut diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat menerusi peruntukan RM1.4 bilion bagi pembinaan lebuh raya menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai.
“Projek di bawah RMK-9 ini akan dimulakan tidak lama lagi dan saya difahamkan kontraktor bagi melaksanakan projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai juga sudah dilantik.
“Sudah pasti pengangkutan di lingkaran kawasan agropolitan akan menjadi lebih cekap dan pantas, manakala kawasan sekitar lebuh raya akan mendapat limpahan ekonomi yang besar,” katanya.
Selain Kesedar, satu lagi agensi Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab menyediakan program pertanian berskala besar bagi menghapuskan miskin tegar ialah Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang sudah menggerakkan usaha penanaman kenaf dan ternakan berkelompok, selain meneruskan tanaman tembakau.
Ketika ini, kenaf ditanam di kawasan seluas 300 hektar di Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan dan akan ditingkatkan sejajar hasrat kerajaan menjadikannya sebagai antara sumber ekonomi utama petani dalam ECER.
Pengerusi LTN, Datuk Mohd Zain Ismail, berkata serentak itu, LTN yang selama ini membangunkan tembakau, akan memberi perhatian usaha membangunkan kenaf sebagai alternatif kepada tembakau.
Beliau berkata, bagi memenuhi keperluan, LTN merancang pembinaan kilang pemprosesan kenaf di Kelantan dan Terengganu sebelum sumber itu dieksport ke pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Eropah.
Katanya, kilang masing-masing bernilai RM1.2 juta dan RM2.5 juta itu akan dibangunkan pihak swasta bagi memudahkan petani memasarkan secara terus kenaf yang dituai pada harga yang lebih stabil mengikut pasaran semasa.
“Ketika ini, daripada 300 hektar kenaf di Kelantan, 20 peratus sudah mula dituai dan dijual kepada syarikat swasta, sekali gus menjadikan Kelantan pengeluar terbesar kenaf negara ketika ini,” katanya.
Sepanjang pembangunan ECER, LTN akan membantu lebih 3,000 penanam tembakau di Kelantan untuk beralih mengusahakan kenaf selepas lebih 10,000 penanam sudah beralih ke tanaman lain sejak beberapa tahun lalu.
“Kita menggalakkan penanaman kenaf kerana potensinya sangat besar. Ketika ini, ia dijual pada harga RM300 setiap tan metrik, dan berdasarkan permintaan yang meningkat, dijangkakan harganya mampu mencecah RM500 setiap tan metrik,” katanya.
Mohd Zain berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan lebih RM15 juta kepada lebih 3,000 penanam terbabit sebagai galakan memulakan tanaman alternatif lain khususnya kenaf dan ternakan berkelompok bagi meningkatkan pendapatan.
0 ulasan:
Catat Ulasan