Harakah - 20 Feb 2008
KOTA BHARU, - Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat akur dengan sesetengah anggota parti yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya mengenai istilah orang utan yang digunakan terhadap mereka yang engkar dengan perintah agama.
”Yalah... tak apalah tak puas hati pun, biasalah, zaman Rasulullah saw dahulu pun orang di keliling baginda ramai juga yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu tindakannya ketika itu,” kata Menteri Besar Kelantan.
Bagaimanapun beliau menghalang ahli dan penyokong PAS menyerang peribadi terutamanya calon lawan dalam kempen plihan raya ini.
Katanya, PAS yang berjuang di atas landasan kebenaran tidak perlu menggunakan perkara negatif seperti sabotaj, memburukkan peribadi pihak tertentu terutama calon dalam kempen.
Menurutnya, Islam mempunyai banyak hujah yang perlu digali untuk pejuang Islam termasuk bagi menarik perhatian masyarakat antaranya yang terkandung dalam al-Quran, ...’semua utusan kami diutuskan untuk membawa hujah-hujah’.
”Pihak lawan yang tidak memperjuangkan Islam menggunakan dalih dan bukannya dalil ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang PAS bawa,” katanya.
Baru-baru ini ketika bercakap kepada pemberita di Kedah beliau berkata, PAS Kelantan bukan berdepan dengan sebuah parti politik di negeri itu pada pilihan raya ini sebaliknya orang utan yang tidak tahu undang-undang.
Ekoran kenyataan itu ramai pemimpin-pemimpin Umno marah kerana menganggap Menteri Besar Kelantan menyamakan mereka dengan orang utan.
Dan hari ini beliau sekali lagi mengulangi tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataannya kerana ia tidak menjadi satu kesalahan bagi menyedarkan pihak yang menolak ajaran Islam.
“Mana-mana yang Islam kata haram, kita akan mengharamkannya, mana yang halal kita juga akan menghalalkannya.
"Lagi pun cara tersebut bertujuan untuk menyedarkan pihak berkenaan yang merasakan diri mereka hebat dan bebas melakukan sesuatu,” ujarnya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini. - mj
0 ulasan:
Catat Ulasan