Khamis, 28 Februari 2008

GERAN RM1B JIKA BN GANTI PAS


BERITA HARIAN – (28-02-2008)

PASIR MAS: Geran tahunan Kerajaan Pusat sebanyak RM400 juta yang diperuntukkan kepada kerajaan Kelantan akan ditambah kepada RM1 bilion sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata tujuan Kerajaan Pusat itu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan di negeri ini berikutan kegagalan PAS berbuat begitu dalam tempoh 18 tahun memerintah Kelantan.

“Apabila kita dapat peruntukan RM1 bilion itu, percayalah ia untuk kesejahteraan rakyat Kelantan seperti mana rahmat dinikmati oleh negeri lain yang diperintah BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Sekolah Menengah Tengku Panglima Raja di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Majlis itu turut dihadiri lebih 3,000 masyarakat berbilang kaum.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata antara perkara utama bakal dilakukan BN sebaik memerintah Kelantan adalah membina masjid baru negeri menggantikan Masjid Muhammadi di Kota Bharu dan membina stadium baru menggantikan Stadium Sultan Mohamed Ke-IV yang uzur.

Sementara itu Dr Awang Adek berkata, Kelantan mungkin gagal menarik pelaburan asing bernilai RM112 bilion ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di negeri ini, jika Kerajaan Pas Kelantan tidak ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac ini.

Beliau berkata, pelabur asing cenderung memilih Terengganu dan Pahang yang dilihat mempunyai kerajaan lebih meyakinkan dalam semua aspek.

"Perkara utama yang menjadi tarikan dan penilaian pelabur asing sebelum membuat pelaburan ialah kemampuan sesebuah kerajaan memenuhi semua keperluan," katanya pada majlis pelancaran manifesto tambahan Barisan Nasional (BN) peringkat Parlimen Pasir Puteh di Cherang Ruku, semalam.

Sementara itu di BACHOK, Dr Awang Adek berkata BN akan mempertahankan industri tembakau di negeri ini jika diberi peluang membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum 8 Mac ini.

Katanya industri tembakau tetap dipertahankan kerana ia menjadi sumber pendapatan golongan petani.

0 ulasan: