Jumaat, 29 Februari 2008

RAKYAT HARAP LIMPAHAN BN DI KOTA BHARU


UTUSAN MALAYSIA – (29-02-2008 )

PARLIMEN Kota Bharu agak unik. Ia boleh digambarkan seperti seorang bapa yang memiliki keluarga besar tetapi langsung tidak mempunyai pertalian dengan anak-anaknya.

Dalam pilihan raya umum 2004, semua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Mas, Kota Lama dan Bunut Payong dibolot oleh Pas tetapi kerusi Parlimennya dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zaid Ibrahim.

Senario itu memberi petunjuk penting kepada BN bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena apabila majoriti pemilih di kawasan ibu negeri Kelantan itu agak 'segan' untuk memangkah calon BN ketika arus perubahan mula melanda.

Mungkinkah kerana rata-rata pengundi itu berada dalam zon selesa dengan tanggapan bahawa pembangunan akan tetap disalurkan oleh kerajaan Pusat walaupun mereka memilih Pas?

Calon BN pula perlu dilonjakkan ke kerusi Parlimen agar apa yang disuarakan diberi perhatian oleh kerajaan Pusat seperti keperluan membina sebuah lagi jambatan Sultan Yahya Petra di Sungai Kelantan.

Sehubungan itu, jentera BN berusaha mengenal pasti punca sebenar dan bekerja keras merawat keadaan ini kerana pepatah ada menyebut bahawa 'sakit berpunca, mati bersebab'.

Pas pula tentunya tidak senang duduk dan tidak mudah merasakan mereka kekal selamat di Kota Bharu kerana tempias Gelombang Biru dari Terengganu dikatakan semakin menghampiri ibu negeri Kelantan ini.

Malah undi majoriti yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum 2004 telah berkurangan lebih separuh berbanding yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 1999.

Sebenarnya riak-riak arus gelombang perubahan semakin menonjol dan dikuatkan lagi dengan pembangunan pesat yang dikecapi jiran terdekat, Terengganu, dalam waktu singkat iaitu kira-kira empat tahun sahaja selepas BN kembali memerintah di sana.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh ketika ditanya mengenai peluang BN menguasai semua kerusi di Kota Bharu dengan yakin berkata, peluang begitu cerah kerana pengundi semakin bijak menilai antara intan dan kaca.

"Mereka pandai menilai antara pemimpin yang bercakap untuk melegakan hati pengundi dengan mereka yang benar-benar bekerja untuk semua," ujarnya yang juga Pengerusi BN Kota Bharu.

Katanya, terlalu banyak kepincangan dilakukan oleh Pas di Kota Bharu terutama yang membabitkan golongan miskin. Tiada langsung sebarang program bermanfaat dilaksanakan untuk rakyat sejak 18 tahun Pas memerintah negeri, tambah Mohd. Fatmi.

"Tiada langsung pembangunan baru ke arah kesejahteraan rakyat. Kalau ada pun, semuanya yang dibuat oleh BN sebelum 1990 lagi. Mereka hanya mewarisinya tetapi mendakwa ia dilakukan oleh mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Fatmi memberi contoh tiadanya program pembasmian kemiskinan di bandar dan pembinaan perumahan rakyat bagi keperluan penduduk miskin yang semakin terhimpit. Di Kota Bharu juga tiada pembinaan pasar awam yang selesa dan mudah dikunjungi di samping masalah kekalutan aliran trafik yang berterusan.

"Perumahan rakyat di Jalan Bayam, Kampung Sireh dan Jalan Pintu Pong; Pasar Besar Kota Bharu yang ditukar nama kepada Pasar Siti Khadijah oleh Pas serta Bazar Buluh Kubu semuanya dibina oleh BN sebelum 1990 lagi.

"Hampir kesemua yang kita nampak di Kota Bharu sekarang diusahakan oleh pihak swasta dan kini semakin banyak perumahan mewah dibina seperti kondominium dan golongan miskin hanya akan melangut," katanya.

Mengenai sokongan pengundi, Mohd. Fatmi yakin rakyat semakin sedar bahawa mereka kian ketinggalan berbanding negeri lain dan perubahan perlu dibuat segera jika mereka tidak mahu Kota Bharu dan Kelantan semakin jauh tersisih.

Dalam hal ini, katanya, hanya BN yang boleh diharap untuk pengundi Kota Bharu menumpang kesenangan hidup.

0 ulasan: