Khamis, 28 Februari 2008

'BN PERNAH TEWASKAN NIK AZIZ'


BERITA HARIAN – (28-02-2008)

Veteran politik, Mohd Zain imbau kekalahan Presiden Pas di tangan beliau bagi Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum 1986

KOTA BHARU: Walaupun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dianggap lambang kekuatan Pas setiap kali parti itu berdepan pilihan raya umum, namun hakikatnya beliau pernah dan mampu ditewaskan.

Ramai tidak mengetahui bahawa Menteri Besar Kelantan itu sebenarnya pernah tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya yang berlangsung sebelum ini.

Sejarah politik Kelantan menyaksikan Nik Abdul Aziz tewas kepada bekas Ahli Parlimen Bachok, Mohd Zain Abdullah, yang mewakili BN pada 1986.

Mohd Zain atau lebih dikenali dengan Cikgu Zain mengalahkan Nik Abdul Aziz yang juga rakan baiknya itu, bagi kerusi Parlimen Bachok dengan majoriti 270 undi.

Ketika ditemui, Mohd Zain, 74, yang mengimbau kembali pembabitannya dalam politik, berkata beliau diminta bertanding pada 1969, ketika belum menjadi ahli Pas.

"Ketika itu, saya bertugas sebagai guru besar sekolah di Kampung Badak, Bachok. Saya menerima tawaran bertanding dan melepaskan jawatan sebagai guru besar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chica, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Mohd Zain berkata, apabila Pas berpecah pada 1983, beliau mengikut jejak bekas Presiden parti itu, Datuk Asri Muda menubuhkan parti Hizbul Muslimim Malaysia (Hamim) pada 1983.

"Apabila Hamim menyertai Barisan Nasional (BN), saya berasa begitu sedih apabila perlu menentang rakan baik, Nik Abdul Aziz, untuk kerusi Parlimen Bachok," katanya.

Beliau berkata, apabila menyedari perlu menentang Nik Abdul Aziz, beliau mencapai kata sepakat dengan rakan karibnya itu untuk tidak berkempen sepanjang pilihan raya.

"Pada hari penamaan calon tahun itu, saya membuat langkah pertama dengan berjabat tangan dengannya sebagai bukti hubungan erat di antara kami berdua.

"Ketika itu, saya sempat berbisik kepadanya (Nik Abdul Aziz) mengenai pertembungan unik kami itu memungkinkan akan berakhir dengan permusuhan. Ketika itu, beliau menjawabnya itu adalah takdir.

"Disebabkan situasi unik itu, kami berdua akhirnya tidak mengadakan sebarang ceramah langsung kerana bimbang akan berlaku kritik mengkritik kedua-dua pihak," katanya.

Mengenai kemenangannya mengalahkan rakannya itu, katanya, ia disebabkan ketika itu beliau amat dikenali di Bachok berbanding Nik Abdul Aziz pada masa itu.

"Bachok adalah kubu kuat Pas tetapi saya menang dengan majoriti kecil dan kemenangan itu dibantu oleh pengalaman lebih 15 tahun sebagai guru di kawasan itu yang mempunyai hubungan erat dengan masyarakat tempatan," katanya.

Walaupun kini sudah menjadi ahli Umno katanya, hubungan dengan Menteri Besar Kelantan itu masih akrab.

"Kita selalu bertegur sapa apabila berjumpa walaupun di tempat awam dan saya pernah mengunjungi Nik Abdul Aziz di pejabatnya," katanya.

Beliau berkata, pada akhir 70-an dan awal 80-an, hubungannya dengan Nik Abdul Aziz amat rapat dan pernah berkongsi bilik setiap kali berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri sidang Dewan Rakyat.

"Kami amat rapat ketika itu. Malah setiap kali menghadiri persidangan Dewan Rakyat, kita akan berkongsi bilik. Tuntutan perjalanannya juga, saya yang membantu selesaikan," katanya.

Apa yang menarik katanya, meskipun terbabit dalam pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya 1986, namun hubungannya dengan Nik Abdul Aziz tidak pernah terjejas sehingga hari ini.

Sepanjang pembabitan Mohd Zain dalam politik selama 20 tahun, beliau pernah tewas dua kali iaitu di Tawang (1978) dan Bachok (1990).

Katanya, walaupun kini sudah berundur daripada politik, beliau masih lagi aktif dalam parti dengan membantu berkempen untuk calon BN terutama di Tawang kerana mempunyai ramai saudara mara di situ.

"Saya akan membantu sebaik mungkin bagi memastikan kejayaan BN dan masih mempunyai ramai kawan dalam parti," katanya.

Ditanya mengenai peluang Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin, katanya, tokoh itu mempunyai peluang pada kerusi Parlimen Bachok, namun terpaksa bekerja keras untuk kerusi Perupok.

Pada pilihan raya umum 8 Mac ini, Nik Abdul Aziz yang mempertahankan kerusi DUN Chempaka yang dimenangi sejak 1999, akan ditentang wakil BN, Datuk Dr Nik Zain Omar.

0 ulasan: